- Advertisement -
4,851
published news
and counting

Menangani Isu Psikososial Dalam Masyarakat

Must read

Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi membantu menangani isu psikososial dalam masyarakat khususnya golongan sasar di bawah KPWKM.

Pusat ini menyediakan perkhidmatan bantuan psikososial yang holistik dengan sesi bimbingan dan kaunseling, sokongan emosi, mengurangkan tekanan melampau, transit sementara berbentuk ‘immediate relief’ serta menjadi pusat penerimaan aduan dan intervensi awal sebelum dirujuk kepada jabatan atau agensi kerajaan yang berkaitan.

Di Sarawak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) memainkan peranan penting dalam memelihara kumpulan-kumpulan sasar ini dengan menyediakan bantuan, sokongan dan peluang yang adil bagi menjamin kesejahteraan mereka.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), Tuan Haji Semawi Bin Haji Mohamad ketika ditemu bual RAKAN Sarawak memberitahu, Rumah Seri Kenangan antara institusi yang memainkan peranan penting dalam menyediakan tempat perlindungan untuk warga emas selain Rumah Kanak-Kanak yang memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang terabai.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), Tuan Haji Semawi Bin Haji Mohamad

Bagi warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dan tidak mempunyai keluarga, JKMS akan  menyediakan tempat perlindungan yang dikenal sebagai Rumah Seri Kenangan.

Setakat ini, JKMS mempunyai dua Rumah Seri Kenangan iaitu yang pertama adalah di Kuching dan yang kedua adalah di Sibu.

Namun, untuk kemasukan ke Rumah Seri Kenangan ini, terdapat beberapa syarat penting yang perlu diberi perhatian iaitu, individu tersebut haruslah tidak menghidap penyakit berjangkit dan demensia.

Insan-insan istimewa yang berada di Rumah Seri Kenangan Kuching (Sumber gambar: FB Rumah Seri Kenangan)
Rumah Seri Kenangan Kuching Batu 12

Sebagai contoh, baru-baru ini JKMS terpaksa menolak kemasukan seorang warga emas yang menghidap penyakit sifilis demi mengelak penyebaran penyakit tersebut.

Selain itu, JKMS juga turut menangani kes-kes di mana anak-anak meninggalkan orang tua mereka tanpa sebarang tanggungjawab, seperti kes seorang bapa yang ditinggalkan di rumah orang dan di hospital baru-baru ini.

JKMS juga sentiasa berusaha untuk menjadi pelindung kepada kanak-kanak yang terbiar atau yang menjadi mangsa penderaan.

Salah satu Rumah Kanak-Kanak adalah yang terletak di Batu 12, Jalan Penrissen di mana JKMS telah mengambil tanggungjawab untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang memerlukan.

Rumah Kanak-Kanak yang terletak di Batu 12

Baru-baru ini, terdapat sebuah kes yang melibatkan seorang bayi berusia hanya satu minggu ditemui dibuang di Trusan, Lawas.

Sebagai pegawai pelindung, kakitangan JKMS segera bertindak dengan membawa kes ini ke mahkamah untuk mendapatkan perintah mahkamah sehingga akhirnya bayi tersebut telah diserahkan ke Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Sabah, iaitu tempat perlindungan terdekat.

Selain itu, baru-baru ini juga, JKMS telah menangani satu kes di Sibu di mana seorang kanak-kanak dibuang oleh ibu bapanya yang tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, kanak-kanak tersebut kini telah ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Sibu untuk mendapat penjagaan dan sokongan sepenuhnya.

Di seluruh Sarawak, JKMS kini menjaga lebih 50 orang kanak-kanak di pelbagai rumah perlindungan yang ada dan kes-kes seperti ini tidak asing lagi dalam tanggungjawab mereka.

Beberapa bulan yang lalu, pihak JKMS terkejut dengan satu kes yang menggemparkan iaitu seorang kanak-kanak perempuan yang telah dirogol oleh datuknya sendiri di mana ibu bapa kanak-kanak itu telah bercerai, dan kanak-kanak tersebut terpaksa tinggal bersama datuknya.

