Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Sarawak memainkan peranan penting dalam memacu pertubuhan ekonomi negeri, sama ada melalui pelaburan strategik, pengurusan sumber, atau inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Laman sesawang rasmi mereka tidak hanya menjadi platform penyampaian maklumat, tetapi juga sebagai jambatan interaksi antara syarikat dengan pemegang taruh. Dalam artikel ini, kita akan melihat lebih dekat tiga laman sesawang utama GLC di Sarawak: Sarawak Energy, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), dan Sarawak Economic Development Corporation (SEDC).
- Sarawak Energy: Tenaga Hijau untuk Masa Hadapan
Laman sesawang Sarawak Energy mempersembahkan antara muka yang mesra pengguna, memastikan pelawat dapat dengan mudah mengakses maklumat penting seperti perkhidmatan pelanggan, inisiatif pelaburan, dan sumber media.
Struktur navigasi yang tersusun memudahkan pengalaman melayari laman ini untuk pelbagai jenis pengguna. Laman ini secara aktif memaparkan perkembangan terkini, termasuk laporan tahunan dan artikel mengenai tanggungjawab sosial korporat (CSR), dengan sorotan khusus pada projek hidroelektrik yang menyumbang kepada usaha negeri untuk mencapai tenaga boleh diperbaharui.
Untuk menjadikan maklumat lebih mudah diakses oleh semua golongan, laman ini menyediakan pilihan bahasa yang pelbagai, menjadikan ia dapat digunakan dengan berkesan oleh pengguna dari pelabur antarabangsa hingga masyarakat tempatan.
- PETROS: Pemacu Industri Minyak dan Gas
Laman sesawang PETROS menampilkan reka bentuk moden yang membolehkan pengguna mencari maklumat mengenai operasi syarikat, projek, dan perkhidmatan dengan mudah.
Reka bentuk yang interaktif menggambarkan sifat profesional syarikat, menyediakan pengalaman yang lancar bagi pengunjung. Maklumat yang dipaparkan sentiasa dikemas kini, termasuk perkembangan mengenai projek semasa, teknologi terkini, dan peluang kerjaya.
Ini menunjukkan komitmen PETROS terhadap ketelusan dan usaha mereka untuk berkomunikasi secara aktif dengan pemegang taruh. Dengan reka bentuk responsif, laman sesawang ini dapat dilayari dengan lancar pada kedua-dua peranti desktop dan mudah alih, memudahkan akses kepada semua lapisan pengguna.
- SEDC: Pemangkin Pembangunan Ekonomi
Laman sesawang SEDC memberikan akses mudah kepada kategori utama seperti perkhidmatan, projek pembangunan, dan informasi pelaburan. Reka bentuknya yang ringkas tetapi penuh dengan kandungan relevan memudahkan pengguna mencari maklumat yang diperlukan.
Maklumat mengenai projek pembangunan ekonomi dan program komuniti dipaparkan secara terperinci, yang menyerlahkan peranan SEDC dalam memacu transformasi sosioekonomi di Sarawak.
Untuk menjamin akses yang lebih inklusif, laman ini turut menyediakan pilihan bahasa yang memudahkan pengguna daripada pelbagai latar belakang untuk mengakses maklumat dengan mudah, disertai dengan teks yang jelas dan grafik yang menarik.
Ketiga-tiga laman sesawang ini mencerminkan imej korporat GLC di Sarawak dan berfungsi sebagai alat komunikasi strategik. Walaupun berkesan, terdapat ruang untuk penambahbaikan seperti memastikan reka bentuk responsif untuk semua peranti dan kandungan yang sentiasa relevan.
Dengan usaha berterusan, laman sesawang ini dapat terus menyokong pembangunan negeri dan memenuhi keperluan pengguna dengan lebih baik.
Walaupun portal rasmi GLC di Sarawak mempunyai banyak kelebihan, terdapat beberapa aspek yang boleh diperbaiki. Salah satu elemen yang mempengaruhi maklumat yang disampaikan kurang jelas ialah penggunaan bahasa.
Terdapat beberapa portal rasmi GLC di Sarawak yang menggunakan Bahasa Inggeris tanpa terjemahan. Ini menimbulkan kesulitan terhadap pengguna yang lebih selesa dengan satu bahasa sahaja.
Antara contoh laman sesawang GLC di Sarawak yang kurang jelas dari segi penggunaan bahasa ialah laman Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), yang boleh diakses di bintuluport.com.my.

Laman BPHB menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama tanpa memberikan pilihan terjemahan ke Bahasa Melayu untuk sebahagian besar kandungannya.
Kekurangan ini boleh menyulitkan pengguna yang lebih fasih menggunakan Bahasa Melayu terutamanya apabila mencari maklumat penting berkaitan perkhidmatan pelabuhan atau projek korporat syarikat tersebut.
