Penubuhan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) adalah satu pendekatan baharu Kerajaan Sarawak untuk memacu dan merancakkan pembangunan Samarahan dalam usaha kerajaan merapatkan jurang pembangunan dan sosioekonomi di antara kawasan bandar dengan luar bandar.
Menurut Pegawai Tadbir Khas IRSDA, Tuan Haji Anuar bin Da’an, fokus pembangunan IRSDA tertumpu pada pembangunan infrastruktur termasuklah pembangunan sektor pertanian dan pelancongan sebagai usaha IRSDA menyelaras peranan dan fungsinya untuk mencapai matlamat Sarawak maju selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Pelaksanaan agenda pembangunan IRSDA diterajui oleh Jawatankuasa Pemandu yang disokong oleh empat (4) Jawatankuasa Kecil.
Jawatankuasa-jawatankuasa tersebut terdiri daripada Jawatankuasa Kecil Pembangunan Infrastruktur, Jawatankuasa Kecil Pesisir Pantai, Ban, Sungai dan Perparitan, Jawatankuasa Kecil Pembangunan Pertanian dan Jawatankuasa Kecil Pembangunan Pelancongan.
Di bawah setiap Jawatankuasa Kecil IRSDA diletakkan agensi pelaksana yang berperanan sebagai Sekretariat/Urus Setia yang bertanggungjawab menyelia, memantau dan menyelaras program dan projek di bawah jawatankuasa masing-masing.
Sekretariat/Urus Setia bagi Jawatankuasa Kecil Pembangunan Infrastruktur ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Samarahan diletakkan di bawah Jawatankuasa Kecil Pesisir Pantai, Ban, Sungai dan Perparitan, Jabatan Pertanian (DOA) Bahagian Samarahan di bawah Jawatankuasa Kecil Pembangunan Pertanian dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) diletakkan di bawah Jawatankuasa Kecil Pembangunan Pelancongan.
Haji Anuar memaklumkan, antara projek-projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kecil Pembangunan Infrastruktur IRSDA ialah Projek Jalan Lubok Teranggas ke Kampung Gedong, Samarahan, Projek Jalan By-Pass Ensengei Melayu ke Jalan Lubok Bunting dan Projek Jalan Kampung Sungai Tanju/Kampung Beliong ke Kampung Lubok Kura.
Projek-projek yang telah siap dilaksanakan ialah projek pembinaan jalan ke pekan Sebuyau, pembinaan jalan Simunjan serta naik taraf jalan Sebandi Ulu/Matang.
IRSDA juga sedang melaksanakan projek pembinaan jambatan bagi meningkatkan akses jalan raya di Bahagian Samarahan yang merangkumi Jambatan Kampung Tanjung Pisang No. 12, Jambatan Pantong Melayu dan Jambatan Sungai Lingkau.
Selain itu, beberapa buah jalan utama dan jalan kampung di Samarahan sudah diterangi dengan lampu jalan di bawah Projek Cadangan Pemasangan Lampu Jalan di Sepanjang Jalan Negeri dan Jalan Kampung di Samarahan yang dilaksanakan secara berfasa oleh JKR Bahagian Samarahan.
Rancangan pembangunan infrastruktur IRSDA juga menumpukan pada usaha memulihara kawasan pesisir pantai, khususnya Daerah Sebuyau yang berisiko mengalami hakisan sungai dan banjir yang boleh menjejaskan kawasan kediaman penduduk dan kawasan pertanian.
Bagi mengelakkan bencana tersebut berlaku, Jawatankuasa Kecil Pesisir Pantai, Ban, Sungai dan Perparitan IRSDA melaksanakan tiga (3) projek berskala besar, iaitu Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), Projek Kejuruteraan Sungai dan Projek Kejuruteraan Pantai.

Projek-projek RTB yang dilaksanakan ialah Drainage Masterplan Study untuk Zon Samarahan, Simunjan dan Gedong, Projek Naik Taraf Perparitan SK Muara Tuang dan Projek Tebatan Banjir dan Skim Perparitan Asajaya Blok 1, 2, 3 dan 4 yang dilaksanakan secara serentak melalui dua (2) pakej.