Setelah menerima aduan daripada jiran-jiran yang prihatin, pihak JKMS segera mengambil tindakan dengan membuat permohonan perintah mahkamah (court order) untuk menempatkan kanak-kanak malang ini di Rumah Kanak-Kanak.

Kes-kes seperti ini amat menyentuh hati pihak JKMS kerana kebanyakan kanak-kanak yang dijaga di rumah perlindungan adalah mereka yang dianiaya oleh ibu bapa mereka sendiri.

Justeru, salah satu misi JKMS adalah memastikan setiap kanak-kanak ini tidak hanya diberi perlindungan, tetapi juga kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya.

Oleh itu, setiap kali tiba masa yang sesuai, JKMS akan berusaha mencari keluarga angkat untuk mereka kerana matlamat JKMS adalah untuk memastikan sebelum kanak-kanak ini mencapai umur 18 tahun, mereka sudah mempunyai keluarga angkat.

Hal ini kerana, setelah kanak-kanak ini mencapai usia 18 tahun, mereka seharusnya tidak lagi berada di bawah tanggungjawab JKMS

Bagi remaja yang menghadapi masalah akhlak pula, JKMS turut menyediakan asrama akhlak untuk lelaki dan perempuan.

Desa Bina Diri (DBD), mungkin tidak banyak diketahui oleh orang ramai, merupakan pusat untuk menempatkan individu gelandangan yang tidak memiliki tempat tinggal dan memerlukan bantuan.

TTG Sibu bantu gelandangan yang mahu memulakan kehidupan baharu dengan lebih sempurna

Di sini, JKMS berusaha untuk memulihkan individu gelandangan yang mempunyai pelbagai masalah kehidupan, termasuk mereka yang pernah terlibat dengan jenayah.

Bagi mereka yang telah kembali ke pangkal jalan dan ingin memulakan kehidupan baharu, DBD memberikan ruang untuk mereka beristirahat, menerima rawatan, serta bimbingan dan setelah mereka pulih dengan pengesahan doktor, JKMS akan melepaskan mereka untuk kembali kepada masyarakat.

Bagi gelandangan yang berusia kurang daripada 60 tahun dan tidak mempunyai keluarga, mereka biasanya diberikan tempoh selama dua tahun untuk menjalani proses pemulihan.

Namun, ada juga yang tinggal lebih lama dari tempoh yang ditetapkan disebabkan mereka tidak mempunyai tempat untuk kembali dan setakat ini, lebih 30 orang gelandangan ditempatkan di DBD.

Bagi gelandangan yang tiada masalah kesihatan serius, seperti HIV atau penyakit jantung, mereka boleh diterima untuk menjalani proses pemulihan di sini.

Ada diantara gelandangan yang pernah terlibat dalam kes jenayah serius seperti kes bunuh dan telah menjalani hukuman penjara.

Setelah dibebaskan, mereka ingin memulakan kehidupan baharu tanpa terjebak dalam kesalahan lalu, maka DBD menjadi tempat untuk mereka dipulihkan sebelum mereka kembali kepada masyarakat dengan semangat yang baharu.

Orang gelandangan kebiasaannya tidak mempunyai keluarga, namun mereka mempunyai daya tahan untuk mencari rezeki dengan cara mereka sendiri.

Di sekitar Kuching, aduan tentang gelandangan sering diterima, terutamanya di kawasan seperti Satok dan Petra Jaya, di mana orang awam akan menghantar gambar untuk melaporkan keberadaan gelandangan.

- Advertisement -

Namun, tidak semua gelandangan akan diterima kerana mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah atau dalam keadaan mabuk tidak diterima masuk ke dalam program ini.

Apabila JKMS menerima aduan, PSK dan pegawai tetap akan melakukan siasatan terlebih dahulu untuk memastikan bahawa individu yang dilaporkan memang gelandangan.

Jika disahkan, mereka akan diterima dan dipindahkan ke DBD untuk pemulihan manakala, bagi mereka yang melebihi usia 60 tahun, mereka akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article