- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

SRDC Mempermudah Penyelidikan dan Pembangunan di Sarawak

Must read

Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak atau nama singkatannya SRDC (Sarawak Research and Development Council) ditubuhkan pada tahun 2017 dan mula beroperasi sepenuhnya pada 2019.

Sebagai sebuah badan berkanun di bawah peruntukan Sarawak Research and Development Council Ordinance 2017, SRDC menjalankan fungsi dan peranan dengan menyelaras, mengurus dan mempermudah aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Sarawak.

Bahagian besar peranan yang dimainkan oleh SRDC adalah menyediakan geran untuk R&D yang dijalankan oleh agensi dan jabatan kerajaan serta institusi pendidikan tempatan.

Bidang-bidang penyelidikan utama yang dibiayai SRDC merangkumi bidang bioindustri dan sains bioperubatan, makanan dan pertanian, kepelbagaian bio dan alam sekitar termasuk perhutanan dan sains kejuruteraan dan teknologi.

Menurut Pengurus Besar SRDC, Dr. Peter Morin Dissom, bidang penyelidikan di Sarawak telah dijalankan bertahun-tahun lamanya, namun tiada badan khas yang menyelaras dan memantau hasilnya sehingga timbul situasi apabila lebih daripada satu agensi menjalankan R&D yang sama dan menjadi berlebihan.

Dr. Peter menekankan perlunya pembudayaan R&D, terutama dalam sains dan teknologi bagi memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak

Menyedari situasi tersebut, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg memutuskan supaya SRDC ditubuhkan.

Visi SRDC adalah untuk mewujudkan ekosistem R&D yang sihat, mampan dan berdaya saing dengan matlamat akhirnya dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Di sinilah SRDC memainkan peranan pentingnya menyalurkan geran bagi mempermudah hasil sesuatu penyelidikan dikomersialkan menjadi produk berguna yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.

Dr. Peter yang ditemu bual RAKAN Sarawak menegaskan, hasil R&D yang bagus dan berpotensi tetapi tidak diterjemahkan kepada sesuatu yang berfaedah akan menjadi sia-sia.

Dari 2019 sehingga setakat ini, SRDC telah membiayai 79 projek inovatif dengan jumlah sebanyak RM16.6 juta.

Jelas beliau, SRDC meletakkan syarat tawaran geran penyelidikan, khusus untuk agensi dan institusi pendidikan tempatan dan R&D hendaklah dijalankan di Sarawak sahaja.

Pada masa ini, SRDC memberi tumpuan kepada bidang sains dan teknologi dengan mengutamakan penyelidikan dalam bioperubatandan juga tenaga boleh diperbaharui selari dengan dasar dan inisiatif kelestarian alam sekitar yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

Menyediakan Infrastruktur Penyelidikan

Selain daripada menyediakan geran penyelidikan, SRDC turut memiliki beberapa infrastruktur yang menawarkan kemudahan bagi mempermudah aktiviti dalam bidang penyelidikan sains dan teknologi termasuk perubatan.

Salah sebuah infrastruktur yang sudah beroperasi ialah Sarawak Biovalley Pilot Plant (SBPP) yang terletak di dalam kampus Universiti Curtin di Senadin, Miri.

Sarawak Biovalley Pilot Plant (SBPP) dilengkapi kemudahan berteknologi terkini bagi menyokong pembangunan R&D dalam penghasilan produk bio baharu

SBPP dibina bertujuan untuk menyediakan kemudahan R&D bagi menyokong pembangunan produk berasaskan bio baharu selain kemudahan loji perintis untuk membantu industri dalam proses fitokimia, analisis produk termasuklah peningkatan dan jaminan kualiti produk.

Pusat tersebut dilengkapi dengan peralatan ujian terkini, makmal penyelidikan, inkubator, bilik mesyuarat dan latihan, pejabat serta menawarkan perkhidmatan latihan dan perundingan.

Dr. Peter memaklumkan, pihak SRDC sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin meningkatkan hasil kajian dan penyelidikan untuk menggunakan kemudahan yang ada di SBPP dan pihak SRDC juga sentiasa terbuka untuk menerima cadangan daripada pelbagai pihak yang berhasrat untuk mengkomersialkan produk yang dihasilkan melalui R&D.

SRDC turut memiliki Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) di Samarahan dan Pusat Sains Sarawak di Petra Jaya, Kuching yang mana kedua-dua buah pusat tersebut kini sedang dalam pembinaan.

SIDC yang dibina bersebelahan Pusat Jantung Sarawak bakal menyediakan kemudahan penyelidikan, khusus untuk bidang bioperubatan.

