- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Stesen Perikanan Darat Kabuloh Hasilkan Benih Ikan Berkualiti

Must read

Stesen Perikanan Darat Kabuloh, Miri adalah stesen yang kesembilan di Sarawak

Stesen Perikanan Darat Kabuloh memainkan peranan penting untuk mengeluarkan benih ikan air tawar dan ikan air payau yang berkualiti untuk diagihkan dan dijual kepada penternak dan pengusaha akuakultur.

Menurut Pembantu Perikanan di Stesen Perikanan Darat Kabuloh, Puan Yanee Aren Emang, Sarawak mempunyai sebelas (11) Stesen Perikanan Darat.

Sehubungan itu, Stesen Perikanan Darat Kabuloh, Miri merupakan stesen kesembilan yang berfungsi untuk mengeluarkan benih ikan tetapi tidak terlibat dalam Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).

Sebaliknya, Stesen Perikanan Darat Kabuloh terlibat dengan orang awam yang datang untuk bertanyakan tentang ikan, pembelian ikan, penternakan ikan dan servis teknikal kolam ikan.

Misalnya kalau ada masalah air kolam, mereka akan datang untuk mendapatkan khidmat nasihat dan teknikal, seterusnya kakitangan di stesen ini akan membantu mereka melakukan pemeriksaan ke atas kualiti air kolam mereka.

Menurut beliau, tujuan pemeriksaan kualiti air ini adalah untuk memastikan air kolam tetap menetapi pH air yang sesuai dengan kehidupan ikan.

Beliau biasanya akan memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menjalani latihan amali di stesen ini untuk melakukan pemeriksaan kualiti air kolam.

Puan Yanee Aren Emang menyaksikan pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menjalani Latihan amali melakukan pemeriksaan terhadap kualiti air

Stesen ini biasanya menjalankan aktiviti utama iaitu pengumpulan benih ikan dari kolam, kemudian benih ikan itu akan disimpan di dalam tempat penetasan (tangki kuarantin).

Benih ikan tersebut akan disimpan selama dua hari tanpa diberi makan sebelum ia diserahkan kepada penternak agar ia tidak akan mengotorkan pembungkusan semasa diberikan kepada penternak.

Sebelum benih ikan diserahkan kepada penternak, pihak stesen akan memberikan taklimat ringkas berkenaan teknik yang betul untuk melepaskan ikan ke dalam kolam.

Menurut beliau, sebelum dilepaskan ke dalam kolam, benih-benih ikan tersebut perlu direndam selama 15 minit terlebih dahulu menggunakan air yang diambil dari kolam.

Selepas ikan kelihatan tenang, barulah benih-benih ikan tersebut boleh dilepaskan agar ia tidak berasa tegang, sekali gus akan dapat mengurangkan risiko kematian mati.

Beliau memberitahu, Stesen Perikanan Darat Kabuloh mempunyai dua jenis spesies ikan iaitu jenis komersial dan bukan komersial, iaitu ikan yang diberikan secara percuma kepada penternak yang ada lesen kolam dengan Jabatan Pertanian Sarawak.

Puan Yanee bersama Puan Roslind Anyi dan Encik Gilbert Kalaween anak Mangga semasa tinjauan ke Stesen Perikanan Darat Kabuloh

Spesies komersial ikan jelawat ataupun nama popularnya ikan sultan, ikan keli dan ikan tilapia merah manakala ikan bukan komersial ialah ikan lampam jawa dan ikan lee koh ataupun dikenali sebagai ikan ‘kap rumput’.

Berkenaan harga, benih ikan tilapia merah dijual dengan harga 20 sen seekor (saiz 1 inci); ikan jelawat berharga 20 sen seekor (saiz 1 inci); dan ikan keli berharga 50 sen seekor (saiz dua inci).

Beliau memberitahu bahawa, ikan sultan mendapat permintaan yang sangat tinggi daripada penternak-penternak ikan dan sejak dua tahun kebelakangan ini, ikan tersebut terus menjadi rebutan penternak.

Kadang-kadang dalam satu bulan, mereka akan mengeluarkan benih ikan sultan sebanyak 5,000 hingga 10,000 sebulan berbanding tilapia merah dan ikan keli di mana mereka hanya mengeluarkan antara 1,000 hingga 3,000 sebulan.

Walau bagaimanapun, ikan jelawat atau sultan memerlukan sekurang-kurangnya lapan bulan untuk dapat dituai berbanding ikan tilapia merah hanya memerlukan tempoh empat hingga lima bulan untuk dapat dituai serta dikomersialkan.

Manakala, jumlah benih ikan yang diberi secara percuma adalah mengikut saiz kolam di mana sekiranya saiz kolam penternak adalah 0.2 hektar, maka jumlah benih anak ikan yang akan diberi adalah sebanyak 2,000 ekor.

Kolam-kolam ikan yang terdapat di Stesen Perikanan Darat Kabuloh

Menurut beliau, Stesen Perikanan Darat Kabuloh menjual benih ikan pada harga yang agak rendah kerana tujuan utamanya adalah untuk membantu petani dan penternak di Sarawak khususnya di Bahagian Miri membangunkan projek penternakan ikan dan akuakultur masing-masing.

Sebagai maklumat tambahan, regulatori dan kawal selia semua aktiviti akuakultur dan perikanan di Sarawak adalah selaras dengan Ordinan Perikanan Negeri 2003 termasuk penyediaan cadangan penambahbaikan pindaan Ordinan Perikanan Negeri, 2003.

Usaha perlindungan dan konservasi sumber perikanan di perairan umum bagi jaminan kelestarian sumber terpelihara menerusi pewartaan santuari perikanan, kawasan larangan tangkapan dan musim tangkapan terhad.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article