- Advertisement -spot_img
4,813
published news
and counting

Pengiktirafan UNESCO Menjelang 2026

Must read

Sarawak Delta Geopark Dijangka Mendapat Pengiktirafan UNESCO Menjelang 2026

Sarawak Delta Geopark dijangka mendapat pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) menjelang tahun 2026.

Menurut Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, usaha bagi memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk mendapat kelulusan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sedang giat dijalankan pada masa ini.

Sekiranya diluluskan, Sarawak Delta Geopark akan menjadi geopark ketiga di Malaysia yang mendapat pengiktirafan tersebut selepas Langkawi UNESCO Global Geopark di Kedah dan Kinabalu UNESCO Global Geopark di Sabah.

Premier Sarawak menyatakan keyakinan bahawa pengiktirafan antarabangsa Sarawak Delta Geopark akan memberi kesan positif kepada kualiti pelancongan negeri ini selain memupuk rasa kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan masyarakat tempatan dan pelancong.

Beliau memaklumkan mengenai perkembangan tersebut ketika menghadiri program ‘International Seminar on Aspiring Sarawak Delta UNESCO Global Geopark’ di Kuching pada 7 Oktober 2024.

Inisiatif mengangkat Sarawak Delta Geopark sebagai UGGp juga adalah selari dengan teras kemampanan alam sekitar yang ditekankan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang akan memacu Sarawak mencapai matlamat maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Kuching Wetlands National Park terletak di dalam kawasan Sarawak Delta Geopark – Foto SFC

Pada 23 Jun 2022, Sarawak Delta Geopark telah mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan sebagai geopark kebangsaan keenam di negara yang dinamakan sebagai Geopark Kebangsaan Delta Sarawak.

Proses penilaian bagi mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan telah bermula dari 19 hingga 21 Januari 2022.

Sarawak Delta Geopark yang berkeluasan 3,112-kilometer (km) persegi yang meliputi kawasan Kuching, Bau, Padawan dan Siburan kaya dengan keunikan landskap batuan, iaitu sebanyak 28 geotapak, kepelbagaian biologi sebanyak 12 biotapak dan warisan budaya yang merangkumi 14 tapak budaya.

Taman berkenaan yang dikendalikan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dilihat sebagai satu tarikan baharu yang mempunyai potensi besar bagi menarik kedatangan pelancong ke Sarawak.

Dalam kawasan tersebut juga terletaknya taman-taman negara yang memiliki keunikan geologi yang merangkumi Taman Negara Bako, Taman Negara Santubong, Selabat Mudflats Nature Reserve, Sama Jaya Nature Reserve, Semenggoh Nature Reserve, Taman Negara Dataran Bungo, Taman Negara Dered Krian, Wind Cave and Fairy Cave Nature Reserve, Kuching Wetlands National Park, Pulau Tukong Ara-Banun Wildlife Sanctuary dan Taman Negara Talang Satang.

Wind Cave atau Gua Angin di Bau juga merupakan khazanah alam semula jadi yang terletak dalam Kawasan Sarawak Delta Geopark – Foto SFC

Setiap taman menawarkan tarikan tersendiri dengan kepelbagaian ekosistem dan hidupan liar seperti spesies monyet proboscis atau yang dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai ‘Orang Belanda’ dan orang utan Borneo termasuklah formasi geologi dan tapak arkeologi yang luar biasa.

Taman-taman tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai kawasan pemuliharaan untuk kekayaan kepelbagaian bio dan keajaiban geologi Sarawak, malah juga memberi peluang kepada pengunjung untuk meneroka dan menghargai warisan alam semula jadi serta budaya yang wujud sejak sekian lama di rantau ini.

Antara ciri-ciri menarik yang terdapat di Sarawak Delta Geopark ialah ruang bawah tanah Sundaland yang merupakan antara sedimen terawal dalam evolusi geologi rantau Asia berusia 355 juta tahun selain kawasan berkenaan juga dikaitkan dengan pembentukan batu Tuang, pembentukan Sejingkat, pembentukan gunung berapi Serian, pembentukan batu kapur Bau dan pembentukan batu pasir Kayan.

Inisiatif membangunkan Sarawak Delta Geopark telah bermula pada 2004. Bertitik tolak dari situ, pelbagai usaha dan penyelidikan giat dijalankan sehinggalah Kerajaan Sarawak memutuskan supaya taman berkenaan mendapat pengiktirafan antarabangsa daripada UNESCO.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article