Kecenderungan dalam menggunakan Bahasa Inggeris untuk kebanyakan kandungan di laman sesawang juga boleh menimbulkan kekangan terhadap pengguna.
Sebagai contoh, laman sesawang Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) yang boleh diakses di sedc.com.my.
Kurangnya sokongan dwibahasa yang menyeluruh dalam laman sesawang tersebut menunjukkan perlunya penambahbaikan dalam sokongan dwibahasa yang akan membantu laman ini lebih inklusif dan mesra pengguna dari pelbagai latar belakang.
Bagi meningkatkan kejelasan maklumat untuk disampaikan kepada pengguna dan orang awam, penggunaan teknologi seperti chatbot boleh dipertimbangkan bagi laman sesawang GLC Sarawak yang cenderung menggunakan satu bahasa sahaja.
Chatbot yang mesra pengguna dan responsif boleh membantu menjawab soalan-soalan lazim serta memberi panduan kepada pengunjung laman berkenaan.
Inisiatif ini turut menampilkan kerajaan Sarawak sebagai institusi yang responsif dan memahami keperluan pelbagai kelompok rakyat.
Dengan usaha berterusan untuk memperbaiki laman ini, GLC di Sarawak dapat memastikan pengalaman pengguna yang lebih efisien, meningkatkan imej profesional organisasi berkenaan serta keterlibatan masyarakat terhadap syarikat.
Selain itu, terdapat beberapa aspek laman sesawang ini yang mengelirukan, mamun masih boleh diperbaiki. Salah satu kekeliruan yang timbul ialah maklumat pada sesetengah halaman tidak lengkap.
Contohnya dalam laman sesawang Sarawak Forestry Corporation (SFC), di mana bahagian yang menerangkan peraturan taman negara atau proses mendapatkan permit tidak memberikan penerangan yang terperinci.

Kekurangan ini boleh menyebabkan kekeliruan bagi pengguna yang ingin memohon lesen atau memahami syarat tertentu.
Tambahan pula, SFC merupakan salah satu platform digital utama untuk mempromosikan pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti Sarawak.
Peraturan berkaitan aktiviti seperti fotografi komersial atau penggunaan dron di taman negara juga sering kali tidak dijelaskan dengan spesifik di laman sesawang tersebut sehingga meninggalkan pelawat dalam keadaan tidak pasti sama ada mereka memerlukan permit tambahan.
Kekurangan maklumat ini boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pelawat, terutama pelancong antarabangsa, dan berpotensi menjejaskan pengalaman mereka atau mengakibatkan pelanggaran peraturan secara tidak sengaja.
Maklumat tentang dokumen sokongan yang diperlukan untuk permohonan permit, serta tempoh masa pemprosesan, juga tidak disediakan secara jelas, menyebabkan pengguna terpaksa menghubungi pihak SFC untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Keadaan ini bukan sahaja menyulitkan pengguna tetapi juga boleh melambatkan proses permohonan, terutamanya bagi mereka yang memerlukan permit dengan segera untuk aktiviti yang dirancang.
Perkara ini amat penting kerana penyampaian yang lebih terperinci di laman sesawang dapat membantu pengguna merancang lebih baik dan mengurangkan keperluan untuk komunikasi tambahan.
Sebagai contoh, pada halaman berkaitan peraturan taman negara, maklumat mengenai aktiviti yang dibenarkan atau dilarang sering kali tidak dihuraikan secara spesifik
Perincian seperti lokasi yang sesuai untuk berkhemah, waktu operasi untuk aktiviti tertentu, atau larangan khusus terhadap interaksi dengan flora dan fauna tidak dinyatakan dengan jelas, menyukarkan pelawat untuk membuat perancangan yang tepat.
Dalam masa yang sama, bahagian yang menerangkan proses mendapatkan permit tidak menyatakan masa pemprosesan serta bayaran yang dikenakan secara jelas.
Maklumat ini sangat kritikal untuk membantu pengguna membuat perancangan yang lebih baik dan mengelakkan masalah semasa proses permohonan.
Bersesuaian dengan tujuan laman ini direka, aspek yang menimbulkan kekeliruan haruslah dielakkan kerana laman sesawang SFC ini digunakan untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan kepada pelbagai pihak yang berminat terhadap perlindungan hutan dan hidupan liar.
Secara keseluruhannya, laman sesawang GLC Sarawak mencerminkan usaha kerajaan negeri dalam memanfaatkan teknologi untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Namun, dengan penambahbaikan pada aspek kejelasan maklumat dan kemudahan akses, ia boleh menjadi platform yang lebih efektif dan inklusif.
Langkah ini bukan sahaja akan meningkatkan kepuasan pengguna, tetapi juga memperkukuh imej GLC sebagai pemacu utama pembangunan negeri.