- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Anggota Koperasi Menikmati Manfaat Berkoperasi

Must read

Koperasi merupakan salah satu model keusahawanan sosial yang tidak menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama semata-mata.

Sebaliknya, perniagaan yang dijalankan koperasi lebih kepada memberi manfaat dan kesejahteraan sosioekonomi kepada anggota dan masyarakat.

Demikian dirasai anggota-anggota Koperasi Rayang Serian Berhad yang telah ditubuhkan pada 21 Mei 2009 oleh sekumpulan penduduk Kampung Rayang di Serian yang terletak kira-kira 60 kilometer dari bandar raya Kuching.

Semasa didaftarkan, modal syer permulaan koperasi berkenaan ialah sebanyak RM1,280 dan kini telah mencatat jumlah sebanyak RM23,821.50. Aktiviti utama yang dijalankan adalah pemborongan dan peruncitan barangan keperluan harian.

Setelah beroperasi selama lebih 15 tahun, keanggotaan Koperasi Rayang Serian Berhad turut meningkat, iaitu daripada 128 anggota ketika mula didaftarkan kepada seramai 163 anggota yang kini diurus oleh sembilan (9) Anggota Lembaga Koperasi (ALK).

Menceritakan latar belakang penubuhan dan perkembangan koperasi tersebut, Encik Nyampal anak Langkin selaku ALK yang memegang jawatan Bendahari bersyukur kerana Koperasi Rayang Serian Berhad hari ini sudah beroperasi di premis sendiri.

Encik Nyampal anak Langkin

Bangunan kedai yang dimiliki sejak 2018 telah diluluskan permohonan pemilikannya oleh pihak Institut Koperasi Malaysia (IKMA) Sarawak melalui Pinjaman Tabung Modal Pusingan (TMP) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berjumlah RM50,000 dan bantuan Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) yang juga berjumlah RM50,000.

Pada 2022, pihak koperasi sekali lagi menerima bantuan TRANSFER sebanyak RM60,000 untuk menaik taraf premis yang merangkumi kerja-kerja pembinaan stor penyimpanan dan struktur tebatan banjir.

Menurut Encik Nyampal, pihak koperasi sebelum ini pernah menyewa premis sebanyak dua (2) kali dari awal penubuhannya.

Sejak menjadi anggota Koperasi Rayang Serian Berhad, beliau secara peribadi berasa beruntung dan berbangga kerana dapat sama-sama terlibat membangunkan koperasi tersebut hingga sekarang.

Kewujudan koperasi berkenaan juga telah merubah sosioekonomi penduduk, terutama dari segi kemudahan dan keselesaan mendapatkan keperluan harian tanpa perlu ke pusat bandar Serian di samping dapat menjimatkan kos pengangkutan.

Demikian juga menurut Pengerusi Koperasi Rayang Serian Berhad, Encik Charles anak Kumin. Beliau melihat keselesaan penduduk mendapatkan keperluan harian di kedai koperasi termasuklah membuat pembayaran pelbagai jenis bil seperti bil telefon, bil elektrik termasuklah insurans dan cukai jalan kenderaan bermotor apabila koperasi turut menawarkan perkhidmatan pembayaran elektronik (e-pay) selepas menyertai program Million Ringgit Coop League (MiRiCle) IKMA.

Encik Charles anak Kumin

Program MiRiCle telah diperkenalkan pada 2019 bagi membantu koperasi kluster kecil dan sederhana yang berpotensi membangun dengan lebih terancang menerusi tawaran nilai sebagai rakan solusi strategik koperasi.

Hasil yang dijangkakan daripada program tersebut adalah koperasi yang terpilih dapat ditadbir urus dengan lebih cekap dengan mengamalkan budaya kerja cemerlang dalam operasi harian, pertambahan perniagaan dan penerokaan perniagaan baharu bagi mencapai matlamat penubuhan koperasi ke arah mewujudkan kesejahteraan yang lebih baik dalam kalangan anggota dan komuniti.

