Penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Brunei (STATOB) di Bandar Seri Begawan merupakan langkah strategik Sarawak untuk memperkukuh hubungan pelancongan, perdagangan, dan ekonomi dengan Brunei Darussalam.
Majlis perasmian STATOB telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg di Pavo Point pada 3 Oktober 2024, disaksikan oleh pemimpin kedua-dua negara.
Selain itu, STATOB menyokong projek infrastruktur seperti Lebuhraya Pantai, yang bakal memudahkan integrasi serantau. Inisiatif ini juga memperkukuh hubungan budaya dan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangkumi biodiversiti, perdagangan, dan keusahawanan.
Dengan STATOB sebagai pemangkin, Sarawak dan Brunei dijangka melangkah ke arah kerjasama strategik yang membawa manfaat ekonomi, sosial, dan budaya kepada kedua-dua negara.
Langkah Strategik untuk Perkembangan Ekonomi
Premier Sarawak menyatakan bahawa penubuhan STATOB melambangkan komitmen Sarawak dalam membina kerjasama ekonomi yang lebih erat dengan Brunei.
Menurut beliau, STATOB akan berfungsi sebagai platform untuk pertukaran idea, promosi perdagangan, dan pembangunan peluang kerjasama serantau.
“STATOB bukan sekadar membuka ruang fizikal, tetapi ia melambangkan permulaan era baharu dalam hubungan Sarawak dan Brunei, mencakupi pertukaran budaya, ekonomi, dan pelancongan,” ujar beliau.
STATOB juga dilihat sebagai kesinambungan kepada kejayaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS), yang memainkan peranan penting dalam menghubungkan usahawan Sarawak ke pasaran global.
Pelancongan Sebagai Pemacu Utama
Dalam sektor pelancongan, Brunei memainkan peranan penting sebagai penyumbang terbesar pelancong ke Sarawak.
Statistik menunjukkan lebih 150,000 pelancong Brunei melawat Sarawak setiap bulan.
Pada Ogos 2024, jumlah pelancong dari Brunei mencapai 198,331 meningkat hampir dua kali ganda berbanding Ogos 2023.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul KArim Rahman Hamzah, menyatakan bahawa pelancongan memberi impak langsung kepada ekonomi negeri.
Beliau menekankan bahawa STATOB bukan hanya mempromosikan Sarawak kepada pelancong Brunei, tetapi juga berperanan memperkenalkan Brunei kepada pengunjung Sarawak.
“Apabila pelancong tiba di Sarawak, mereka akan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seperti penginapan, membeli-belah, dan lawatan ke tarikan pelancongan.
Semua ini memberikan impak besar kepada ekonomi tempatan,” katanya.
Kerjasama Dalam Pelbagai Sektor Ekonomi
Selain pelancongan, STATOB dijangka memperkukuh kerjasama dalam sektor ekonomi lain, termasuk tenaga, pertanian komersial, dan perdagangan.
Dalam sektor tenaga, Sarawak telah menyatakan komitmen untuk menyokong Brunei mencapai 10% penjanaan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035, selaras dengan Perjanjian Paris.
Premier Sarawak turut menekankan kepentingan sektor pertanian komersial, seperti penanaman padi, akuakultur, dan penternakan.
Usaha ini bukan sahaja bertujuan memperkukuh keupayaan sara diri tetapi juga membuka peluang untuk kolaborasi dalam pasaran global.
Infrastruktur Sebagai Pemacu Hubungan Rantau
Sarawak juga sedang melaksanakan projek besar untuk memperkukuh rangkaian infrastruktur yang menghubungkan negeri ini dengan Brunei.
Sarawak melabur sebanyak RM6 bilion untuk membangunkan Lebuhraya pantai yang menghubungkan Miri, Limbang, dan Lawas melalui Brunei.
Projek yang dijangka siap menjelang 2030 ini bukan sahaja memudahkan perjalanan pelancong dan perdagangan, tetapi juga menyokong integrasi serantau.
