Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Jabatan Premier Sarawak (JPS) baru-baru ini telah menerima pengiktirafan sebagai Good Practice Achiever di bawah pensijilan Malaysia Business Excellence Framework (MBEF).
Ia sebagai mengiktiraf usaha STIU dalam memacu kecemerlangan perkhidmatan awam, meningkatkan produktiviti dan daya saing Kerajaan Sarawak melalui inisiatif transformasi serta inovasi.
Sijil MBEF tersebut telah disampaikan semasa sesi kunjungan hormat Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Encik Zahid Ismail kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki yang turut disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), YBhg Datu Hii Chang Kee, Pengarah STIU, Encik Superi Awang Said.
Setiausaha Kerajaan Sarawak ketika sesi tersebut menyifatkan pengiktirafan sebagai Good Practice Achiever di bawah pensijilan MBEF adalah satu pencapaian bermakna dalam usaha STIU, JPS melaksanakan amalan kecemerlangan organisasi.

Perkhidmatan Awam Sarawak, jelas beliau akan terus komited untuk memastikan transformasi dan inovasi menjadi asas kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan responsif.
Pada masa yang sama, jelas beliau selain daripada MBEF, kaedah pengukuran transformasi organisasi yang diamalkan dalam Perkhidmatan Awam Sarawak seperti Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) dan SCS Scorecard turut mewujudkan persaingan sihat di kalangan agensi-agensi ke arah penambahbaikan secara berterusan.
Secara tidak langsung, tambah beliau ia dapat menjamin pencapaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terutama dalam mencapai teras strategik di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) iaitu Ease of Doing Business.
Pengiktirafan ini mencerminkan pendekatan strategik STIU, JPS dalam memperkasakan penyampaian Perkhidmatan Awam Sarawak secara berstruktur, yang selaras dengan PCDS 2030 bertujuan untuk memperkukuhkan visi Sarawak dalam pembangunan mampan dan meningkatkan produktiviti.
Pada majlis yang sama, Pengarah STIU, Encik Superi Awang Said menjelaskan bahawa Malaysia Business Excellence Framework ialah rangka kerja yang disesuaikan dalam konteks Malaysia, berasaskan piawaian antarabangsa seperti Baldrige Excellence seiring dengan amalan terbaik global untuk memastikan organisasi mencapai standard tinggi.
Menurut Encik Superi pendekatan MBEF yang bersifat pengukuran prestasi secara berterusan ini sangat menitikberatkan kaedah ADLI yang berdasarkan empat elemen utama iaitu pendekatan (Approach), pelaksanaan (Deployment),pembelajaran (Learning) dan integrasi (Integration) untuk memastikan keberkesanan dan kesinambungan amalan baik organisasi.