Menurut beliau, program MiRiCle yang membantu pihak koperasi mempelbagaikan perkhidmatan telah sedikit sebanyak menyumbang kepada kemajuan koperasi, seterusnya memberi kemudahan kepada penduduk kerana mereka tidak perlu bersesak di pusat bandar untuk membuat urusan pembayaran bil dan sebagainya.

Aktiviti perniagaan di koperasi yang dibuka setiap hari bermula pada pukul 7.30 pagi hingga 9 malam sibuk dengan kehadiran pelanggan yang ada masanya melebihi 100 orang sehari.

Encik Charles melahirkan rasa syukur atas kesepakatan ALK koperasi yang sebulat suara bersetuju menyertai program MiRiCle yang beliau yakin turut membantu mengukuhkan kewangan koperasi selain keahlian yang semakin bertambah.

Beliau juga berterima kasih kepada pihak IKMA Sarawak yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan sentiasa memberi sokongan melalui pelbagai program dan kursus bimbingan untuk memajukan koperasi.

Untuk mengukuhkan lagi perniagaan koperasi, beliau tidak menolak kemungkinan untuk merancang strategi perniagaan baharu pada masa akan datang tetapi perbincangan dengan semua anggota koperasi perlu diadakan terlebih dahulu bagi mendapatkan persetujuan bersama.

Dalam tempoh tiga (3) tahun kebelakangan ini, pendapatan Koperasi Rayang Serian Berhad telah mencapai peningkatan yang memberangsangkan, iaitu sebanyak lebih RM527,000 pada 2021, lebih RM 617,000 pada 2022 dan lebih RM639,000 pada 2023.

Setiausaha Koperasi Rayang Serian Berhad, Encik Johani anak Bidi memaklumkan, setakat suku ketiga tahun ini, pendapatan koperasi menunjukkan peningkatan bermula dari bulan Mei, iaitu daripada 23% kepada 25% dengan jumlah sebanyak lebih RM526,000.

Encik Johani anak Bidi

Jumlah langganan anggota koperasi juga meningkat sebanyak 17% selepas program kesedaran diadakan pada bulan Mei lepas.

Menurut beliau, peningkatan pendapatan koperasi didorong oleh pelbagai jenis perniagaan yang dijalankan selepas pihak koperasi menawarkan perkhidmatan e-pay di bawah program MiRiCle sejak April tahun ini.

Perkhidmatan pembayaran elektronik tersebut jelas beliau sangat memberi keselesaan dan kemudahan kepada penduduk termasuk diri beliau sendiri.

Perkhidmatan e-pay turut disediakan di Koperasi Rayang Serian Berhad

Barangan keperluan dapur seperti gas memasak yang dijual di koperasi berkenaan juga lebih murah dan berpatutan berbanding dengan yang dijual di kedai-kedai lain di kawasan sekitar kampung.

Ramai dalam kalangan pelanggan koperasi juga terdiri daripada penduduk-penduduk yang datang dari kampung-kampung berhampiran, jelas beliau.

Menceritakan pengalaman berkoperasi, Encik Johani pada mulanya tidak mempunyai pengetahuan tentang manfaat menubuhkan koperasi.

Antara barangan keperluan dapur yang dijual di kedai Koperasi Rayang Serian Berhad. Premis ini turut menjual buah-buahan dan sayur-sayuran segar

Selepas menjadi anggota Koperasi Rayang Serian Berhad, beliau banyak menghadiri kursus bimbingan anjuran IKMA Sarawak dan dari situlah minat beliau semakin mendalam dan ilmu pengetahuan beliau dalam berkoperasi juga semakin bertambah.

Hari ini, beliau menikmati manfaat dari segi pendapatan selain dapat mempelajari ilmu pengurusan kewangan dan selok-belok perniagaan dalam berkoperasi yang jelas memberi impak sosioekonomi kepada masyarakat, khususnya penduduk Kampung Rayang.

Selepas merasai sendiri perubahan dan kemajuan koperasi, beliau berharap supaya kepimpinan dalam kalangan ALK Koperasi Rayang Serian Berhad dapat dikekalkan dan terus kukuh serta komited dalam memajukan koperasi.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article