- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Mengutamakan Aspek Kesihatan Mental Penjawat Awam

Must read

Kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam menjadi agenda utama dalam perkhidmatan awam Sarawak pada masa ini.

Menurut Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki, aspek kesejahteraan mental dan fizikal wajar diberi perhatian serius demi memastikan perkhidmatan awam yang lebih produktif dan efisien.

Hal tersebut demikian kerana jelas beliau, kesihatan yang baik dapat meningkatkan produktiviti. Beliau tidak menafikan bahawa anggota perkhidmatan awam juga tidak boleh lari dari hal-hal yang berkaitan dengan kesihatan sama ada dari segi mental mahupun fizikal.

Oleh yang demikian, beliau menasihatkan penjawat awam agar tidak mengabaikan isu berkaitan kesihatan mental dan fizikal justeru perlu diberi keutamaan dan pada masa yang sama, langkah-langkah pencegahan juga perlu diambil.

Beliau menegaskan mengenai perkara tersebut ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Jubli Psikologi, Kaunseling dan Kesejahteraan Perkhidmatan Awam Sarawak di Kuching pada 8 Oktober 2024.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bn Marzuki berucap merasmikan Konferen Jubli Psikologi, Kaunseling dan Kesejahteraan Perkhidmatan Awam Sarawak di Kuching pada 8 Oktober 2024

Seramai hampir 800 orang peserta yang terdiri daripada penjawat awam dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan menghadiri persidangan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Premier Sarawak supaya memperluas usaha kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan penjawat awam.

Majlis tersebut turut menyaksikan lima (5) agensi kerajaan menerima Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling Perkhidmatan Awam Sarawak 2024 yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak.

Agensi-agensi tersebut ialah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Jabatan Wanita dan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah dan Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, YBhg Datu Haji Abdullah bin Julaihi, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), YBhg Datu Sherinna binti Hussaini serta ketua-ketua jabatan perkhidmatan awam Sarawak.

Info Tambahan

Kesihatan mental adalah situasi apabila seseorang individu menyedari potensinya boleh berdaya tindak terhadap tekanan kehidupan, boleh bekerja dengan produktif dan boleh menyumbang kepada masyarakat.

Kesihatan mental juga merujuk pada cara berfikir, merasa, cara bertindak, cara menghadapi masalah dan mengatasinya dan cara berinteraksi dengan orang lain.

Masalah-masalah yang ada kaitan dengan kesihatan mental antaranya ialah kemurungan, kecelaruan kebimbangan umum, kecelaruan panik, kecelaruan obesis kompulsif, kecelaruan tekanan selepas trauma serta gangguan tidur.

Kesihatan mental mempengaruhi kesihatan fizikal, kualiti kehidupan dan produktiviti seseorang. Antara faktor-faktor yang mempengaruhi kesihatan mental adalah corak asuhan dalam keluarga, tahap pendidikan, gaya hidup, pengaruh persekitaran dan pergaulan, keistimewaan, kelemahan dan pencapaian seseorang dan kesihatan fizikal.

Walau bagaimanapun, kesihatan mental boleh dijaga dengan baik seperti makan makanan berkhasiat, mengelakkan diri daripada mengambil minuman keras, dadah dan rokok, mengurus masa dengan baik, melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam, beriadah, berjalan dan bersukan, melakukan aktiviti yang diminati yang memberi manfaat, sentiasa berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan dan juga berkongsi perasaan dengan orang yang dipercayai.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article