Terletak di pusat bandar Sibu, bangunan UTS menggabungkan perancangan, reka bentuk dan seni bina hijau secara serentak dan berkesan bagi mewujudkan persekitaran yang bersepadu sepenuhnya, selesa, mesra pengguna serta kondusif untuk persekitaran penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran.
Misi UTS adalah menyediakan Pendidikan Teknikal Global melalui Kolaborasi Strategik dan Perkongsian Pintar.
UTS menetapkan nilai-nilai teras, iaitu Komitmen, Integriti, Prihatin, Berdaya Usaha dan Hijau yang akan menerajui pihak universiti dalam mencapai misi tersebut.
Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr. Khairuddin bin Ab. Hamid menekankan, seluruh warga UTS sama ada tenaga pengajar, pelajar dan juga kakitangan mesti menghayati dan memahami maksud hijau yang menjadi salah satu nilai teras dan dasar korporat UTS.

Penghayatan nilai teras hijau perlu diterjemahkan oleh warga UTS kepada budaya hijau dan tindakan yang betul dalam aktiviti harian di persekitaran kampus.
Beliau yang ditemu bual oleh RAKAN Sarawak menjelaskan, amalan hijau boleh dipraktikkan di kampus dari segi penjimatan penggunaan tenaga elektrik dan air, menjaga kebersihan, mengurus pencemaran dan sebagainya.
Salah satu langkah proaktif yang diambil oleh UTS adalah dengan menawarkan kursus mata pelajaran umum berkaitan kelestarian yang meliputi bidang Pengurusan Sisa, Pembangunan Mampan, Teknologi Hijau dan Tenaga Boleh Diperbaharui.

Sehubungan itu, semua pelajar diwajibkan untuk mengikuti kursus tersebut yang bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar lebih mendalami amalan hijau dan kelestarian alam sekitar untuk dipraktikkan di kampus mahupun dalam kehidupan harian.
Datuk Khairuddin memaklumkan, UTS juga telah membangunkan sebuah makmal rumah pintar di perkarangan kampus yang dipanggil UTS Smart Home bagi menyokong pembelajaran hijau melalui teknologi pintar.

Dari segi pengurusan, beliau mengakui bahawa pihak universiti berdepan cabaran dalam mengekalkan persekitaran hijau UTS.
Oleh yang demikian, seluruh warga kampus sentiasa diingatkan dengan budaya kerja yang menjurus kepada amalan hijau supaya mereka dapat bersama-sama menyokong usaha UTS mengekalkan penarafan GBI.

Untuk melayakkan sesebuah bangunan mendapat penarafan GBI, enam (6) kriteria utama akan dinilai, iaitu Kecekapan Tenaga (EE), Kualiti Persekitaran Dalaman (EQ), Perancangan dan Pengurusan Tapak yang Mampan (SM), Sumber Bahan (MR), Pengurusan Air yang Cekap (WE) dan Inovasi (IN). Setiap satu kriteria dipecahkan lagi kepada beberapa ciri yang perlu dinilai.




Penarafan GBI dikategorikan berdasarkan jumlah markah keseluruhan yang diperolehi setelah kesemua kriteria dibuat penilaian.
Jumlah markah dari angka 50 ke 65 layak mendapat Pengiktirafan, 66 ke 75 dikategorikan Perak, 76 ke 85 Emas dan 86 ke 100 ialah kategori tertinggi, iaitu Platinum.
Bangunan perlu dinilai semula setiap tiga (3) tahun untuk mengekalkan penarafannya dan memastikan bangunan diselenggara dengan baik.



Pensyarah Kanan, Centre for University Courses and Innovative Learning (UCiL) UTS, Puan Nurzalikha binti Sa’adi memaklumkan, UTS berjaya mencapai Indeks Platinum GBI setelah mendapat 87 markah keseluruhan bagi tempoh penilaian dari 2021 hingga 2024.

Laporan penilaian GBI yang beliau bentangkan juga menunjukkan UTS mencapai markah penuh bagi kriteria Pengurusan Air yang Cekap dengan 10 markah (10/10) dan juga kriteria Inovasi dengan tujuh (7) markah (7/7).
Jumlah markah keseluruhan yang diperolehi UTS mengikut kriteria penilaian GBI ialah seperti berikut:
Mata Maksimum | Markah | ||
1. | Kecekapan Tenaga (EE) | 35 | 32 |
2. | Kualiti Persekitaran Dalaman (EQ) | 21 | 20 |
3. | Perancangan dan Pengurusan Tapak yang Mampan (SM) | 16 | 14 |
4. | Sumber Bahan (MR) | 11 | 4 |
5. | Pengurusan Air yang Cekap (WE) | 10 | 10 |
6. | Inovasi (IN) | 7 | 7 |
Markah Keseluruhan: | 100 | 87 |
UTS memiliki 12 blok bangunan dengan keluasan kasar ruang lantai (GFA) sekitar 30,639 meter persegi. Kru RAKAN Sarawak turut diberi peluang meninjau persekitaran hijau kampus UTS.