Antara projek-projek kejuruteraan sungai yang dijalankan adalah kerja-kerja perlindungan hakisan tebing sungai di Sungai Buluh, Sadong Jaya dan kerja-kerja baik pulih Sungai Moyan Laut, Asajaya termasuk Gedong (Fasa 2) yang semuanya bertujuan untuk melindungi penduduk daripada musibah banjir dan hakisan sungai.
Komponen-komponen lain projek kejuruteraan sungai juga melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan sungai dan jalan ladang pertanian berskala kecil.
Bagi Projek Kejuruteraan Pantai, IRSDA melaksanakan pembinaan ban besar dan sistem perparitan di kawasan Skim Perparitan Asajaya Blok 2 termasuk di sepanjang kawasan pesisir pantai dari Pekan Sebangan hingga ke Pekan Sebuyau menuju ke Jambatan Batang Lupar melalui Ban Pesisir Sistem Perparitan Blok A, D, E dan F.
Melalui Jawatankuasa Kecil Pembangunan Pertanian IRSDA, pelbagai projek dan program memajukan sektor pertanian sedang dilaksanakan, iaitu projek tanaman kontan seperti fertigasi terbuka tanaman cili di Tanjung Harapan, Tanjung Pisang dan Selangking, projek pemasangan jejaring kalis serangga untuk tanaman jambu batu di Stakan Cina, projek tanaman sayuran buah melalui sistem drip di Iboi, Pelandok dan Batu Mumong Simunjan serta projek tanaman jagung manis dan tembikai di Rebak dan Sampun, Asajaya.
Salah satu projek pertanian yang giat dijalankan dan dijangka memberi impak sosioekonomi yang signifikan ialah Projek Rintis Agro Research Lab Kelapa Sebuyau Fasa 1 di Ladang Kelapa Pandan, Kampung Arus Melayu, Sebangan.
Sebagai permulaan, projek berkenaan kini sedang dilaksanakan di tanah seluas 3.4 hektar manakala 10 hektar tanah pula dibangunkan untuk tujuan penyelidikan menerusi kerjasama di antara IRSDA dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang turut melibatkan komuniti setempat.
Projek tersebut menyasarkan keluasan 2,000 hektar tanaman kelapa pelbagai varieti dengan peruntukan berjumlah RM35 juta.
Bagi merancakkan sektor pelancongan di Samarahan, Haji Anuar memaklumkan pelbagai projek berimpak tinggi seperti pembinaan Samarahan Boulevard, Taman Tasik Desa Ilmu, Dataran Warisan Sadong Jaya dan Pasar Tamu Asajaya bakal dilaksanakan secara berperingkat.
Salah satu projek berkaitan pelancongan yang telah pun siap dan memberi manfaat sosioekonomi kepada para peniaga ialah Pusat Penjaja MPKS Kampung Tambirat.

Di bawah Pelan Pembangunan Pelancongan Samarahan (STDP) dan projek Pembangunan Kapasiti IRSDA STDP, Jawatankuasa Kecil Pembangunan Pelancongan IRSDA menjalankan kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dan Pejabat Residen Bahagian Samarahan.
Pelaksanaan projek tersebut juga merupakan satu inisiatif dalam meningkatkan pembangunan modal insan melalui kursus-kursus keusahawanan dalam sektor pelancongan yang melibatkan komuniti bersama pihak universiti.
IRSDA menjangkakan projek dan program sektor pelancongan yang diusahakan akan mengubah landskap pembangunan Samarahan sebagai sebuah destinasi tarikan pelancong yang unik dan menarik.
Setakat Disember 2024, sebanyak 451 buah projek daripada 660 projek pembangunan telah siap dilaksanakan oleh IRSDA di bawah peruntukan berjumlah RM1.5 bilion.
Haji Anuar berharap agar segala perancangan IRSDA untuk Bahagian Samarahan dapat menyumbang kepada pembangunan Sarawak secara keseluruhan sejajar dengan matlamat Sarawak maju menjelang 2030.