- Advertisement -
4,895
published news
and counting

Pengukuhan Hubungan Antara Komuniti dan PBT Melalui Majlis Komuniti

Must read

Di Sarawak, pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Dewan/Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah telah memperkenalkan pelbagai majlis komuniti untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam pembangunan kawasan yang dipertanggungjawabkan untuk mewujudkan negeri yang mampan dan berdaya saing.

Majlis komuniti merujuk kepada organisasi atau badan perwakilan tempatan yang ditubuhkan untuk mengurus pembangunan dan pengurusan komuniti setempat, termasuk di kawasan pedalaman.

Ia melibatkan penduduk setempat yang terpilih menyelaraskan aktiviti pembangunan dan kesejahteraan masyarakat dalam kerjasama dengan PBT atau agensi kerajaan.

Kebiasaannya majlis komuniti diwujudkan di peringkat kampung atau kawasan perumahan untuk mengurus hal ehwal setempat serta pembangunan di kawasan berkenaan.

Penubuhan majlis komuniti seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Majlis Kejiranan Mesra (KJM) di Sarawak berfungsi sebagai saluran komunikasi dua hala antara komuniti dan pihak berkuasa tempatan.

Kerjasama komuniti dalam menjaga keselamatan kawasan setempat memainkan peranan penting terutamanya sewaktu bencana. Sumber foto: Utusan Malaysia

Melalui JKKK, penduduk dapat menyuarakan pandangan serta aduan secara langsung kepada PBT, manakala pihak berkuasa dapat menyampaikan maklumat dan dasar-dasar kerajaan kepada komuniti.

KJM di bawah pantauan DBKU di kawasan Kuching Utara pula menjadi salah satu platform untuk menerima maklumat terus daripada penduduk tentang masalah seperti longgokan sampah haram atau penyelenggaraan parit.

Komuniti setempat juga dapat bekerjasama dengan DBKU dalam aktiviti pembersihan kawasan dan penanaman pokok, yang meningkatkan kesedaran serta kualiti kebersihan dengan adanya KJM.

Dengan menyertai aktiviti seperti rondaan keselamatan atau program gotong-royong, masyarakat menjadi lebih prihatin terhadap kawasan mereka, dan ini membantu meringankan beban PBT dalam usaha penyelesaian masalah setempat.

Gotong Royong AJK Bersama JKKK di kawasan Dewan Serbaguna secara berkala mampu menjamin kebersihan infrastruktur untuk kegunaan masyarakat setempat. Sumber foto: Laman Facebook JKKK Kawasan Matang Dan Sungai Tengah

Penubuhan majlis komuniti juga dapat meningkatkan keberkesanan dalam program tempatan seperti aktiviti gotong-royong, kebersihan dan keselamatan demi kesejahteraan kawasan yang dikelola.

Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) turut mengambil inisiatif untuk menubuhkan majlis komuniti yang mewakili pelbagai golongan masyarakat iaitu Majlis Komuniti Emas, Belia dan Kanak-Kanak.

Majlis Perhimpunan Sulung Majlis Komuniti DBKU bagi sesi 2024-2026 merupakan perhimpunan pertama seumpamanya, di mana DBKU telah menggabungkan ketiga-tiga majlis berkenaan (DBKU, 2024).

Seramai 35 orang ahli majlis komuniti telah menerima watikah Majlis Komunti DBKU yang telah disampaikan oleh Yang Berhormat Datuk Dr Abdul Rahman bin Haji Junaidi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dan disaksikan oleh Yang Berbahagia Dato Haji Hilmy bin Haji Othman, Datuk Bandar Kuching Utara.

Hadir sama, Yang Berusaha Puan Salwa bin Pauzi, Pengarah DBKU dan Timbalan-Timbalan Pengarah DBKU (DBKU, 2024).

Melalui majlis komuniti yang khusus seperti Majlis Komuniti Kanak-Kanak, Belia, dan Warga Emas, PBT dapat merancang program atau menyelesaikan isu berdasarkan keperluan golongan tertentu.

Majlis Komuniti Warga Emas DBKU pastinya dapat membantu dalam memastikan keselamatan warga emas di kawasan kejiranan terjamin serta meningkatkan sokongan interaksi antara generasi dengan adanya program seperti pemeriksaan kesihatan percuma.

Dengan adanya aktiviti pembersihan yang dilaksanakan oleh majlis komuniti, masyarakat setempat lebih prihatin terhadap kawasan kejiranan. Sumber foto: MySociety

Selain itu, program seperti Bengkel Pemerkasaan KJM DBKU turut mengalakkan penduduk Kuching Utara untuk bekerjasama dengan DBKU sebagai salah satu agenda utama Program Kejiranan Mesra DBKU.

Dengan struktur ini, majlis komuniti amat memainkan peranan penting dalam memastikan kerjasama yang erat serta mengukuhkan hubungan antara penduduk setempat dan pihak berkuasa tempatan, yang boleh membawa kepada pembangunan komuniti yang lebih baik.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran dalam usaha penubuhan majlis komuniti terutamanya di pedalaman Sarawak. Antaranya adalah:

- Advertisement -
  • Lokasi menyebabkan aksesibiliti untuk mendapatkan sokongan teknikal terhad.
  • Kekurangan sumber tenaga manusia untuk melaksanakan projek komuniti.
  • Tahap kesedaran dan penglibatan masyarakat yang masih rendah.

Oleh itu, pendekatan yang lebih holistik dan sokongan daripada semua pihakamat diperlukan bagi mengatasi cabaran-cabaran ini untuk memastikan pembangunan komuniti yang lebih inklusif dan mampan di Sarawak.

Rujukan

Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU). (2024, Dis 10). “Majlis Perhimpunan Sulung Majlis Komuniti DBKU bagi sesi 2024-2026 ini…”. Laman Facebook. Diperoleh pada 28 Januari 2025, daripada https://www.facebook.com/BandarayaKU/posts/pfbid0K4PeF4DsLPZsrwf6BNoGRbfZ5ArPxac8cVJhmau1HV4D1zjozDWYbwhCaqZNSSvBl

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article