Sejak diperkenalkan pada 2015, lebih 20,000 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) telah dilaksanakan oleh kerajaan di seluruh Sarawak, memanfaatkan penduduk-penduduk kampung dan kawasan rumah panjang di luar bandar mahupun di pinggir bandar.
Di Daerah Mukah khususnya, sebanyak 71 projek RTP dilaksanakan pada 2024 melibatkan kawasan Mukah, Tellian, Balingian dan Kakus dengan kos berjumlah kira-kira RM10.29 juta.
Menurut Pegawai Daerah Mukah, Encik Peleadzman anak Ahip, projek RTP memberi impak yang sangat besar kepada masyarakat luar bandar walaupun dilaksanakan dengan skala kecil.
Jelas beliau, pelaksanaan projek RTP melibatkan kerja-kerja bina baharu dan juga naik taraf infrastruktur asas seperti jalan kampung, jambatan, jeti, titi, sistem perparitan, pontun, dewan serba guna, rumah ibadat, gelanggang sukan, kemudahan utiliti dan sebagainya.

Beliau yang ditemu bual RAKAN Sarawak memaklumkan, beberapa siri makmal perbincangan telah dijalankan pada 2024 oleh Pejabat Daerah Mukah bersama-sama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Daerah Mukah bagi mengenal pasti projek-projek RTP yang akan dilaksanakan untuk tahun 2025.
Permohonan projek juga telah diserahkan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak berdasarkan pada keperluan penduduk di setiap kawasan yang dicadangkan oleh Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan wakil rakyat.
Beberapa orang KMKK dari sekitar Mukah yang turut ditemu bual menyatakan pandangan mereka tentang pelaksanaan RTP di kawasan tadbiran masing-masing.
Penghulu Juana @ Bonaventure Bin Lupuih dari Kampung Tellian Tengah memaklumkan, projek RTP rancak dilaksanakan sejak 2017 di tiga (3) buah kampung di bawah bidang kuasa beliau, merangkumi Kampung Tellian Hulu, Kampung Tellian Tengah dan Kampung Tellian Tradisi.

Biarpun pernah mengalami kelewatan terutama ketika pandemik COVID-19, namun pada masa ini, projek RTP di ketiga-tiga kampung berkenaan dilaksanakan secara berterusan yang melibatkan pembinaan jalan perhubungan desa, dewan serba guna dan kemudahan sukan.
Menurut Penghulu Juana, Kampung Tellian Tradisi yang baru diwujudkan sejak beberapa tahun lalu berikutan persempadanan semula kini memiliki sebuah dewan serba guna.


Dewan tersebut yang turut dilengkapi dengan gelanggang badminton dibina dengan kos berjumlah RM750,000.
Beliau berpandangan, projek RTP jelas memberi impak kepada masyarakat luar bandar, khususnya projek infrastruktur jalan kerana jalan merupakan nadi perhubungan untuk penduduk bergerak dan menjalankan urusan harian.
Demikian juga menurut Penghulu Edmund Innu dari Kampung Petanak Hilir yang menyaksikan pelaksanaan projek RTP telah membawa perubahan ketara terhadap kesejahteraan penduduk di kampung beliau.

Projek jalan kampung termasuk jalan konkrit yang menggantikan titi menghubungkan sebuah rumah ke sebuah rumah yang lain telah merubah landskap pembangunan di kampung beliau.
Sebelum ini, banyak kawasan kediaman hanya dihubungkan dengan titi yang diperbuat daripada kayu belian.
Kos penyelenggaraan titi belian menurut beliau lebih tinggi oleh kerana harga kayu belian yang mahal berbanding dengan bahan binaan konkrit yang lebih murah.
Selain projek RTP, lebih 80 buah rumah di Kampung Petanak juga telah dibaik pulih di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Beliau berharap agar kampung beliau terus dilimpahi pembangunan projek infrastruktur asas yang merupakan pemangkin kepada peningkatan sosioekonomi penduduk.
Penghulu Ignatius Ekun bin Bidi dari Kampung Sesok Lama yang dilantik menjadi Ketua Masyarakat pada 2022 juga melihat perkembangan projek RTP di lima (5) buah kampung di bawah seliaan beliau rancak dijalankan.

Binaan titi lama yang uzur di kesemua kampung telah pun dinaik taraf kepada jalan konkrit selain projek naik taraf dewan serba guna serta projek bina baharu dan naik taraf gelanggang futsal juga telah dilaksanakan.
Beliau berpendapat, peningkatan infrastruktur asas di kawasan luar bandar seperti di Daerah Mukah perlu diberi perhatian bagi memenuhi keperluan masyarakat yang majoritinya petani dan nelayan.
Peningkatan infrastruktur asas jelas beliau dapat meningkatkan sosioekonomi penduduk serta merapatkan jurang perbezaan di antara kawasan bandar dengan luar bandar.
Bagi Ketua Kaum (KK) Mazlan bin Abdullah, keperluan yang harus diberi keutamaan di kampung beliau adalah pembinaan dan naik taraf jeti.

Beliau yang menetap di Kampung Sau menjelaskan, rata-rata penduduk di kawasan beliau tinggal di tepian sungai dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan air tawar dan laut dalam.
Oleh yang demikian, beliau menekankan bahawa peningkatan kemudahan jeti untuk memudahkan nelayan berlabuh ketika menjalankan aktiviti penangkapan ikan amat diperlukan.
Secara keseluruhannya, peningkatan infrastruktur asas selain daripada projek di bawah RTP jelas KK Mazlan begitu rancak dilaksanakan di Kampung Sau.
Menurut Penghulu Harbi bin Bakir yang berasal dari Kampung Masjid, transformasi lima (5) buah kampung di bawah bidang kuasa beliau di Pekan Balingian tidak jauh bezanya dengan kampung-kampung di daerah lain di Mukah.

Kampung-kampung di bawah bidang kuasa beliau ialah Kampung Suyong, Kampung Pulat, Kampung Masjid, Kampung Lintang dan Kampung Baru.
Biarpun demikian, projek-projek seperti pelebaran jalan dan naik taraf titi dan jalan perhubungan desa merupakan antara projek yang memberi impak ketara kepada penduduk.
Beliau menjelaskan, sebelum ini, penduduk sukar meletakkan kenderaan mereka berhampiran perkarangan rumah berikutan jalan yang sempit dan sebahagian kawasan dari rumah ke rumah hanya dihubungkan dengan titi belian.
Ada di kalangan penduduk juga terpaksa meletakkan kenderaan mereka jauh dari rumah. Apabila projek pelebaran dan naik taraf jalan RTP dilaksanakan, masalah kesesakan di kawasan kediaman telah dapat dikurangkan.
Melihat skop yang lebih luas, beliau berharap supaya transformasi yang berlaku di kelima-lima buah kampung berkenaan akan turut memberi impak kepada pembangunan Pekan Balingian secara keseluruhan kerana menurut beliau, terdapat cadangan daripada penduduk dan wakil rakyat untuk menjadikan Balingian sebagai sebuah daerah penuh.
Projek RTP Di Daerah Mukah Bagi Tahun 2024
Kawasan | Bilangan Projek | Jumlah Peruntukan |
Tellian | 21 | RM 4,250,000 |
Mukah | 5 | RM840,000 |
Balingian | 43 | RM5,000,000 |
Kakus | 2 | RM200,000 |
Jumlah Keseluruhan: | 71 | RM10,290,000 |
Sumber: Pejabat Daerah Mukah