Pengenalan Peraturan Kelayakan dan Pendaftaran Juruaudit Luar Bertauliah 2024 dan Peraturan Pembakaran dan Pelepasan di bawah Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) adalah usaha berterusan Sarawak dalam menangani perubahan iklim.
Menurut Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, peraturan pertama yang dikenali sebagai ‘Qualification and Registration of Accredited External Auditor Rules’ akan memastikan audit yang dijalankan benar-benar mengikut piawaian selain memastikan bahawa laporan audit yang dibuat adalah laporan yang sahih dan data mestilah dikeluarkan oleh juruaudit yang ditauliah.
Usaha tersebut adalah langkah proaktif kerajaan untuk mengawal selia proses yang digunakan dalam sektor industri dan alam sekitar supaya diurus dengan lebih berkesan.
Peraturan baharu yang kedua akan memastikan apa-apa jumlah pelepasan gas, khususnya pembakaran gas di tapak minyak yang melampau dan melepasi tahap ditetapkan dapat dipantau oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB).
Pemantauan terhadap tahap pembakaran gas seperti metana yang boleh memberi kesan negatif sekiranya tidak dikawal perlu ditekankan.
Tambahan pula, gas yang terlalu banyak dan pembakaran yang berlebihan mendatangkan risiko kebakaran dan pemanasan melampau.
Premier menekankan, Kerajaan Sarawak serius dalam memastikan sistem pemantauan berkenaan dapat dilaksanakan dengan ketat dan beliau berharap supaya sektor korporat dapat bekerjasama dengan kerajaan untuk melindungi alam sekitar.
Sarawak mengambil langkah itu sebagai sebahagian daripada inisiatif dan kerjasama global dalam menangani cabaran mendesak dalam berhadapan peningkatan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dengan suhu global kini mencecah 1.46 darjah selsius, iaitu melebihi tahap pra-industri yang mana dunia kini sedang menghampiri ambang kritikal pada 1.5 darjah selsius.
Oleh yang demikian, beliau menegaskan bahawa usaha mengurangkan pelepasan karbon dan menjaga alam sekitar mesti diperhebat seperti meningkatkan pemantauan pelepasan serta memastikan ketelusan melalui pelaporan yang rapi.
Menerusi usaha-usaha tersebut, akauntabiliti dalam hal berkaitan alam sekitar dapat dipupuk, seterusnya memacu kemajuan yang bermakna ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Pemakluman mengenai peraturan-peraturan baharu tersebut dibuat oleh Premier ketika beliau merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Sarawak 2024 di Dewan Majma’ Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kuching pada 23 Oktober lepas.
Iltizam Kerajaan Sarawak memastikan kelestarian alam sekitar adalah sebahagian daripada teras utama Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang akan memacu Sarawak mencapai status maju menjelang tahun 2030.
PCDS 2030 menggariskan tiga (3) teras utama, iaitu Kemakmuran Ekonomi, Keterangkuman Sosial dan Kelestarian Alam Sekitar.
Di bawah teras Kelestarian Alam Sekitar, antara inisiatif yang diambil adalah mitigasi ataupun pengurangan dan penyesuaian perubahan iklim.
Pengumuman Premier mengenai peraturan-peraturan baharu berkenaan yang bertujuan untuk menjamin kelestarian alam sekitar adalah berkait rapat dengan inisiatif tersebut.
Peningkatan paras laut dan cuaca ekstrem menandakan kesan perubahan iklim yang ketara. Bagi menangani situasi dan mengurus risiko ini, Sarawak harus menyepadukan strategi pengurangan perubahan iklim ke dalam dasar pembangunan.
Salah satu contoh adalah mewujudkan inventori pelepasan GHG dengan pelaporan dan pengesanan tetap penyumbang GHG.
Pengesanan pelepasan GHG daripada sektor seperti tenaga dan pengangkutan, aktiviti perindustrian dan penggunaan produk, pertanian, guna tanah, perubahan guna tanah dan perhutanan (LULUCF) akan memberikan petunjuk kemajuan Sarawak dalam mengurangkan pelepasan.
Strategi pengurangan perubahan iklim bagi mengurangkan pelepasan GHG termasuk menyahkarbon dalam sektor tertentu juga akan melibatkan langkah dari segi perundangan dan insentif berasaskan pasaran.
Langkah berkenaan diambil bertujuan untuk memberi galakan dan insentif kepada amalan rendah karbon dan inisiatif hijau oleh kerajaan dan sektor swasta.
Secara keseluruhannya, usaha tersebut adalah sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan KDNK intensiti pelepasan GHG pada kadar 45% menjelang 2030, relatif dengan KDNK intensiti pelepasan pada 2005.
Setakat ini, Kerajaan Sarawak juga telah meluluskan penggubalan Dasar Perubahan Iklim Sarawak serta Rangka Tindakan Masyarakat Rendah Karbon yang dilaksanakan di Bahagian Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
Inisiatif berkenaan bertujuan untuk mewujudkan inventori pelepasan GHG di Sarawak dan menilai jejak karbon sedia ada di bandar dan pekan dengan membangunkan langkah mitigasi dan penyesuaian serta pelan tindakan yang sesuai sebagai persediaan ke arah rangka tindakan masyarakat rendah karbon.
Usaha ini akan disokong melalui penggubalan Dasar Perubahan Iklim dan rangka kerja pelaporan dan pelaksanaan untuk mengesan sumber pelepasan GHG.
Strategi mitigasi perubahan iklim juga akan disokong oleh usaha perlindungan dan pemuliharaan hutan, peningkatan penggunaan dan kepelbagaian kapasiti tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar, biojisim dan penerokaan teknologi hidrogen berskala komersial.
Selaras dengan langkah ke arah ekonomi hijau, penyahkarbonan sektor industri perlu diberi perhatian di samping memastikan peralihan yang adil ke arah ekonomi kitaran dan rendah karbon.
Pada masa yang sama, Sarawak akan membangunkan kluster inovasi bagi mencari penyelesaian baharu dalam usaha meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan sisa dan seterusnya mengurangkan pelepasan GHG.