- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Kerajaan Pemudah Cara Perkasa Masyarakat Digital

Must read

Dalam memperkasa masyarakat digital, kerajaan memainkan peranan penting menyediakan kemudahan digital yang diperlukan bagi memastikan manfaat yang ditawarkan oleh teknologi digital dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.

Bagi mencapai matlamat tersebut, penyediaan infrastruktur digital termasuk latihan, pendidikan dan keusahawanan yang menyokong usaha digital merupakan strategi utama yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan.

Selari dengan transformasi ekonomi digital Sarawak yang digariskan dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 (SDE 2030) dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) berperanan penting dalam memastikan kejayaan kedua-dua strategi tersebut.

Menurut Setiausaha Tetap MUT, Encik Jafri bin Lias, MUT menjulang misi mencapai liputan penuh utiliti dan telekomunikasi di seluruh Sarawak menjelang tahun 2030 sejajar dengan kedua-dua strategi tersebut yang menjadi asas dan pemangkin kepada peningkatan kecekapan dan produktiviti melalui ekonomi digital.

Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT), Encik Jafri bin Lias

Beliau menekankan, infrastruktur telekomunikasi dan internet berkelajuan tinggi adalah antara pemacu utama untuk menarik pelaburan dan pembangunan perniagaan yang penting dalam merealisasikan agenda ekonomi digital Sarawak.

Oleh yang demikian, MUT berfungsi memainkan peranan yang penting dalam membangun dan menyediakan infrastruktur telekomunikasi serta memperluas akses internet berkelajuan tinggi di seluruh kawasan bandar dan luar bandar yang mana liputan perkhidmatan internet di Sarawak setakat ini adalah sebanyak 80.9%.

MUT sebagai agensi kerajaan berperanan sebagai pemudah cara dalam mewujudkan ekosistem digital bagi membolehkan masyarakat berhubung dalam ruang digital seterusnya mendapat manfaat yang ditawarkan oleh teknologi digital

Untuk memastikan matlamat liputan penuh telekomunikasi di kawasan berpenduduk tercapai, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan inisiatif Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN) manakala Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula telah melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1.

Melalui kerjasama ini, MUT dan MCMC bertanggungjawab terhadap kemajuan inisiatif-inisiatif berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya selari dengan SDE 2030 dan seterusnya membolehkan Sarawak mencapai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030 yang dipacu oleh pembangunan digital.

Secara dasarnya, fokus utama MUT dalam transformasi ekonomi digital Sarawak ialah menyediakan infrastruktur telekomunikasi, jelas beliau yang ditemu bual oleh RAKAN Sarawak.

Pihak MUT menurut Encik Jafri bertanggungjawab memantau pelaksanaan projek-projek telekomunikasi serta memastikan isu berkaitan telekomunikasi di Sarawak diselesaikan dengan efektif.

Pembangunan infrastruktur telekomunikasi merupakan salah satu asas penting dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif ekonomi digital termasuklah inisiatif bandar pintar, pertanian pintar, Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), e-dagang, inovasi digital dan sebagainya.

Fokus MUT dalam usaha transformasi ekonomi digital Sarawak tertumpu pada penyediaan infrastruktur telekomunikasi dan mencapai liputan penuh internet

Di bawah PCDS 2030, MUT menyasarkan kesemua kawasan berpenduduk di Sarawak mempunyai capaian liputan perkhidmatan penuh internet menjelang 2030.

Dalam temu bual tersebut, beliau turut menerangkan tentang peranan kerajaan sebagai pemudah cara dalam mewujudkan ekosistem ekonomi digital.

Melihat perkembangan dalam hal ini di Sarawak, kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti berikut:

Penubuhan Badan Kawal Selia dan Agensi Pelaksana: Penubuhan Sarawak Multimedia Authority (SMA) di bawah Sarawak Multimedia Authority Ordinance, 2017 berfungsi sebagai badan kawal selia yang menerajui, menyelia dan memudahkan pembangunan dan pelaksanaan komunikasi, multimedia dan inisiatif digital Sarawak.

