- Advertisement -spot_img
4,803
published news
and counting

Penubuhan Hab Pusat Data Menyokong Transformasi Ekonomi Digital Sarawak

Must read

Pusat data diperlukan untuk menyokong operasi perniagaan, aplikasi digital dan perkhidmatan berasaskan internet dengan menyediakan infrastruktur yang selamat dan boleh dipercayai. Antara contoh pusat data ialah iCloud, Google Drive, Microsoft Cloud dan lain-lain lagi.

Dalam peralihan ke ekonomi digital, penubuhan pusat data dan hasrat menjadikan Sarawak sebagai hab pusat data di rantau ini bertujuan untuk menyokong transformasi ekonomi digital negeri ini.

Menurut Pengarah Sarawak Multimedia Authority (SMA), YBhg Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng, transformasi dari ekonomi konvensional ke ekonomi digital memerlukan usaha peningkatan infrastruktur digital yang meluas.

Pengarah Sarawak Multimedia Authority (SMA), YBhg Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng Ketika ditemu bual RAKAN Sarawak

Penubuhan pusat data yang dilengkapi dengan kemudahan serta sistem yang dapat menyokong operasinya adalah salah satu infrastruktur penting yang perlu ditingkatkan sekiranya Sarawak mahu beralih ke ekonomi digital.

Hal tersebut demikian kerana jelas beliau, data adalah sesuatu yang berharga dalam dunia digital dan kehidupan manusia sejagat amat bergantung pada data.

Gaya hidup yang dikuasakan oleh digital hari ini memerlukan data, sama ada dalam bentuk suara, imej ataupun teks.

Saban tahun, data dan maklumat juga semakin berkembang. Oleh sebab itulah sebuah pusat storan yang dapat menyimpan dan melindungi data 24 jam sehari, tujuh (7) hari seminggu, 365 hari setahun amat diperlukan.

Komponen utama infrastruktur pusat data termasuklah pelayan, peranti storan, peralatan rangkaian dan sistem kuasa dan sistem penyejukan.

Untuk memastikan sebuah pusat data dapat beroperasi dengan baik, lokasi dan persekitaran yang sesuai juga penting untuk diberi perhatian, jelas Dato Dr. Anderson ketika ditemu bual oleh RAKAN Sarawak.

Beliau memaklumkan bahawa Sarawak berhasrat untuk menubuhkan lima (5) buah pusat data menjelang 2030.

Mengulas mengenai hasrat tersebut yang dizahirkan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, beliau menyatakan objektifnya ialah bagi menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar untuk melabur di Sarawak melalui penubuhan pusat data.

Hasrat menjadikan Sarawak sebagai hab pusat data akan menyokong pertumbuhan ekonomi digital yang turut memberi manfaat kepada masyarakat tempatan seperti akses perkhidmatan digital yang lebih baik serta penciptaan dan peningkatan peluang pekerjaan

Tambah beliau, inisiatif berkenaan secara tidak langsung akan membuka dan mencipta peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan dan pada masa yang sama menambah pendapatan baharu kepada ekonomi Sarawak.

Untuk menjayakan usaha tersebut, Kerajaan Sarawak telah menyatakan kesediaan untuk menyediakan kira-kira di antara 500 hingga 1,000 ekar tanah untuk syarikat-syarikat luar membina pusat data di sini.

Pada pandangan beliau, Sarawak dilihat berpotensi menjadi hab pusat data berdasarkan pada beberapa faktor, iaitu lokasi yang strategik, kedudukan geografi yang selamat dari bencana seperti gempar bumi, tanah yang luas, sumber semula jadi yang kaya selain faktor-faktor lain yang turut menyokong usaha berkenaan seperti inisiatif tenaga mampan yang sedang dibangunkan oleh kerajaan serta kestabilan politik yang dikecapi.

Inisiatif pembangunan tenaga hijau seperti tenaga boleh diperbaharui yang sedang giat dilaksanakan sekarang menjadi antara penarik utama pelaburan dalam penubuhan pusat data di Sarawak.

Jelas beliau, kebanyakan pelabur dari luar sudah sedia maklum tentang inisiatif hijau yang dibangunkan oleh Sarawak yang mana kos tenaganya lebih berpatutan untuk menjana tenaga bagi pembangunan pusat data di samping sumber semula jadi seperti bekalan air yang mencukupi untuk sistem penyejukan pusat data.

Beberapa syarikat luar juga menurut beliau telah menyatakan hasrat untuk menubuhkan pusat data di Sarawak, tambah beliau.

Walau bagaimanapun, beliau menekankan, Sarawak juga perlu bersedia dari segi kepakaran profesional yang akan mengurus dan mengoperasi pusat data.

Dalam merealisasikan hasrat menjadikan Sarawak sebuah hab pusat data, SMA telah bekerjasama dengan pihak swasta dalam menubuhkan sebuah pusat data yang telah diiktiraf sebagai pusat data Tahap 4 (Tier 4) yang beroperasi di Santubong sejak 2023.

Pusat data tersebut yang dikenali sebagai Irix DC merupakan sebuah kemudahan neutral pertama di Malaysia yang beroperasi pada tahap Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) yang rendah dengan memaksimumkan kecekapan penggunaan tenaga, seterusnya meminimumkan kesan terhadap alam sekitar.

Beliau turut memaklumkan, sebuah Jawatankuasa Khas Pusat Data telah ditubuhkan di bawah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) manakala pihak SMA pula dilantik sebagai sekretariat kepada jawatankuasa berkenaan.

Jawatankuasa Khas Pusat Data berperanan merancang dan membangunkan strategi untuk operasi pusat data serta memantau perkembangan masa depan.

Bagi menarik lebih ramai pelabur menubuhkan pusat data di Sarawak, SMA juga telah bekerjasama dengan InvestSarawak.

Ditanya mengenai manfaat penubuhan pusat data kepada masyarakat dan pihak kerajaan, beliau menjelaskan, masyarakat boleh menikmati manfaat daripada teknologi yang lebih maju serta boleh terlibat secara langsung dalam pembangunan ekonomi digital.

Di peringkat kerajaan, kewujudan hab pusat data dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi dan perkembangan teknologi serta memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pemain utama dalam industri teknologi maklumat.

Dalam masa yang sama, penubuhan hab pusat data akan memberi peningkatan pendapatan kerajaan melalui cukai dan pelaburan selain kerajaan boleh melaksanakan dasar ekonomi digital dengan lebih berkesan untuk menjadikan Sarawak maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 yang diterajui oleh data dan inovasi.

Secara amnya, sekiranya matlamat menjadikan Sarawak sebagai hab pusat data dapat dicapai, masyarakat boleh menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat yang akan meningkatkan peluang pekerjaan dan penciptaan pekerjaan dalam bidang baharu serta penyediaan akses perkhidmatan digital yang lebih baik.

Lebih daripada itu, masyarakat juga boleh menjangkakan peningkatan kualiti hidup melalui pembangunan infrastruktur digital yang lebih baik.

Beliau juga positif bahawa penglibatan masyarakat yang lebih aktif dalam agenda pembangunan ekonomi digital seperti inisiatif bandar pintar, pertanian pintar dan perniagaan digital juga boleh dijangkakan apabila lengkapnya pelaksanaan rangkaian infrastruktur digital yang turut melibatkan pewujudan hab pusat data.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article