Agensi Pembangunan Tanah Tinggi atau singkatannya HDA ialah salah satu daripada tiga (3) agensi pembangunan di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) yang ditubuhkan pada 12 Julai 2017.
RECODA ialah sebuah badan berkanun negeri Sarawak yang ditubuhkan di bawah Ordinan RECODA 2006 untuk menyelaras dan menguruskan pelaksanaan Pelan Pembangunan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Berperanan sebagai agensi pelaksana projek pembangunan infrastruktur dan sosio-ekonomi di kawasan tanah tinggi Sarawak, HDA bersama-sama dengan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) serta lima (5) nod pertumbuhan SCORE yang merangkumi kawasan Samalaju, Mukah, Tanjung Manis, Baram dan Tunoh melengkapi pembangunan kawasan SCORE.
Tujuan penubuhan agensi-agensi pembangunan tersebut adalah untuk mempercepatkan pembangunan di kawasan luar bandar yang mempunyai keunikan tersendiri serta potensi ekonomi yang berlainan.
Memandangkan setiap kawasan mempunyai potensi pembangunan yang berbeza, maka pembangunan juga dilaksanakan melalui pendekatan yang berbeza.
Namun demikian, apa yang tidak membezakan ketiga-tiga kawasan berkenaan ialah kekurangan dari segi infrastruktur asas, sebagaimana dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, YBhg. Datuk Haji Ismawi bin Haji Ismuni ketika ditemu bual RAKAN Sarawak.

Menurut beliau, oleh sebab itulah RECODA memberi penekanan untuk memperhebat pembangunan infrastruktur asas di kawasan-kawasanberkenaan bagi membuka lebih banyak lagi peluang ekonomi yang akan meningkatkan taraf hidup masyarakat di situ.
Peningkatan infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan serta bekalan air dan elektrik akan dapat menarik lebih banyak pelaburan di setiap kawasan sama ada dalam sektor pertanian, pelancongan, perindustrian dan sebagainya.
Secara khususnya, HDA yang ditubuhkan pada 12 Julai 2017 bermatlamat untuk memacu pembangunan di kawasan tanah tinggi seluas 18,463 kilometer persegi (km2) yang meliputi kawasan Long Lama, Mulu hingga ke Ulu Baram di Bahagian Miri.
Setakat ini, sebanyak 43 buah projek dilaksanakan oleh HDA yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.5 bilion.
Daripada jumlah itu, sebanyak 16 projek telah pun siap, 16 projek dalam peringkat pelaksanaan dan 11 projek di peringkat pra pelaksanaan.
Antara projek jalan yang telah memberi impak tinggi ialah projek infrastruktur jalan ke Long Selaan dan Long Moh di bahagian Miri.
Projek ini telah selesai pada awal tahun 2024 dan memanfaatkan kira-kira 3,600 penduduk di sekitar Long Moh dan Long Selaan dengan kos sekitar RM98.9 juta.
Projek ini merangkumi penambahbaikan bekas jalan balak sepanjang 16.4km dari Long Selaan ke Long Moh serta pembinaan jalan baharu sepanjang 8.45km dari Long Selaan ke Simpang Long Moh termasuk jalan akses ke SK Long Moh, serta dua (2) buah jambatan utama sepanjang 115.8m merentasi Sungai Moh dan 106.7m merentasi Batang Baram di Long Selaan.
Jalan ini memudahkan perhubungan penduduk tempatan untuk ke sekolah, klinik, selain menyediakan laluan yang lebih singkat dan selamat ke kawasan lain.
Selain itu, Datuk Haji Ismawi memaklumkan, RECODA kini sedang merancang untuk melaksanakan sebuah lagi projek berimpak tinggi di kawasan HDA yang juga akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.
Projek yang beliau maksudkan ialah projek jalan sepanjang 142 kilometeryang menghubungkan Miri-Marudi, Marudi-Mulu (Kuala Melinau) dan Long Panai-Long Lama atau singkatannya Projek MMMLL.
Jalan ini akan melengkapi jaringan jalan raya yang akan menghubungkan kawasan Mulu dengan bahagian Limbang melalui projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR).
Satu lagi projek yang sedang dalam proses perancangan awal pembinaan ialah projek jalan sempadan dari Long Banga ke Bario dan Bario ke Ba’kelalan sepanjang kira-kira 133 kilometer. Projek ini adalah di bawah biayaan Kerajaan Persekutuan.