Buat masa sekarang, SRDC sedang membina keupayaan untuk menghasilkan vaksin pada masa hadapan dan dalam masa yang sama membangunkan kit untuk diagnostik.

Sebagai permulaan, tumpuan diberikan kepada penghasilan vaksin untuk haiwan dan SRDC telah pun menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi vaksin di peringkat global.

Mengulas mengenai Pusat Sains Sarawak, beliau memaklumkan bahawa pusat berkenaan diwujudkan sebagai salah satu daripada pelbagai usaha menggalakkan pembelajaran aliran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam kalangan generasi muda tempatan memandangkan kemasukan pelajar ke aliran STEM pada masa ini masih perlu ditingkatkan.

Selain menyediakan geran penyelidikan, SRDC turut berperanan dalam mempromosi bidang sains dan teknologi bagi menggalakkan kemasukan pelajar tempatan ke aliran STEM termasuklah bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi dalam pembangunan bakat dan inovasi

Beliau berharap supaya pembinaan pusat tersebut juga dapat memupuk minat golongan muda mahupun dewasa terhadap bidang sains dan teknologi serta dapat mengubah persepsi masyarakat yang menganggap bahawa aliran STEM sukar diikuti.

Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan Pusat Sains Sarawak yang terletak berhampiran Pustaka Negeri Sarawak kini dijalankan mendahului jadual dan dijangka siap pada 2025 manakala pembukaan tidak rasmi pula dijangka pada bulan Januari 2026.

Kerjasama Strategik

Secara teknikalnya, SRDC sendiri bukanlah sebuah badan yang menjalankan R&D tetapi sebaliknya hanya sebagai penyelaras dan pemudah cara dalam hal berkaitan R&D.

Namun demikian, SRDC menjalin kerjasama strategik dengan rakan-rakan kongsi dari dalam dan luar negara dalam meningkatkan kualiti R&D di Sarawak.

Dr. Peter menjelaskan, rangkaian kerjasama SRDC di peringkat antarabangsa agak meluas dalam bioperubatan dan bioindustri.

Dalam melebarkan rangkaian, SRDC berperanan sebagai perantara atau penghubung yang membentuk kolaborasi di antara agensi tempatan dengan agensi luar negara untuk menghasilkan R&D yang berkualiti.

Objektifnya adalah bagi mengetengahkan R&D di Sarawak untuk diiktiraf di peringkat global sejajar dengan peranan yang dimainkan oleh SRDC dalam mempromosi R&D.

Tambah beliau, peranan penting SRDC juga termasuklah meningkatkan standard dan kualiti R&D di Sarawak.

Oleh sebab itulah pentingnya juga jalinan kerjasama antarabangsa ditingkatkan bagi meletakkan penyelidik-penyelidik tempatan berada dalam persekitaran yang kompetitif.

Usaha tersebut juga jelas beliau bertujuan untuk mendorong para penyelidik tempatan untuk lebih inovatif dalam R&D.

Secara dasarnya, SRDC mempermudah jalinan kerjasama di antara pelbagai pihak yang menjalankan penyelidikan seperti Jabatan Pertanian Sarawak (DOA), Pusat Penyelidikan Pertanian (ARC) Semongok, Sarawak Biodiversity Centre (SBC) dan institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta melalui program tawaran geran.

Salah satu peranan SRDC dalam hal tersebut juga termasuklah mereka program dan hala tuju R&D yang akan dilaksanakan oleh rakan kongsi.

Dari segi pembinaan kapasiti dan pembangunan bakat, SRDC menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD).

Kerjasama tertumpu pada mempromosi STEM melalui penganjuran program dan aktiviti seperti SRDC STEM Playground 2023 semasa karnival STEM Trailblazers Sarawak 2023 yang telah diadakan di Swinburne University of Technology Sarawak di Kuching dan Curtin University, Miri pada tahun lepas.

Selain itu, SRDC turut bekerjasama dalam pembangunan bakat dan inovasi dengan universiti-universiti dari luar negara.

Melalui kerjasama di antara para penyelidik, SRDC juga berperanan menggalakkan kerjasama penyelidikan antara disiplin.

Contohnya, penyelidik dalam bidang mikrobiologi boleh bekerjasama dengan jurutera sivil dalam membangunkan penggunaan mikrob dalam penghasilan bahan mentah untuk sektor pembinaan.

Kepentingan R&D Sains dan Teknologi

Aktiviti R&D membina asas kemajuan kepada negeri dan negara. Dalam konteks Sarawak yang sedang mencapai matlamat negeri maju dan berpendapatan tinggi, Dr. Peter berpandangan bahawa masyarakat negeri ini tidak seharusnya sekadar menjadi pengguna teknologi dan tidak inovatif.

