- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Ekosistem Pertanian Baik Dari Inovasi Varieti Tanaman

Must read

Inovasi dalam varieti tanaman merujuk kepada pengembangan dan penambahbaikan jenis tanaman untuk memenuhi keperluan dan cabaran baharu dalam sektor pertanian.

Dalam konteks pertanian moden, inovasi ini melibatkan penggunaan teknologi terkini, pemuliaan tanaman, dan teknik bioteknologi.

Tujuan utamanya adalah untuk menghasilkan varieti yang lebih tahan terhadap penyakit, perubahan iklim, dan pelbagai tekanan lain selain untuk meningkatkan hasil dan kualiti tanaman.

Inovasi ini bukan hanya terhad kepada penemuan saintifik, tetapi juga melibatkan pendekatan kreatif dalam pengurusan pertanian.

Misalnya, pengenalan amalan pertanian yang lebih baik seperti penggunaan sistem pengairan pintar dan teknik pemupukan yang efisien.

Melalui amalan ini, hasil tanaman dapat ditingkatkan tanpa memerlukan kawasan pertanian yang lebih besar secara tidak langsung, ia telah menyelesaikan isu penggunaan tanah yang semakin berkurang.

Dalam konteks Sarawak, antara varieti tanaman yang sedang diberi perhatian utama ialah varieti padi.

Padi antara inovasi varieti tanaman yang sedang diberi tumpuan oleh Sarawak ketika ini

Varieti padi yang terpilih adalah berdasarkan mutunya yang tinggi terutama dari segi aroma, mutu makan, saiz beras, ketahanan terhadap penyakit (terutama penyakit karah) serta serangan serangga, ketahanan terhadap kemarau, ketahanan terhadap kekurangan zat tanah, tempoh matang dan kuantiti hasil. 

Varieti terpilih yang mempunyai aroma wangi dan mutu makan yang baik ialah varieti Biris dan Wai (Rotan) yang mempunyai tempoh matang selama 5½ bulan dengan hasilnya adalah 3.0 – 4.5 tan/ha. 

Walau bagaimanapun, varieti ini mudah dijangkiti penyakit ‘karah’ dan pengawalan terhadap penyakit perlu dititikberatkan.

Varieti lain untuk mutu makan yang baik tetapi tidak mempunyai aroma ialah Adan (Bario), Mahsuri Mutant dan Jarum Mas yang mempunyai tempoh matang 2½ – 5½ bulan sementara hasilnya adalah sebanyak 2.5 – 4.0 tan/ha. 

Manakala, varieti yang sesuai untuk kawasan kerap dilanda kemarau atau sukar mendapat bekalan air serta tanah kurang subur tergolong dalam kumpulan Varieti Jangka Panjang (Long Term Variety) iaitu padi varieti Kara 1 dan Lasak, Serendah Kuning, Baru 3 dan Acheh 62. 

Kara 1 dan Lasak adalah varieti tempatan manakala yang selebihnya adalah dari negara lain namun kesemuanya mengambil masa lebih dari 5 bulan untuk matang, malah varieti-varieti ini tumbuh tinggi serta mampu bersaing dengan rumpai.

Varieti-varieti yang disyorkan untuk sistem padi sawah ialah seperti MR27 (Kadaria), MR30, MR52 (Manik) dan Mahsuri Line 17 kerana ia tahan penyakit, serangan perosak, tempoh matang pendek dan hasil tinggi.

Walau bagaimanapun, varieti-varieti ini tidak sesuai untuk kawasan yang kurang baik pengairannya sama ada kerap kemarau atau banjir dengan tempoh matang 4 – 4½ bulan sementara hasil pula tinggi iaitu 3 – 5 tan/ha. 

Tempoh matang pendek dan hasil tinggi varieti-varieti ini merupakan Varieti Jangka Pendek (Short Term Variety) yang sesuai untuk tanaman dua kali setahun kerana tempoh matangnya 5 bulan atau kurang.

Sumber: Booklet No.28-D (BM); Varieti-varieti Padi Untuk Sarawak, Unit Editorial, Jabatan Pertanian Sarawak.

Dengan pengembangan varieti baharu, pengeluaran makanan dapat meningkat secara signifikan dan ini sangat penting untuk menyokong populasi dunia yang semakin meningkat.

Dengan ramalan bahawa populasi global akan mencapai hampir 10 bilion menjelang 2050, keperluan untuk pengeluaran makanan yang lebih tinggi menjadi semakin mendesak.

Selain itu, inovasi dalam varieti makanan ini juga sangat penting dari aspek ketahanan terhadap perubahan iklim.

Inovasi dalam varieti tanaman membolehkan pengeluaran tanaman yang lebih tahan terhadap perubahan cuaca ekstrem seperti kemarau dan banjir.

Varieti yang tahan ini membolehkan petani menjalankan kegiatan pertanian mereka secara berterusan walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, secara tidak langsung akan dapat menjadikan pertanian lebih berdaya tahan.

Ia juga dapat mengurangkan penggunaan ‘pesticida’ di mana varieti yang tahan terhadap penyakit dan serangga perosak mengurangkan keperluan penggunaan racun kimia menjadikan pertanian lebih mesra alam.

Ini bukan sahaja menguntungkan petani tetapi juga mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.

Paling penting ialah, adanya inovasi dalam varieti tanaman ini akan membantu meningkatkan kualiti makanan kerana inovasi dalam varieti tanaman tidak hanya tertumpu pada kuantiti, tetapi juga kualiti.

Varieti baharu sering kali mempunyai nilai nutrisi yang lebih tinggi serta rasa dan tekstur yang lebih baik, justeru ini memberikan manfaat kepada pengguna dan meningkatkan pengalaman makanan secara keseluruhan.

Inovasi dalam varieti tanaman adalah elemen kritikal dalam usaha untuk memastikan keselamatan makanan global.

Inovasi dalam varieti tanaman dalam konteks pertanian moden selalunya melibatkan penggunaan teknologi terkini

Dengan memanfaatkan teknologi dan pengetahuan saintifik, kita dapat mengatasi cabaran besar dalam pertanian dan memastikan sumber makanan yang mencukupi untuk generasi akan datang.

Melalui usaha berterusan dalam pemuliaan dan inovasi, kita mempunyai harapan untuk membina sistem pertanian yang lebih tahan, berkelanjutan, dan mampu menyokong kehidupan semua.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article