Projek berkenaan akan menjadi pengubah keadaan (game changer) di seluruh kawasan yang terlibat dan dijangka akan merangsang pertumbuhan sosioekonomi penduduk apabila siap kelak.
Mempromosi Pertanian Komersial
Pada masa ini, RECODA giat merangka pembangunan untuk mempromosi sektor pertanian komersial di tanah tinggi Ulu Baram melalui penubuhan stesen pertanian IHAS (Integrated Highland Agriculture Station).

IHAS yang terletak di Long Banga dibangunkan secara strategik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan aktiviti pertanian mampan di Ulu Baram. Usaha tersebut amat signifikan dalam menyokong komuniti setempat.
Stesen tersebut akan berfungsi sebagai pusat penyelidikan pertanian moden bagi membangunkan sektor pertanian termasuk pemprosesan produk agro-makanan bernilai tinggi untuk dikomersialkan dan dieksport.
Pada masa yang sama, pewujudan IHAS juga bertujuan untuk meningkatkan keseluruhan mampu diri (self-sufficiency) makanan di Sarawak menerusi penanaman tanaman bernilai tinggi serta peningkatan sokongan logistik.
Menurut Datuk Haji Ismawi, projek jalan sempadan Long Banga – Bario – Ba’ Kelalan di bawah seliaan RECODA secara langsung akan memberi sokongan logistik kepada operasi IHAS dengan menghubungkan pusat stesen pertanian tersebut ke daerah Lawas.
Lebih daripada itu IHAS yang telah siap sepenuhnya juga berfungsi sebagai pusat pengumpulan pengeluaran hasil pertanian yang dilengkapi dengan kemudahan penyimpanan dan pembungkusan bagi kawasan Long Banga, Long Beruang dan Long Peluan.
Di kawasan Bario hingga ke Ba’kelalan yang bersempadan dengan Kalimantan Utara, Indonesia, beliau memaklumkan bahawa kerajaan merancang untuk membina sebuah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang bakal menggalakkan aktiviti perdagangan rentas sempadan dan pelaburan.
Beliau membayangkan apabila keseluruhan rancangan pembangunan berkenaan direalisasikan, pewujudan IHAS dan rangkaian jalan raya di Bario akan mentransformasi kawasan tersebut sebagai kawasan pertanian bernilai tinggi.
Program Sosioekonomi HDA
Pada tahun 2021, RECODA menerusi agensi-agensi pembangunan di bawahnya termasuklah HDA telah dilantik oleh Kementerian Ekonomi Malaysia untuk melaksanakan program sosioekonomi yang dikenali sebagai COMMUNITY@SCORE.
Program ini menekankan pada pembangunan sosioekonomi yang mampan bagi golongan B40 di seluruh wilayah SCORE.
Objektif program ini adalah bagi meningkatkan pendapatan dan kuasa membeli dalam kalangan kumpulan sasar selain mencipta peluang pekerjaan.
Di kawasan HDA, program COMMUNITY@SCORE telah memberi manfaat kepada seramai kira-kira 1,650 orang penduduk, lantas menunjukkan sumbangan signifikan program tersebut kepada masyarakat setempat.
Keutamaan pelaksanaan program tertumpu kepada peningkatan kemudahan untuk sektor pelancongan dan menaik taraf jalan ladang untuk sektor pertanian.
Melalui pelaksanaan program ini, ia telah berjaya memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Projek-projek peningkatan kemudahan pelancongan COMMUNITY@SCORE yang telah dilaksanakan RECODA di kawasan HDA adalah Projek Naik Taraf Kemudahan Pelancongan di Bukit Korea, Bario dan Naik Taraf Taman Rekreasi Sungai Merah, Tenyok, Long Bedian.
Kedua-dua projek telah memberi manfaat kepada kira-kira 1,250 orang penduduk tempatan serta pelancong yang berkunjung ke kawasan tersebut.
Selain itu, Projek Baik Pulih Jalan Kebun Rumah Kiam, Logan Tasan, Marudi telah memberi manfaat kepada 100 orang petani manakala seramai 300 pelajar sekolah pula telah menerima Bantuan Persekolahan B40 COMMUNITY@SCORE bagi kawasan HDA.