Selain itu, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) juga ditubuhkan sebagai agensi pelaksana untuk memacu inisiatif ekonomi digital Sarawak.

Infrastruktur Digital: Di bawah program JENDELA Fasa 1, Kerajaan Persekutuan melalui MCMC membina sebanyak 878 buah menara telekomunikasi baharu, menaik taraf rangkaian telekomunikasi, memperluas talian gentian optik ke kawasan perumahan dan bangunan serta memasang sistem VSAT (very small aperture terminal) di kawasan-kawasan terpencil.

MCMC juga sedang merancang Pelan JENDELA Fasa 2 dengan mengambil kira teknologi terkini bagi mencapai liputan internet penuh di Sarawak.

Di peringkat Kerajaan Sarawak, hasrat mempercepat liputan telekomunikasi penuh ke semua kawasan berpenduduk di Sarawak dilaksanakan secara proaktif dan disusuli dengan program intervensi di bawah inisiatif SALURAN dengan peruntukan sebanyak RM2.25 bilion.

Pada masa yang sama, sebanyak 600 buah menara baharu telah dilaksanakan di bawah projek Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART).

Penyediaan Perkhidmatan Jalur Lebar di Luar Bandar: SDEC menyediakan inisiatif khas bagi membolehkan penduduk kurang berkemampuan, terutamanya masyarakat di luar bandar atau kawasan yang tidak mempunyai liputan 4G atau internet untuk menikmati kemudahan telekomunikasi.

Perkhidmatan MySRBN yang mengenakan fi yang rendah untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar di luar bandar turut diperkenalkan. Setakat ini, sebanyak lebih 20,000 ribu premis telah menerima perkhidmatan tersebut.

Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Digital Community Centre (DCC): Untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang ICT dan melahirkan lebih ramai usahawan digital, Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan Pusat Sebaran Maklumat (NADI) manakala Kerajaan Sarawak pula telah menubuhkan sebanyak 177 buah Digital Community Centre (DCC) di seluruh Sarawak.

Hab Inovasi Digital: Hab Inovasi Digital (DIH) ditubuhkan sebagai sebuah pusat untuk melahirkan syarikat pemula (startup) yang menyediakan kemudahan seperti ruang pejabat persendirian, ruang bekerja dan bilik mesyuarat yang dilengkapi dengan internet berkelajuan tinggi serta sistem telekomunikasi dalam talian.

DIH juga menyediakan latihan bimbingan dan insentif untuk syarikat pemula seperti program akses kepada modal dan pelaburan, akses pasaran, khidmat mentor dan pelbagai lagi program bagi memastikan setiap syarikat pemula terus mendapat sokongan.

Sejak tahun 2020, sebanyak 513 program kesedaran tentang inovasi dan pemasaran digital telah dijalankan di DIH dengan jumlah penyertaan seramai 23,998 orang.

Program Founder’s Forge misalnya, telah melahirkan seramai 23 orang pengasas berpotensi untuk menubuhkan syarikat pemula.

Setakat ini, sebanyak lapan (8) DIH di bawah kelolaan SDEC yang telah pun beroperasi, meliputi Bahagian Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Kapit, Sarikei, Sibu dan Limbang manakala DIH Mukah pula dijangka akan beroperasi pada suku keempat tahun ini.

Sebagai pengelola DIH, SDEC menyasarkan untuk menubuhkan sekurang-kurangnya sebuah DIH untuk setiap bahagian di Sarawak.

Syarikat Pemula: SDEC telah menjalankan pelbagai program pembangunan untuk syarikat pemula seperti program kesedaran, Business Model Canvas, ideathion dan hackathon yang bertujuan untuk memupuk minat masyarakat, khususnya belia terhadap inovasi digital dan penubuhan syarikat pemula.

Program awalan tersebut menjadi saluran kepada program pemecut atau accelerator untuk syarikat pemula seperti Digital Village Accelerator atau DiVA yang disertakan dengan geran untuk setiap syarikat pemula yang berjaya.

