- Advertisement -spot_img
4,783
published news
and counting

Menambah Pendapatan Daripada Manfaat Ekonomi Kitaran

Must read

Sarawak telah membangunkan sektor tenaga boleh diperbaharui bagi menambah sumber pendapatan berasaskan inisiatif hijau dengan memanfaatkan amalan dalam ekonomi kitaran.

Model ekonomi kitaran berkonsepkan penekanan terhadap pengembalian sumber ke dalam sistem ekonomi dan alam sekitar menerusi inisiatif guna semula dan pencegahan sisa yang bertujuan untuk mengelak risiko kekurangan ataupun kehilangan sumber semula jadi.

Lazimnya, amalan ekonomi kitaran melibatkan pengurangan sisa buangan ke tahap minimum. Apabila sesuatu produk mencapai jangka hayat, bahan-bahannya disimpan untuk dikitar semula dan digunakan secara produktif berulang kali sehingga menjadi produk yang bernilai.

Pembangunan sektor tenaga boleh diperbaharui dengan kaedah meminimumkan pengekstrakan sumber terbatas, mengehadkan risiko perniagaan serta mengurangkan kesan negatif terhadap biodiversiti dan alam sekitar memerlukan penggunaan semula bahan yang telah digunakan. Inilah salah satu prinsip teras dalam ekonomi kitaran.

Ekonomi kitaran menekankan konsep pengembalian sumber ke dalam sistem ekonomi dan alam sekitar melalui kaedah guna semula dan pencegahan sisa yang bertujuan untuk mengelak risiko kehilangan sumber semula jadi

Strategi baharu penjanaan tenaga yang dilaksanakan Sarawak termasuklah membina sumber kuasa melata (cascading power sources) di sepanjang sungai untuk menjana tenaga elektrik, seterusnya meminimumkan keperluan untuk menenggelamkan kawasan tanah yang besar.

Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Mei lepas, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menjelaskan, pembangunan tenaga berdasarkan kaedah sumber kuasa melata yang mesra alam bukan hanya dapat menjana tenaga boleh diperbaharui, malah juga dapat memberi pulangan ekonomi tambahan kepada penduduk setempat.

Pendekatan tersebut adalah selaras dengan komitmen kerajaan terhadap kelestarian pembangunan tenaga boleh diperbaharui untuk kemakmuran Sarawak.

Satu lagi usaha ke arah itu ialah menjadikan Tanjung Kidurong, Bintulu sebagai lokasi untuk meneroka penjanaan elektrik daripada tenaga ombak.

Menurut Premier Sarawak, memanfaatkan tenaga kinetik lautan akan mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju dalam kelestarian alam sekitar serantau dan akan mempelbagaikan portfolio tenaga boleh diperbaharui yang dibangunkan oleh kerajaan.

Strategi seterusnya ialah mengubah loji jana kuasa arang batu kepada biojisim dengan menggunakan pelet kayu.

Bahan api biojisim yang dihasilkan oleh pelet kayu kebanyakannya menggunakan produk sampingan daripada aktiviti perkayuan.

Dalam kaedah penghasilan tersebut, pengaplikasian teknologi biojisim termaju dan kos efektif membolehkan Sarawak membangunkan loji jana kuasa baharu yang lebih cekap yang disesuaikan dengan sumber sedia ada.

Inisiatif berkenaan yang diilhamkan dari lawatan rasmi Premier Sarawak ke Drax Power Station di United Kingdom pada April lepas memerlukan jumlah pelaburan awal yang besar, namun menjanjikan manfaat jangka masa panjang yang menguntungkan dan merangsang ekonomi kitaran.

Sektor tenaga boleh diperbaharui Sarawak telah dikenal pasti sebagai sektor yang akan mempercepat pertumbuhan ekonomi negeri dengan matlamat mencapai pertumbuhan mampan dan kemakmuran untuk Sarawak muncul sebagai kuasa besar Asia Tenggara menerusi penghasilan tenaga mampu milik, boleh dipercayai dan boleh diperbaharui menjelang 2030.

Sektor pertanian di Sarawak juga sudah mula menerapkan konsep ekonomi kitaran yang dilihat menerusi inisiatif sifar sisa dan penghasilan biojisim untuk dijadikan makanan ternakan ruminan yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak (M-FICORD).

Sektor pertanian di Sarawak sudah mempraktikkan konsep ekonomi kitaran melalui penghasilan biojisim untuk dijadikan makanan ternakan ruminan

Melalui kerjasama dengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), M-FICORD sedang menjalankan projek penghasilan makanan untuk ternakan ruminan daripada biojisim pertanian yang selari dengan dasar ekonomi kitaran dan ekonomi hijau Kerajaan Sarawak.

Sebanyak RM30 juta telah diluluskan untuk SALCRA membangunkan makanan haiwan yang berpatutuan dan berkualiti berasaskan kelapa sawit.

Peruntukan tersebut digunakan untuk membina sebuah loji pengisar isirung kelapa sawit di Lubok Antu, kilang makanan ruminan di Saratok dan penghasilan bahan-bahan lain untuk makanan haiwan.

Loji yang kini sedang dalam pembinaan dijadualkan mula beroperasi pada suku kedua tahun depan dan dijangka mampu menghasilkan 13,500 tan metrik hampas isirung kelapa sawit setahun.

Sementara itu, kilang makanan haiwan di Saratok mempunyai kapasiti untuk menghasilkan 20,000 tan metrik isirung kela sawit untuk makanan ruminan setahun.

Kerja-kerja pemasangan mesin dan peralatan di kilang berkenaan dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.

Selain itu, SEDC juga sedang menjalankan projek penghasilan makanan lembu daripada biojisim kelapa sawit.

Sebuah kilang pemprosesan sedang dibina di Sibu yang dijangka beroperasi pada tahun ini dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 3,200 tan metrik.

Peralihan ke ekonomi kitaran adalah langkah proaktif Sarawak dalam menangani perubahan iklim di samping menerajui usaha ke arah masa depan yang mampan melalui inisiatif penyahkarbonan dan penjanaan tenaga hijau.

Oleh yang demikian, keutamaan pada pelaburan dalam teknologi hijau yang signifikan bagi mempelbagaikan adunan tenaga melangkaui sumber tradisional adalah sejajar dengan matlamat kelestarian alam sekitar global dan visi menjadikan Sarawak maju dan mampan.

Rujukan:

  1. https://acehub.org.au/news/the-role-of-renewable-energy-in-a-circular-economy
  2. https://cem.upm.edu.my/artikel/pembentukan_ncec_kelestarian_ekonomi_kitaran-75067
  3. Penyata Rasmi Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ketiga, 15 Mei 2024
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article