Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg menzahirkan penghargaan yang mendalam kepada seluruh anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan Sarawak yang sentiasa berinovasi dan melahirkan idea-idea baharu.
Inovasi serta idea-idea baharu yang dihasilkan itu sudah tentu dapat memberi impak yang besar dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Menurut beliau, menggabungkan latar belakang ilmu pengetahuan dengan pemikiran yang mantap serta integriti adalah kunci kepada masa depan yang cerah kerana tanpa elemen ini, kita berisiko menghadapi cabaran yang tidak dapat diselesaikan.
Justeru bagi beliau, anggota perkhidmatan awam Sarawak adalah individu yang tidak hanya mempunyai latar belakang ilmu serta pemikiran yang mantap, juga mempunyai integriti yang tinggi.
Keunggulan ini telah menjadi landasan bagi Kerajaan Sarawak dalam menghadapi era pasca COVID-19, terutama dalam dua tahun yang mencabar iaitu dari 2020 hingga 2021.
Tambah beliau, kerajaan juga turut berinovasi dengan pelbagai ikhtiar untuk memperbaiki ekonomi negeri selain terus komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Dalam usaha ini, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) telah diperkenalkan dengan menumpukan kepada tiga pilar utama iaitu: Kemakmuran Ekonomi, Keterangkuman Sosial, dan Kelestarian Alam Sekitar.
Untuk merealisasikan tiga pilar tersebut, kita perlukan ‘enabler’ atau orang yang dapat memproses serta membantu kita, dan sudah tentunya anggota perkhidmatan awam adalah individu yang paling penting dan signifikan.
Oleh itu, adalah penting untuk kita memiliki hala tuju, cara kerja, dan idea yang baharu agar perkhidmatan yang disampaikan dapat memenuhi sasaran yang ditetapkan menjelang 2030.
Perkara ini ditekankan oleh beliau semasa menyampaikan ucapan di Majlis Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) pada 25 Oktober 2024 di salah sebuah hotel di Kuching.
Pada malam tersebut, beliau turut mengucapkan tahniah kepada seluruh anggota perkhidmatan awam kerana sejak tahun 2022 hingga 2024, ekonomi serta pendapatan negeri ini telah menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan.
Sebaik mengambil alih tampuk kepimpinan tertinggi di negeri ini, beliau telah memperkenalkan ekonomi digital kerana ia merupakan ‘enabler’ yang sangat signifikan malah, dengan memanfaatkan teknologi yang ada, ia telah dapat menambah baik proses kerja dalam perkhidmatan awam.
Menurut beliau, perkhidmatan awam pada hari ini telah memanfaatkan teknologi terkini untuk mendapatkan data dan berkongsi data selain berhasil melaksanakan tugas dengan baik.
Tambah beliau, Sarawak kini sedang melangkah ke arah kelestarian (sustainability) dengan pendekatan seimbang yang dilihat akan memberi manfaat kepada diri kita dan juga alam sekitar.
Oleh itu, setelah digitalisasi, Kerajaan Sarawak beralih kepada ekonomi hijau yang berfokus pada tenaga lestari dimana salah satu inisiatif utama yang giat dijalankan oleh kerajaan untuk merealisasikan ekonomi hijau ini adalah dengan memanfaatkan hidrogen.
Beliau mendedahkan, Sarawak telah berjaya mengeluarkan hidrogen sebanyak 130-kilogram sehari bahkan akan terus komited untuk meningkatkan laqi jumlah pengeluaran.
Daripada hidrogen, Sarawak melalui satu lagi fasa dengan memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui (renewal energy) dimana ia merupakan satu usaha berterusan kerajaan untuk mencari sumber tenaga yang boleh diperbaharui selain gas, hidroelektrik dan solar.
Sehubungan itu, beliau telah memberi cabaran kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak untuk menjalankan kajian ke atas penjanaan tenaga di laut menggunakan teknologi yang dikenali sebagai Penukaran Tenaga Terma Laut atau Oceanic Thermal Energy Conversion (OTEC).
Beliau amat berharap agar penyelidikan itu berjaya kerana ia merupakan hasrat Sarawak untuk mempelbagaikan sumber tenaga hijau.
Tambah beliau, apabila Sarawak berjaya mengeluarkan pelbagai sumber tenaga hijau, maka semua pelaburan akan otomatik datang sekali gus akan menjana ekonomi kita selain meningkatkan pendapatan negeri serta mencipta peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi.