- Advertisement -
4,899
published news
and counting

SADA Perkasa Pembangunan Sosial dan Ekonomi

Must read

Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) memainkan peranan penting dalam memperkasa modal insan di kawasan pembangunan kendaliannya di Bahagian Sri Aman melalui pelbagai inisiatif, termasuklah Program Jerayawara SADA Bersama Komuniti.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat tempatan mengenai SADA, memperkukuhkan hubungan antara Ahli Jawatankuasa Pemandu SADA, Agensi Kerajaan, serta komuniti setempat, terutamanya Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung.

Program Jerayawara SADA bertujuan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat tempatan mengenai SADA

Selain itu, program ini juga mempertingkatkan kesedaran masyarakat mengenai projek-projek yang dijalankan di kawasan mereka serta memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan maklumat secara langsung menerusi sesi soal jawab.

Program Jerayawara SADA Bersama Komuniti

Antara hasil yang diperoleh daripada program ini adalah peningkatan pemahaman orang awam mengenai fungsi dan tanggungjawab SADA dalam pembangunan di Bahagian Sri Aman, serta peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung dalam memberikan input berkenaan permasalahan di lapangan.

Program ini juga memberi ruang kepada masyarakat untuk memberi maklum balas terhadap pembangunan yang dijalankan, termasuk cadangan penambahbaikan, aduan, dan pendapat mengenai perkhidmatan yang disediakan.

Program Jerayawara memberi peluang kepada komuniti mendapatkan maklumat secara langsung menerusi sesi soal jawab

Selain itu, program ini turut menampilkan pameran perkhidmatan dan produk dari agensi-agensi kerajaan serta komuniti perniagaan, memberikan platform kepada mereka untuk mempromosikan produk masing-masing.

Paling penting, penglibatan komuniti setempat dalam program ini sangat tinggi, dengan ramai yang menunjukkan minat dalam aktiviti seperti sesi ceramah dan pameran.

Program ini turut menjadi pemangkin dalam menggalakkan kerjasama antara SADA dan organisasi tempatan dalam pembangunan komuniti.

Demikian dijelaskan Pengerusi SADA, YB Dato Sri Hajah Rohani binti Abdul Karim ketika ditemu bual RAKAN Sarawak.

Pengerusi SADA, YB Dato Sri Hajah Rohani binti Abdul Karim ketika ditemu bual RAKAN Sarawak

Sehubungan itu, dalam usaha menerapkan amalan pengurusan yang baik, beliau memberitahu, SADA turut menitikberatkan elemen pengurusan sosial, alam sekitar, dan tadbir urus (ESG) dalam setiap pelaksanaan projek dan program.

Ini termasuklah mesyuarat penyelarasan dan pemantauan projek yang dijalankan secara berkala, serta memastikan agensi pelaksana mematuhi peraturan dan keperluan projek yang ditetapkan.

Antaranya adalah penilaian impak alam sekitar, pelan pengurusan alam sekitar, audit keselamatan jalan raya, pemeriksaan sungai, dan pematuhan kepada undang-undang seperti Natural Resources and Environment Ordinance dan Wild Life Protection Ordinance.

SADA juga bekerjasama dengan pelbagai agensi lain seperti Sarawak Forestry Corporation dan WWF-Malaysia untuk memastikan projek dilaksanakan dengan pematuhan penuh terhadap amalan ESG.

Selain itu tambah beliau, SADA turut menyelaraskan peranannya dalam mencapai matlamat Pelan Pembangunan Sosioekonomi Sarawak (PCDS) 2030 yang menekankan pembangunan yang mampan, sosial inklusif, dan kemakmuran ekonomi.

Dalam sektor pelancongan, SADA telah mengusahakan projek seperti Gunung Lesong Ecotourism Complex dan Batang Ai Ecotourism Complex, yang bertujuan untuk mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti serta pemuliharaan kubu sejarah di Sarawak.

Usaha-usaha lain termasuk pembangunan kemudahan pelancongan di kawasan air terjun serta pusat glamping di Lubok Antu.

Di samping itu, SADA turut meningkatkan kapasiti komuniti tempatan dalam penghasilan kraftangan, keusahawanan, dan teknologi digital, dengan mewujudkan pusat kraf tangan di Lubok Antu dan Sri Aman.

Bagi sektor pertanian komersial, SADA komited untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluar makanan utama dengan memacu sektor pertanian yang mampan dan berasaskan teknologi.

- Advertisement -

Ini termasuk memantau projek pembangunan kawasan ternakan ikan tilapia di Batang Ai dan mengembangkan kawasan industri akuakultur.

SADA juga bekerjasama dengan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah serta Jabatan Pertanian Sarawak untuk memastikan pembangunan sektor pertanian di kawasan jelapang padi Batang Lupar berjalan lancar.

Beliau menyifatkan, melalui usaha-usaha ini, SADA berperanan besar dalam merealisasikan visi PCDS 2030 untuk menjadikan Sarawak sebagai masyarakat yang berkembang maju melalui data dan inovasi, serta mencapai kesejahteraan ekonomi dan sosial yang berterusan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article