Seiring dengan kemajuan teknologi pada hari ini, konsep ESG – Alam Sekitar (Environmental), Sosial (Social), dan Tadbir Urus (Governance) semakin mendapat perhatian sebagai satu rangka kerja penting bagi pertumbuhan dan kejayaan sesebuah organisasi tidak kira sektor swasta mahupun sektor awam.
Sejak beberapa tahun lalu, ESG sudah diterima pakai secara meluas oleh kerajaan, organisasi dan masyarakat sebagai kaedah untuk menilai risiko serta peluang.
Salah satu elemen penting dalam dimensi ESG adalah Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (KKP) di mana kesejahteraan pekerja bukan sahaja menjadi tanggungjawab etika, tetapi juga merupakan asas untuk kelestarian dan produktiviti jangka panjang sesebuah organisasi.
Sektor perkhidmatan awam sering kali tidak dikaitkan dengan risiko pekerjaan yang tinggi berbanding sektor pembinaan atau perindustrian, namun aspek keselamatan dan kesihatan tetap perlu diberi perhatian serius.
Secara dasarnya, pekerja sektor perkhidmatan awam terlibat dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, pentadbiran, kesihatan, keselamatan negara dan sebagainya di mana masing-masingnya menghadapi cabaran tersendiri yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan mereka.
Oleh itu, KKP merupakan aspek yang tidak boleh diabaikan walaupun dalam sektor perkhidmatan awam kerana ia bukan sahaja demi melindungi pekerja, tetapi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat.
Secara dasarnya, ESG merupakan parameter utama yang diambil kira oleh pelabur, pelanggan, dan pihak berkepentingan lain untuk menilai kesan jangka panjang serta tanggungjawab korporat sesebuah organisasi.
Alam Sekitar berkait rapat dengan bagaimana sesebuah organisasi mahupun agensi perkhidmatan awam menguruskan impaknya terhadap alam sekitar dan ia termasuklah pemeliharaan sumber alam, pengurangan pelepasan karbon, pengurusan sisa, dan penggunaan tenaga yang lestari.
Sosial pula melibatkan hubungan organisasi atau agensi dengan masyarakat, termasuk pekerja, pelanggan, dan komuniti justeru, KKP berada di bawah kategori ini kerana ia merangkumi hak pekerja, kepelbagaian, dan hubungan dengan komuniti.
Tadbir urus pula adalah kayu ukur untuk mengukur cara organisasi atau sesebuah agensi ditadbir terutama dari aspek integriti dalam operasinya di mana ia melibatkan dasar anti-rasuah, keterbukaan kewangan, dan tadbir urus korporat yang baik.
Terdapat beberapa kepentingan KKP dalam ESG iaitu yang pertama ialah melindungi pekerja sebagai keutamaan sosial.
Dalam dimensi sosial, KKP menjadi satu faktor utama dan organisasi yang menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat menunjukkan komitmen terhadap kesejahteraan pekerja, mengurangkan kadar kemalangan dan kecederaan di tempat kerja, serta memupuk budaya kerja yang lebih positif.
Menurut kajian, tempat kerja yang tidak selamat atau terabai dari segi kesihatan boleh mengakibatkan produktiviti menurun, ketidakhadiran pekerja meningkat, dan bahkan reputasi organisasi terjejas.
Pelabur dan pelanggan kini semakin menuntut organisasi-organisasi untuk mengutamakan kesihatan dan keselamatan pekerja sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka.
Kepentingan KKP dalam ESG yang kedua ialah ia adalah bukti kepatuhan undang-undang dan standard industri.
Dari perspektif tadbir urus, mematuhi peraturan kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan oleh undang-undang dan piawaian industri adalah penting untuk mengelakkan sebarang tindakan undang-undang atau denda.
Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh membawa risiko kewangan dan reputasi yang serius, selain menjejaskan kepercayaan pelabur dan pelanggan.
Organisasi yang proaktif dalam melaksanakan langkah-langkah keselamatan pekerjaan bukan sahaja melindungi pekerja tetapi juga mengukuhkan hubungan dengan pihak berkuasa, pekerja, dan komuniti.
Ini seterusnya menyumbang kepada pembangunan organisasi yang lebih bertanggungjawab dan berdaya tahan.
Ketiga ialah, ia adalah aspek penting dalam pengurusan risiko dan kelestarian perniagaan.
Perniagaan atau pengurusan pentadbiran yang tidak mengutamakan kesihatan dan keselamatan pekerjaan berhadapan dengan risiko gangguan operasi akibat kemalangan atau masalah kesihatan pekerja yang akhirnya boleh menjejaskan pengeluaran dan prestasi keseluruhan.
Dengan meletakkan KKP sebagai salah satu keutamaan dalam strategi ESG, organisasi dan agensi dapat menguruskan risiko ini dengan lebih baik dan memastikan kesinambungan perniagaan dalam jangka masa panjang.
Organisasi atau agensi yang mengutamakan kesihatan pekerja juga lebih cenderung untuk menarik dan mengekalkan bakat terbaik, kerana pekerja lebih suka bekerja di organisasi yang menawarkan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif.
Kesimpulannya, KKP bukan sekadar satu kewajipan undang-undang, tetapi merupakan asas kepada tanggungjawab sosial yang lebih luas dalam rangka kerja ESG.
Organisasi mahupun agensi yang berjaya mengintegrasikan elemen ini ke dalam operasi mereka bukan sahaja dapat mengurangkan risiko pengurusan pentadbiran, tetapi juga meningkatkan reputasi dan prestasi kewangan dalam jangka masa panjang.
Dengan meningkatnya kesedaran tentang ESG, organisasi mahupun agensi yang mengutamakan kesejahteraan pekerja akan lebih mampu bersaing di pasaran global dan menjadikan diri mereka lebih menarik kepada pelabur yang semakin mencari nilai kelestarian dalam membuat keputusan pelaburan.