- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Realisasikan Agenda Pembaharuan Perkhidmatan Awam: KSN

Must read

Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam akan menumpukan pada lima (5) Bidang Keberhasilan Reformasi merangkumi Penghayatan Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan dan Memperkasakan Sinergi Awam dan Swasta.

Untuk merealisasikan agenda tersebut, pendekatan konsep AI Strategy (Associate and Integrated Strategy) akan diguna pakai.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar menjelaskan, ‘associated’ menekankan konsep ‘whole-of-nation,’ iaitu melibatkan sektor swasta manakala ‘integrated’ pula menekankan konsep ‘whole-of-government’ yang melibatkan integrasi di antara agensi kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh anggota perkhidmatan awam bersama-sama menjayakan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, seterusnya menelusuri era baharu perkhidmatan awam.

KSN (tengah) bergambar bersama-sama para penjawat awam yang hadir pada Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024 di Putrajaya. KSN menyeru seluruh anggota perkhidmatan awam untuk mendepani cabaran yang dihadapi serta melakukan penambahbaikan segera selari dengan agenda reformasi perkhidmatan awam

Dalam merealisasikan pembaharuan, beliau meletakkan harapan supaya penjawat-penjawat awam memberikan sokongan kepada agenda tersebut kerana menurut beliau, reformasi perkhidmatan awam bukanlah tugas yang dipikul sendiri, sebaliknya satu tugas bersama semua penjawat awam demi negara Malaysia tercinta.

Perkara tersebut ditekankan dalam amanat sulung beliau yang bertemakan ‘Reformasi Perkhidmatan Awam’ pada Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024 di Putrajaya pada 10 September.

Pada majlis tersebut, KSN turut menyentuh tentang cabaran yang dihadapi perkhidmatan awam pada masa ini.

Menurut beliau, tiga (3) cabaran utama yang dihadapi perkhidmatan awam kini semakin menebal dan penambahbaikan perlu dilakukan segera.

Berdasarkan pengamatan beliau, cabaran pertama ialah mentaliti bekerja secara in-silo dan birokrasi yang masih kuat dalam sesetengah agensi kerajaan.

Puncanya ialah wujud perasaan superior atau merasakan diri berkuasa dan lebih hebat daripada orang lain sehingga timbul rasa pemilikan kuasa mutlak hanya dimiliki oleh sebuah agensi tertentu.

Cabaran yang dihadapi perkhidmatan awam hari ini semakin menebal dan memerlukan penambahbaikan segera

Cabaran kedua ialah penyampaian perkhidmatan yang masih menggunakan kaedah lama, kurang berkesan dan tidak berdaya saing.

Beliau menjelaskan, berdasarkan laporan Biro Pengaduan Awam, kebanyakan aduan yang diterima pada tahun ini adalah berkaitan dengan kegagalan perkhidmatan yang memenuhi ekspektasi pelanggan, aduan mengenai kemudahan dan infrastruktur awam serta penguatkuasaan yang lemah.

Tambah beliau, walaupun perkembangan teknologi mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan seperti yang sering diperkatakan, namun dalam masa yang sama, rungutan daripada pelanggan yang mengadu perkhidmatan kerajaan lambat, tidak prihatin dan tidak efisien masih diterima pada masa ini.

Oleh itu, untuk menangani cabaran tersebut, beliau percaya bahawa setiap ketua jabatan perlu mengambil pendekatan Management by Walking Around (MBWA) bagi memastikan perkhidmatan awam sentiasa cekap, pantas dan profesional.

Cabaran ketiga yang dihadapi perkhidmatan awam ialah isu yang melibatkan integriti dalam kalangan penjawat awam.

Beliau tidak menafikan bahawa masih wujud Little Napoleon dalam organisasi kerajaan. Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sejumlah 408 tangkapan yang melibatkan penjawat awam telah dilakukan berbanding dengan 318 tangkapan bagi tempoh sama tahun lepas.

Selain itu, cabaran yang membelenggu perkhidmatan awam ialah rasa mudah selesa atau bersikap puas hati dengan apa yang dimiliki sedia ada.

Hal tersebut terjadi kerana kurangnya penghayatan terhadap nilai-nilai sebagai seorang insan seperti yang terkandung dalam rukun MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri, jelas beliau.

KSN menegaskan, untuk mendepani cabaran-cabaran tersebut, perkhidmatan awam perlu melakukan penambahbaikan dengan segera selari dengan hasrat agenda reformasi perkhidmatan awam secara menyeluruh.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article