Pengeluaran kayu di Sarawak telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, iaitu sebanyak RM2.312 juta tan metrik (m3) dicatatkan pada 2023 dengan pendapatan hasil kutipan royalti berjumlah RM340.7 juta.
Sejak 2013, kaedah jambatan timbang elektronik digunakan bagi mendapatkan kiraan nilai royalti muatan kayu yang diangkut oleh lori balak.
Walau bagaimanapun, kaedah tersebut sukar dilaksanakan secara menyeluruh serta tidak efisien memandangkan tidak semua kawasan pembalakan di Sarawak memiliki kemudahan tersebut.
Sesetengah pemegang lesen balak terpaksa membawa muatan kayu ke lokasi yang mempunyai jambatan timbang yang lazimnya terletak jauh di pedalaman dan sukar untuk dihubungi.
Proses mendapatkan kiraan muatan kayu melalui kaedah jambatan timbang juga memerlukan kos yang besar selain memakan masa dan tidak mesra alam.
Beberapa bulan lepas, satu video telah tular di platform media sosial yang merakam sebuah lori dengan muatan balak menggunakan jalan awam di Long Lama, Miri menimbulkan kerisauan orang ramai.
Isu tersebut mendatangkan implikasi yang lebih kompleks apabila melibatkan risiko yang boleh mengancam keselamatan pengguna-pengguna jalan raya selain boleh menyebabkan kerosakan infrastruktur.
Hal ini telah mendorong Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Great Minds dari Jabatan Hutan Sarawak (JHS) mengambil tindakan segera untuk tampil dengan idea inovatif yang akan menambah baik proses kerja pentaksiran royalti kayu bagi memastikan supaya insiden sedemikian tidak berulang pada masa hadapan.

Sebagai penyelesaian, kumpulan Great Minds telah membangunkan aplikasi kalkulator digital yang dinamakan Intelligence Timber Calculator (iTimC), sebagai inovasi penambahbaikan terhadap Jadual Hidrostatik Intelligence Timber Table (iTimT) yang telah dihasilkan terlebih dahulu.

Selain menambah baik proses kerja, kumpulan Great Minds juga meletakkan objektif penghasilan projek berkenaan sebagai salah satu inisiatif jabatan mengurangkan pelepasan karbon yang selari dengan teras Kelestarian Alam Sekitar Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 dan Perancangan Strategik Jabatan Hutan Sarawak 2021-2025.
Hal tersebut demikian kerana pergerakan lori yang kerap berulang alik untuk ke kawasan yang mempunyai jambatan timbang turut menyebabkan penggunaan bahan api yang tinggi, iaitu peningkatan sebanyak 26% dicatatkan pada 2023 yang kemudiannya telah menunjukkan kadar penurunan pada suku kedua 2024 setelah kaedah kalkulator digital digunakan.
Jarak jambatan timbang yang jauh dari kawasan penebangan menyebabkan proses kerja bagi menentukan isi padu kayu menjadi rumit serta memerlukan pihak JHS mengeluarkan Removal Pass yang banyak untuk aktiviti berkenaan.
Tambahan pula, proses pengeluaran pas tersebut yang dilakukan secara manual memerlukan penggunaan kuantiti kertas yang banyak.

Lantaran itu, projek KIK berkenaan telah melayakkan Great Minds memenangi Anugerah Inovasi Hijau dalam Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2024 dengan tajuk ‘Kesukaran Proses Kutipan Royalti Untuk Kayu Ladang Hutan di Kawasan Yang Tiada Jambatan Timbang’.
Secara ringkasnya, projek dijalankan bertujuan untuk menghasilkan satu kaedah mengukur berat muatan kayu ladang hutan yang efisien dan mesra alam di kawasan aktiviti pembalakan yang tiada jambatan timbang.
Menurut Ketua Kumpulan Great Minds, Dr. Modin anak Ambau, projek dijalankan dalam tempoh enam (6) bulan bermula dari November 2023, seterusnya disusuli dengan pengumpulan dan analisis data sehinggalah aplikasi iTimC berjaya dimuktamadkan pada April 2024.