Melalui program berkenaan, syarikat pemula juga berpeluang untuk mengadakan kolaborasi dengan bakal pelabur bagi memudah cara pembangunan sesebuah syarikat pemula.

Penerapan elemen digital dan teknologi mempengaruhi urusan kehidupan sama ada bagi pihak kerajaan mahupun masyarakat.

Mengulas hal ini, Encik Jafri berpandangan bahawa penggunaan digital dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan mampu meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan.

Teknologi dan digital memberi kesan positif dalam urusan kehidupan masyarakat termasuklah kecekapan dan peningkatan penyampaian perkhidmatan kerajaan

Sebagai contoh, Kerajaan Sarawak menyediakan perkhidmatan dalam talian secara ‘digitally end to end’, iaitu semua proses yang bermula dari peringkat permohonan, pemprosesan, pengeluaran dokumen dan sijil, pembayaran dan pemakluman keputusan perkhidmatan dibuat secara digital tanpa memerlukan perkhidmatan kaunter.

Sebanyak 241 perkhidmatan Kerajaan Sarawak boleh diperolehi secara dalam talian setakat ini. Dari segi penggunaan teknologi, sistem meter pintar Sarawak Energy Berhad (SEB) misalnya membolehkan bacaan meter yang lebih tepat berbanding dengan sistem lama.

Sistem tersebut juga dapat mempercepat proses pengeluaran bil caj elektrik dan setakat ini, sebanyak hampir 90,000 sistem meter elektrik pintar telah dipasang di premis di seluruh Sarawak.

Di peringkat masyarakat, penerapan teknologi dan digital banyak memberi kesan positif dalam kehidupan seharian.

Beliau memberikan contoh, perkhidmatan e-dagang misalnya membolehkan usahawan menjual produk-produk mereka dalam talian dan mudah untuk dipasarkan ke seluruh dunia.

Beliau turut memaklumkan seramai 324,000 pengguna yang telah mengikuti program latihan di DCC dan NADI berjaya meningkatkan pendapatan mereka dengan menggunakan platform media sosial seperti Facebook dan TikTok.

Selain itu, penggunaan perkhidmatan dalam talian kerajaan juga menunjukkan peningkatan apabila seramai lebih sejuta pengguna telah berdaftar dengan SarawakID sejak diperkenalkan pada 2018.

Di antara perkhidmatan yang popular dalam kalangan pengguna ialah aplikasi e-dompet Spay Global, e-recruitment di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS), pendaftaran sebagai petani di bawah Jabatan Pertanian Sarawak dan permohonan sijil kompetensi di bawah MUT dan sistem-sistem lain seumpamanya.

Beliau yakin bahawa peningkatan jumlah pengguna perkhidmatan dalam talian kerajaan yang berlaku setiap tahun menggambarkan tentang penerimaan era digital oleh masyarakat yang sangat memberangsangkan.

Perkembangan tersebut juga menunjukkan bahawa masyarakat tiada pilihan dan perlu memanfaatkan teknologi dan aplikasi digital untuk terus maju dalam era digital.

Jelas beliau lagi, penggunaan teknologi digital bukan lagi pilihan, sebaliknya sebagai satu keperluan penting untuk memastikan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi yang berterusan agar masyarakat Sarawak dapat berdaya saing dan tidak ketinggalan terutamanya dari segi ekonomi, pendidikan, dan peluang pekerjaan.

Teknologi digital memainkan peranan utama dalam meningkatkan produktiviti, mempermudah proses perniagaan dan perkhidmatan serta membuka akses kepada maklumat dan peluang baharu.

Beliau yakin bahawa rakyat Sarawak bukan sahaja sudah bersedia malah juga mampu mengikuti perkembangan dunia dalam memanfaatkan teknologi digital.

Dalam erti kata lain, penerimaan teknologi digital adalah perlu untuk memastikan kemajuan dan kesejahteraan masa depan kita, ujar beliau.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article