- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Akademi Aeroangkasa CENTEXS Lahir Tenaga Mahir

Must read

Ketika berucap merasmikan majlis pelancaran akademi berkenaan di Lundu pada 8 Oktober 2024, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg memaklumkan, penubuhan akademi tersebut yang sebelum ini dinamakan Akademi Penerbangan CENTEXS bermatlamat untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang aeroangkasa.

Menurut beliau, akademi tersebut ditukar nama kepada Akademi Aeroangkasa CENTEXS sebagai usaha melatih anak-anak muda tempatan dalam bidang baharu yang seterusnya membolehkan Sarawak turut serta dalam pembangunan berkaitan sektor penerbangan dan rantaian nilai dalam industri aeroangkasa seperti pembangunan satelit.

Jelas beliau, biarpun bidang aeroangkasa masih baharu untuk diterokai, namun bidang tersebut begitu penting dalam agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan yang berteraskan pada data yang dapat menyumbang kepada ekonomi Sarawak.

Premier Sarawak bersama-sama tetamu-tetamu kehormat yang lain meninjau kemudahan latihan yang disediakan di Akademi Aeroangkasa CENTEXS – Foto JAPEN Sarawak

Sehubungan dengan itu, Sarawak memerlukan tenaga kerja mahir dalam pembangunan satelit yang merupakan salah satu cabang bidang aeroangkasa bagi tujuan pengumpulan data bertepatan dengan rancangan pembangunan ekonomi negeri yang berteraskan data dan teknologi.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa penerokaan dalam bidang aeroangkasa akan membolehkan Sarawak membangunkan satelit sendiri suatu hari nanti supaya Sarawak dapat menyediakan data berharga yang beliau anggap penting untuk pembangunan ekonomi.

Oleh sebab itulah beliau menegaskan bahawa penamaan Akademi Aeroangkasa CENTEXS lebih sesuai selari dengan usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan pada masa ini.

Beliau juga memaklumkan, Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan dua (2) syarikat pengeluar pesawat terkemuka dunia, iaitu Airbus dan Boeing untuk memperkukuh hubungan industri dan meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan dalam bidang aeroangkasa.

Pada majlis tersebut, Premier turut menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) di antara pihak CENTEXS dengan Aviation Design Centre (ADC) serta Kolej Universiti i-CATS.

Menerusi MoA di antara CENTEXS dengan i-CATS, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam membangunkan pusat Aeroangkasa secara menyeluruh, iaitu CENTEXS akan menawarkan program-program pensijilan teknikal/teknologi dan profesional dan juga lepasan ijazah berkaitan penerbangan untuk pelajar lepasan SPM, graduan universiti dan pekerja industri manakala i-CATS pula akan menyediakan program ijazah dan pasca siswazah dalam bidang Aeroangkasa (Sarjana dan PhD).

Akademi Aeroangkasa CENTEXS Lundu akan menawarkan enam (6) program yang merangkumi pelbagai aspek termasuk Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) untuk helikopter, pesawat sayap tetap dan avionik serta pembuatan aeroangkasa, iaitu Certificate in Aerospace Sheet Metal Training, Certificate in Aerospace Machining Operations, Certificate in Aerospace Computer Numeric Control (CNC) Machining dan Certificate in Aircraft Maintenance Engineering yang khusus dalam turbin kapal terbang, turbin helikopter dan avionik.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article