Beliau menjelaskan, inovasi iTimC dihasilkan berasaskan pada hukum fizik. Aplikasi iTimC berfungsi dengan cara mendapatkan bacaan berat kayu yang dimuatkan ke dalam kapal ataupun tongkang dan mengira isi padu menggunakan kaedah sesaran air.
Secara teknikal, iTimC boleh mengira hasil yang merangkumi kawasan, berat dan isi padu dengan tepat yang diadaptasi daripada aplikasi digital CUBIFORM yang mampu mendapatkan jumlah isi padu dengan mengira diameter objek menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) berasaskan imej menerusi telefon pintar.
Aplikasi iTimC memaparkan enam (6) langkah bagi mendapatkan bacaan, iaitu Pilihan Spesis Kayu, Isi Panjang Kapal/Tongkang, Isi Lebar Kapal/Tongkang, Isi Bacaan Draft A dan Isi Bacaan Draft B.
Keberhasilan inovasi tersebut yang lebih efisien berbanding dengan kaedah manual telah memudahkan proses kerja dan dibuktikan melalui faedah-faedah ketara yang diperolehi dalam operasi industri kayu ladang hutan yang melibatkan JHS dan pelesen.
Bagi pihak JHS, tempoh masa pentaksiran royalti dapat dikurangkan sebanyak 86%, iaitu daripada 48 jam (7 hari) kepada hanya 6.5 jam sehari untuk purata 1200m3 kayu ladang hutan.
Selain itu, proses kerja juga dapat dikurangkan sebanyak 38%, iaitu daripada lapan (8) langkah kepada lima (5) langkah.
Impak paling ketara hasil daripada pengurangan proses kerja adalah peningkatan produktiviti dan penggunaan optimum tenaga kerja sehingga JHS mendapat penjimatan kos operasi yang dijangkakan sebanyak RM998,182 sepanjang 2024 sehingga 2030.
Kelebihan ini dapat meningkatkan imej jabatan apabila aliran kerja menjadi lebih efisien di samping membantu mengukuhkan keselamatan pengoperasian aktiviti ladang hutan.
Faedah bagi pemegang lesen ladang hutan dapat dilihat melalui pengurangan masa sebanyak 25%, iaitu daripada 96 jam (16 hari) kepada 72 jam (12 hari) untuk purata 120m3 kayu ladang hutan.
Kos operasi juga dijangka dapat dikurangkan sebanyak 24%, iaitu daripada RM22,106,866 kepada RM16,854,575 untuk setahun.
Dari aspek kelebihan kepada alam sekitar, setiap meter padu (m3) kayu yang dipindah menggunakan kaedah iTimC akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) ke udara sebanyak 2,620 tan bersamaan dengan 29%, iaitu daripada 9,170 tan kepada 6,550 tan setahun.
Inovasi iTimT dan iTimC telah diseragamkan di seluruh Sarawak yang turut digunakan sebagai kaedah alternatif bagi mengira isi padu kayu hanyut untuk tujuan royalti seperti yang telah dijalankan di sepanjang Batang Rajang.
Kaedah berkenaan juga direplikasi bagi memudahkan aktiviti penguatkuasaan oleh JHS di Export Point Tanjung Manis.
Berdasarkan pada keberkesanan aplikasi yang dibangunkan oleh kumpulan Great Minds, pihak JHS turut menggalakkan agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan yang lain untuk mereplikasi kaedah tersebut ketika menjalankan operasi penguatkuasaan.
Selain memudahkan proses kerja dan mesra alam, Dr. Modin memaklumkan bahawa kaedah pentaksiran royalti menggunakan iTimC juga mampu mengurangkan ketirisan dalam penilaian royalti kayu ladang hutan.
Kumpulan Great Minds turut dianggotai oleh Ajiah Hamjah, Rosima anak Elani, Edmund Harry, Tracy anak Chendan dan Hasanaliza binti Bujang Abdillah manakala Timbalan Pengarah Hutan Sarawak, Semilan anak Ripot pula berperanan sebagai Fasilitator kumpulan.