- Advertisement -
4,900
published news
and counting

JKMS Selaras Peranan Bagi Mencapai Matlamat PCDS 2030

Must read

Sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap kebajikan sosial, ekonomi, dan pembangunan masyarakat, JKMS telah melaksanakan pelbagai langkah strategik untuk memperkukuhkan peranannya dalam pembangunan negeri Sarawak.

Dalam usaha mencapai matlamat PCDS 2030, JKMS memberi tumpuan khusus kepada golongan rentan, pengukuhan kemahiran, digitalisasi perkhidmatan, dan kerjasama dengan pelbagai agensi serta badan bukan kerajaan (NGO).

Langkah-langkah ini selaras dengan objektif untuk mewujudkan komuniti yang inklusif, sejahtera, dan berdaya saing.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyrakat Sarawak (JKMS), Tuan Haji Semawi Bin Haji Mohamad ketika ditemu bual RAKAN Sarawak

JKMS bertekad untuk terus menjaga kebajikan golongan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, dan keluarga berpendapatan rendah.

Melalui pelbagai program sokongan sosial dan bantuan kewangan, JKMS berusaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka dan mengurangkan kemiskinan.

Pada tahun lalu, Kerajaan Sarawak telah membelanjakan sebanyak RM54 juta untuk 56 ribu penerima bantuan sosial yang melibatkan bantuan negeri dan persekutuan.

Selain itu, sebanyak RM216 juta diperuntukkan untuk golongan warga emas dan OKU, manakala RM38 juta bagi Bantuan Am dan Bantuan Belia.

Bantuan seperti kaki palsu, alat pendengaran, katil, dan kerusi roda telah diluluskan sebanyak RM480,000 pada 2024

Selain bantuan kewangan, JKMS turut memberi perhatian terhadap peningkatan kemahiran golongan rentan melalui program latihan kemahiran dan keusahawanan.

Langkah ini bertujuan memperkasakan golongan tersebut untuk berdikari dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri.

Program pembangunan ekonomi, khususnya untuk mereka yang masih produktif, juga dilaksanakan dengan objektif membantu mereka untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan, seterusnya memperbaiki pendapatan.

JKMS tidak hanya memberi fokus kepada bantuan kewangan dan latihan kemahiran, tetapi juga kepada peningkatan aksesibiliti kemudahan mesra OKU dan warga emas.

Prasarana kerajaan dan kawasan awam terus diperbaiki untuk memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kemudahan dengan selesa dan tanpa halangan.

Penambahbaikan ini bertujuan untuk mewujudkan komuniti inklusif yang dapat menikmati perkhidmatan sosial dengan adil.

JKMS mengutamakan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, sektor swasta, dan NGO dalam menyampaikan program kebajikan.

Melalui kerjasama ini, sumber daya dapat dikongsi dan program kebajikan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Sebagai contoh, Majlis Sejambak Kasih Deepavali 2024 yang diadakan bersama PETRONAS menyaksikan Kerajaan Sarawak melalui JKMS memberi sumbangan kepada 40 penerima bantuan dalam bentuk tunai dan hamper barangan makanan asas.

Program ini menyokong matlamat PCDS untuk membangunkan modal insan dan mengurangkan bilangan penduduk yang hidup dalam kemiskinan.

Komitmen JKMS terhadap digitalisasi terus diperkukuhkan melalui penggunaan teknologi dalam penyampaian bantuan kebajikan.

Inisiatif seperti pendaftaran bantuan secara dalam talian dan pembentukan pangkalan data kebajikan bersepadu menjadi langkah penting dalam memodenkan perkhidmatan awam serta meningkatkan kecekapan operasi JKMS.

Langkah ini sejajar dengan objektif PCDS untuk mempercepatkan transformasi digital dalam sektor awam.

Seiring dengan matlamat PCDS 2030 untuk mewujudkan kemakmuran bersama, JKMS turut memperkenalkan program bantuan perubatan yang bertujuan meringankan beban golongan kurang bernasib baik, khususnya pesakit buah pinggang.

Pada tahun lepas, sebanyak RM3 juta dibelanjakan untuk membantu pesakit buah pinggang dari golongan miskin bagi membolehkan mereka menjalani rawatan hemodialisis di klinik swasta apabila hospital kerajaan tidak mempunyai kapasiti.

Bantuan lain seperti kaki palsu, alat pendengaran, katil, dan kerusi roda juga telah diluluskan sebanyak RM480,000 pada 2024 dan dijangka meningkat kepada RM600,000 menjelang hujung tahun 2024.

JKMS turut memberi penekanan kepada program kesedaran sosial untuk meningkatkan pemahaman masyarakat tentang isu kebajikan, termasuk keganasan rumah tangga, hak-hak komuniti rentan, dan kesihatan mental.

Inisiatif ini bertujuan membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan proaktif dalam menjaga kesejahteraan sosial.

Pewujudan Cawangan Penguatkuasa juga diharapkan dapat mempertingkatkan lagi penguatkuasaan undang-undang dan advokasi kebajikan di negeri ini.

JKMS juga memainkan peranan aktif dalam acara sukan Para SUKMA, yang kini dilaksanakan dengan lebih berstruktur.

Selepas kekalahan kepada Sabah dua tahun lalu, JKMS telah memperkenalkan sistem baharu yang lebih sistematik.

- Advertisement -

Pada tahun 2024, Sarawak berjaya merampas semula kemenangan kali ke-14 dan sebagai langkah lanjutan, JKMS akan mewujudkan Unit Sukan OKU untuk memastikan golongan OKU bukan sahaja terlibat dalam sukan, tetapi juga mampu menjana pendapatan melalui bakat yang dimiliki.

Program ini turut menyediakan elaun, latihan, dan peluang untuk atlet OKU berlatih di luar negara sebelum bertanding dalam pertandingan besar.

Melalui langkah-langkah ini, JKMS menyokong strategi PCDS 2030 dalam memastikan kesejahteraan masyarakat meningkat, ekonomi golongan rentan diperkuatkan, serta Sarawak berkembang secara mampan dan inklusif.

Demikian perkembangan di JKMS yang dikongsikan oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyrakat Sarawak (JKMS), Tuan Haji Semawi Bin Haji Mohamad ketika ditemu bual RAKAN Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article