Pemerkasaan komuniti melalui aktiviti pembangunan sosial dan ekonomi memainkan peranan penting dalam mewujudkan masyarakat yang inklusif, berdikari, dan mampan.
Inisiatif ini bertujuan untuk memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak, belia dan warga emas untuk terlibat secara aktif dalam projek pembangunan setempat.
Program seperti latihan kemahiran, keusahawanan, dan aktiviti kesukarelawanan bukan sahaja meningkatkan modal insan tetapi juga membantu meningkatkan taraf hidup dan daya tahan sesebuah komuniti.
Penubuhan majlis komuniti seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terutamanya, memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Sebagai contoh, di Limbang, penglibatan JKKK dalam Program Pementoran Desa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memanfaatkan sumber yang ada bagi meningkatkan kapasiti institusi peringkat kampung.

Program ini melibatkan Kampung Pabahanan sebagai mentor manakala Kampung Kampung Limpasong, Kampung Meritam dan Kampung Limpaku Pinang sebagai menti yang telah memberi kesan positif yang berpanjangan untuk mencapai kesepakatan bersama antara komuniti setempat.
Menurut Pegawai Daerah Limbang, Encik Sulaiman Engal, penglibatan aktif ini menunjukkan bahawa institusi JKKK berpotensi mempercepatkan pembangunan luar bandar secara menyeluruh melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta (Sarawak Media Group, 2024).
Selain daripada meningkatkan kesejahteraan masyarakat, penubuhan majlis komuniti mampu menjadi penggerak ekonomi bagi masyarakat setempat terutamanya golongan belia.

Kawasan luar daripada bandar Kuching seperti Kampung Buntal misalnya, perlu diberikan lebih perhatian kerana ia merupakan salah satu kawasan tarikan pelancong dan ini sekali gus akan mempengaruhi kestabilan ekonomi penduduk setempat.
Sehubungan itu, Kejiranan Mesra (KJM) di Kampung Buntal memainkan peranan penting dalam memperkasakan aktiviti ekonomi seperti keusahawanan melalui kerjasama bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).
Penggunaan konsep ‘glamping’ sebagai tarikan utama di Kampung Buntal adalah salah satu cadanga oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) merangkap ADUN Pantai Damai, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dalam usaha memperkasakan ekonomi komuniti di kawasan perkampungan berpotensi tinggi seperti Kampung Buntal (Zaki, 2024).

Aktiviti ‘glamping’ yang menggabungkan keunikan dan keindahan alam semula jadi, mampu menarik pengunjung dari luar kawasan, terutamanya golongan muda yang semakin berminat dengan pengalaman luar yang luar biasa.
Peranan KJM dalam mencadangkan dan melaksanakan aktiviti seperti ‘glamping’ bukan sahaja memberi peluang pendapatan kepada penduduk tempatan, tetapi juga mengukuhkan hubunganinteraktif antara golongan belia dan majlis komuniti.
Golongan belia yang terlibat dalam perkhidmatan ini akan berpeluang untuk mengembangkan kemahiran dalam pelbagai aspek seperti pengurusan perniagaan, perkhidmatan pelancongan dan pemasaran.

Mereka juga dapat bekerjasama dalam merancang dan menjalankan program, kemudiannya boleh memperkuatkan semangat kesatuan dalam komuniti apabila terlibat secara inklusif dalam aktiviti anjuran PBT.
Seterusnya, golongan belia di kampung tersebut turut berpeluang menjadi agen perubahan dalam usaha mempromosikan pembangunan tempatan, menjadikan kawasan tersebut lebih menarik bagi meningkatkan aktiviti pelancongan sekaligus meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Oleh itu, penubuhan majlis komuniti seperti KJM di bawah kendalian PBT merupakan platform yang efektif untuk belia dan komuniti bersatu hati dalam memajukan kawasan mereka bagi mewujudkan masyarakat yang berdaya saing.
Inisiatif pemerkasaan komuniti di kawasan luar bandar seperti Limbang dan Kampung Buntal di Sarawak menunjukkan betapa pentingnya peranan majlis komuniti dalam mendorong pembangunan ekonomi dan sosial.
Kerjasama antara sektor awam dan swasta yang dipermudahkan oleh majlis komuniti pastinya berupaya mempercepatkan pencapaian objektif pembangunan komuniti.
Justeru, inisiatif-inisiatif berkenaan memberikan impak jangka panjang dalam memastikan rakyat Sarawak menikmati kemakmuran ekonomi di samping mewujudkan masyarakat yang lebih sejahtera bagi mencapai pembangunan modal insan yang terbaik menjelang tahun 2030 di Sarawak.
Rujukan
Sarawak Media Group (2024, November 16). JKKK berperanan lahir masyarakat luar bandar sejahtera. TVS News. Diperoleh pada Januari 30, 2025, daripada https://www.tvsarawak.my/2024/11/16/jkkk-berperanan-lahir-masyarakat-luar-bandar-sejahtera/
Zaki, M. Z. (2024, November 24). Kampung Buntal bakal miliki medan niaga. Suara Sarawak. Diperoleh pada Januari 30, 2025, daripada https://suarasarawak.my/kampung-buntal-bakal-miliki-medan-niaga/