Menurut Premier Sarawak, laluan ini melibatkan kawasan UNESCO Mulu dan akan memastikan ekosistem terpelihara dengan pembinaan jalan yang mesra alam.
“Kami mahu menjaga ekosistem dan pemandangan semula jadi kawasan ini, oleh itu jalan kan dibina dengan teliti tanpa memotong gunung,” katanya.
Pemangkin Pembangunan Komuniti dan Budaya
STATOB bukan sahaja berfungsi untuk memacu ekonomi dan pelancongan, tetapi juga memperkukuh hubungan budaya antara komuniti Sarawak dan Brunei.
Penubuhan STATOB menyediakan platform untuk pertukaran budaya dan pemahaman yang lebih mendalam antara masyarakat kedua-dua negara.
Premier Sarawak menyatakan bahawa STATOB berperanan memupuk hubungan yang lebih erat antara komuniti dan mempromosikan warisan budaya yang unik.
Acara budaya seperti pameran seni, makan, dan kraf tradisional dijangka akan menjadi daya tarikan utama dalam memperkukuh hubungan ini.
MoU dan Kerjasama Masa Depan
Majlis perasmian STATOB turut menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak dan Brunei.
Antaranya termasuk kerjasama antara Sarawak Biodiversity Council dengan Syarikat Asnika Of Brunei, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak Malaysia dengan Persekutuan Peniaga-Peniaga Melayu Brunei, serta Sarawak Entrepreneur Association dengan Young Entrepreneur Association Brunei.
MoU ini dijangka membuka peluang kerjasama yang lebih lesar dalam bidang biodiversiti, perdaganagn, dan keusahawanan.
Masa Depan STATOB
Dengan penubuhan STATOB, Sarawak dan Brunei bersedia melangkah ke era baharu kerjasama strategik yang mencakupi pelbagai sektor.
Kejayaan STATOB dijangka menjadi pemangkin kepada usaha Sarawak untuk memperkukuh kedudukannya di rantau Asia Tenggara, sekali gus membawa manfaat kepada kedua-dua negara.
Sebagai Simbol komitmen Sarawak terhadap pembangunan serantau, STATOB berpotensi menjadi platform utama untuk pertumbuhan ekonomi, sosial, dan budaya, sambil memperkukuh hubungan dengan negara jiran Brunei.
Kejayaan ini membuktikan bahawa kerjasama serantau dapat memberikan manfaat besar jika dilaksanakan dengan visi yang jelas dan strategik.
Rujukan
News – Laman Web Jabatan Premier Sarawak. (2024). Sarawak.gov.my. https://premierdept.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/7471/UKAS
Patricia Gari. (2024, October 3). Penubuhan STATOB komitmen berani Sarawak jalin kerjasama ekonomi lebih besar dengan Brunei: Abang Johari. Utusanborneo.com.my. https://www.utusanborneo.com.my/2024/10/03/penubuhan-statob-komitmen-berani-sarawak-jalin-kerjasama-ekonomi-lebih-besar-dengan
Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Brunei dijangka beroperasi tahun ini. (2024, February 28). Utusanborneo.com.my. https://www.utusanborneo.com.my/2024/02/28/pejabat-perdagangan-dan-pelancongan-sarawak-brunei-dijangka-beroperasi-tahun-ini
Pejabat Perdagangan Dan Pelancongan Sarawak Brunei Mampu Beri Impak Pulangan Ekonomi Kepada Negara | Suara Sarawak. (2024, October 3). Suara Sarawak. https://suarasarawak.my/pejabat-perdagangan-dan-pelancongan-sarawak-brunei-mampu-beri-impak-pulangan-ekonomi-kepada-negara/
Sarawak Dan Brunei Perkukuh Hubungan Menerusi STATOB, Labur RM6 Bilion Hubung Miri Ke Lawas | Suara Sarawak. (2024, October 4). Suara Sarawak. https://suarasarawak.my/sarawak-dan-brunei-perkukuh-hubungan-menerusi-statob-labur-rm6-bilion-hubung-miri-ke-lawas/