Teknologi Rumah Pintar Universiti Teknologi Sarawak (UTS) ataupun dikenali sebagai UTS Smart Home (SH) adalah satu projek inovatif yang menggabungkan teknologi terkini untuk mencipta ruang kediaman yang lebih efisien dan selesa.
Ia bukan sahaja memberi fokus kepada keselesaan penghuni tetapi juga kepada kelestarian alam sekitar dengan menyediakan persekitaran hijau yang lebih mampan.
Rumah pintar UTS ini direka untuk meningkatkan kualiti hidup penghuni dengan menawarkan keselamatan, keselesaan manusia, kecekapan tenaga (EE), dan penjimatan kos.
UTS Smart Home dilengkapi dengan beberapa komponen penting seperti Makmal Penyelidikan dan Pembangunan (R&D); Makmal Kehidupan Rumah Pintar (SH Living Lab); Pusat Pameran Rumah Pintar (SH Exhibition Centre); Makmal Pembangunan Rumah Pintar (SH Development Lab); dan Makmal Ujian Rumah Pintar (SH Test Lab).
Makmal Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) canggih memainkan peranan penting dalam menyokong inovasi dan penambahbaikan teknologi rumah pintar.

Di makmal ini, penyelidikan dijalankan untuk mengembangkan teknologi baharu yang dapat memperbaiki lagi sistem automasi dan meningkatkan pengalaman pengguna.
Sebagai pusat ujian dan demonstrasi, Makmal Kehidupan Rumah Pintar membolehkan pengunjung dan penyelidik mengalami serta menguji teknologi rumah pintar dalam suasana yang praktikal.
Ini memberi peluang untuk melihat bagaimana teknologi ini berfungsi dalam situasi kehidupan sebenar.
Pusat pameran UTS pula adalah tempat di mana orang ramai boleh melihat dan merasai pelbagai teknologi rumah pintar dalam bentuk yang lebih interaktif.

Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan umum tentang manfaat teknologi pintar dalam kehidupan seharian.
Makmal Pembangunan Rumah Pintar adalah tempat di mana teknologi rumah pintar dibangunkan dan dipertingkatkan.
Makmal ini menyediakan persekitaran yang diperlukan untuk penyelidikan mendalam dalam bidang teknologi IoT, automasi rumah, dan sistem pengurusan tenaga pintar.
Makmal ini juga digunakan untuk mengesahkan dan menguji teknologi yang telah dibangunkan, memastikan ia berfungsi dengan sempurna sebelum diterapkan dalam rumah pintar sebenar.
Ini penting untuk memastikan kebolehpercayaan dan keberkesanan sistem yang digunakan dalam rumah pintar.
Secara dasarnya, Rumah Pintar UTS bukan sahaja menawarkan keselesaan tetapi juga mengutamakan kelestarian alam sekitar.
Dengan menyediakan ruang yang lebih sihat, produktif, dan selesa, rumah pintar ini berperanan sebagai bangunan hijau yang dapat mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Ia memberi manfaat kepada penghuni dengan meningkatkan kualiti hidup, menjimatkan tenaga, serta menawarkan penyelesaian keselamatan dan penjimatan kos.
Fakta menarik yang perlu diberi perhatian adalah bahawa 90% masa manusia menghabiskan hidup mereka di dalam bangunan sekali gus telah menunjukkan betapa pentingnya untuk menjadikan bangunan yang lebih efisien dan mesra alam.
Statistik penting yang berkaitan dengan bangunan termasuk:
- 40% daripada sumber tenaga digunakan oleh bangunan.
- 60% tenaga elektrik dihasilkan untuk keperluan bangunan.
- 30% daripada sumber air bersih digunakan oleh bangunan.
Angka-angka ini menunjukkan bahawa bangunan memainkan peranan yang besar dalam penggunaan sumber dunia.
Oleh itu, teknologi rumah pintar bukan sahaja membantu meningkatkan keselesaan penghuni, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menjimatkan sumber tenaga dan air, seterusnya menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

Teknologi rumah pintar UTS terdiri daripada tiga kategori utama iaitu Antara Muka Pengguna (User Interfaces – UIs), Perkakasan (Hardware), dan Perisian (Software).
Terdapat beberapa cara untuk berinteraksi dengan sistem rumah pintar melalui UIs, antaranya menerusi Pembantu Suara; Pelayar Web; Aplikasi Tablet; Automasi / Pengkomputeran Awan; Aplikasi Mudah Alih; dan Kawalan Manual.
Perkakasan rumah pintar pula termasuklah peranti pintar seperti sensor, penggerak, dan peralatan rumah pintar seperti penghawa dingin pintar, mesin basuh pintar, dan robot pembersih.
Semua peranti ini beroperasi menggunakan sambungan internet dan dikendalikan dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML).
Perisian rumah pintar merangkumi platform IoT berasaskan awan, pengkomputeran awan, sistem pengenalan wajah, dan sistem sokongan keputusan yang membantu dalam pengurusan dan kawalan peranti pintar.
Rumah Pintar UTS dibahagikan kepada lapan (8) zon pintar iaitu;
- Zon Kehidupan Pintar (Smart Living Zone)
- Zon Tirai Pintar (Smart Blinds Zone)
- Zon Akses Pintar (Smart Access Zone)
- Zon Tenaga Pintar (Smart Energy Zone)
- Zon IoT Pintar (Smart IoT Zone)
- Zon Dapur Pintar (Smart Kitchen Zone)
- Zon Air Hujan Pintar (Smart Rainwater Zone)
- Zon Keselamatan Pintar (Smart Security Zone)
Setiap zon menguruskan operasi pintar yang berbeza, dikendalikan oleh platform IoT UTS dan sistem sokongan keputusan (DSS).
Kesemua zon ini berfungsi untuk mengautomatikkan pelbagai aspek kehidupan di rumah pintar, dengan memastikan rumah tersebut beroperasi dengan lebih efisien dan mesra alam, sambil menyediakan penyelesaian yang lebih selamat dan selesa bagi penghuninya.
Kesimpulannya, UTS Smart Home adalah contoh cemerlang bagaimana teknologi dapat mengubah cara kita hidup dengan menyediakan penyelesaian pintar yang bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup tetapi juga mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Dengan kemudahan seperti makmal penyelidikan, zon pintar, dan UIs yang canggih, UTS Smart Home adalah peneraju dalam dunia teknologi rumah pintar yang mampan dan efisien.