R&D dalam bidang sains dan teknologi sebagai contoh dapat memajukan teknologi sedia ada, mencipta kaedah-kaedah baharu dalam banyak perkara seperti perubatan moden, pertanian pintar, pembinaan dan sebagainya serta membantu kerajaan membuat keputusan dan menggubal dasar yang lebih relevan dan mampan sesuai dengan perkembangan ekonomi global.

Lantaran itu, pembudayaan R&D dan inovasi dalam sains dan teknologi tidak dinafikan kepentingannya terhadap kemajuan negeri dan harus dimulakan dari sekarang kerana penyelidikan sains dan teknologi sangat diperlukan dalam memajukan ilmu pengetahuan masyarakat.

Lebih daripada itu, R&D ialah satu perihal tentang mengemukakan seribu persoalan bagi mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah.

Oleh sebab itulah menurut beliau, sekiranya galakan dan pembudayaan R&D dalam kalangan generasi muda dilaksanakan, maka mereka dapat membangunkan pemikiran serta sifat ingin tahu dan hasil daripada penyelidikan akan menyumbang kepada peningkatan ilmu pengetahuan.

Selaras dengan dasar kerajaan sekarang yang menekankan pertumbuhan ekonomi berasaskan digital dan teknologi serta penerokaan ekonomi baharu, R&D bidang sains dan teknologi menjadi semakin signifikan untuk dijalankan di Sarawak.

Dalam sektor pertanian misalnya, sisa biojisim kelapa sawit boleh dibangunkan menjadi produk hiliran seperti baja mahupun penghasilan biobahan api yang mampan.

Demikian juga dengan tanaman-tanaman lain yang mana penyelidikan perlu sentiasa dijalankan bagi menghasilkan kaedah pertanian yang lebih inovatif dan memberikan nilai tambah kepada sektor pertanian sehingga mampu mendatangkan hasil yang lumayan kepada ekonomi Sarawak.

Menurut beliau, ekonomi Sarawak yang selama ini berasaskan pertanian pada hakikatnya berkembang dengan hanya sedikit inovasi yang dihasilkan.

Untuk menjadi lebih kompetitif, Sarawak perlu mempelbagaikan ekonomi dan transformasi ekonomi digital yang giat dibangunkan hari ini juga perlu memberi tumpuan kepada bidang bioteknologi.

Menjelas lanjut, beliau menekankan Sarawak harus memiliki kepakaran sendiri dalam membangunkan bioteknologi, seterusnya mampu menghasilkan produk berteknologi tinggi.

Dalam hal ini, sebuah anak syarikat SRDC, iaitu SMD Semiconductor Sdn Bhd kini sedang membangunkan reka bentuk cip dan semikonduktor dengan rakan kongsi dari luar negara untuk dikomersialkan dalam usaha memajukan industri bioteknologi di Sarawak sebagaimana yang dilaksanakan oleh negara jiran, Singapura.

Dalam bidang bioperubatan, Sarawak boleh memanfaatkan sumber kepelbagaian bionya yang merupakan ketiga terbesar di dunia yang mana banyak produk semula jadi yang boleh dibangunkan melalui R&D bagi menghasilkan terapeutik dan ubat-ubatan.

Pada masa sekarang, SRDC bekerjasama dengan SBC dalam membangunkan penyelidikan bioperubatan berkaitan rintangan antimikrob dan masalah kesihatan metabolik.

Usaha tersebut dijangka akan meletakkan inovasi dan produk dalam bidang bioperubatan Sarawak mampu mencapai peringkat global.

Begitu juga dengan dasar kelestarian alam sekitar Sarawak yang menekankan inovasi dan teknologi serta tenaga boleh diperbaharui yang mampu mengurangkan impak terhadap alam sekitar bagi menangani perubahan iklim.

Salah satu inisiatif dalam usaha tersebut ialah pelaburan dalam industri pemerangkapan karbon. Untuk merealisasikannya, beliau menyarankan supaya penyelidikan dalam industri berkenaan perlu dilaksanakan oleh rakyat tempatan bersesuaian dengan keperluan di Sarawak tanpa perlu bergantung dengan kepakaran dan hasil penyelidikan daripada pihak luar.

Dr. Peter merumuskan, secara keseluruhan, R&D dan inovasi adalah sangat penting untuk memacu kemajuan saintifik, memupuk pembangunan ekonomi serta mampu menangani cabaran sosial.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article