Di bawah Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE), Sarawak menubuhkan nod pertumbuhan seperti Samalaju, Mukah, Tanjung Manis, Tunoh dan Baram dan seterusnya, tiga (3) agensi pembangunan iaitu; Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) bagi mengatasi cabaran membangunkan wilayah Sarawak yang luas.
Dengan menubuhkan tiga (3) agensi pembangunan tersebut, Sarawak dapat memberi fokus yang lebih mendalam terhadap pembangunan di kawasan yang mempunyai potensi ekonomi dan pembangunan yang berbeza.
Setiap kawasan ini memerlukan pendekatan yang berlainan, namun yang jelas, ketiga-tiga kawasan tersebut masih memerlukan kemudahan infrastruktur asas terutamanya jaringan jalanraya yang dapat melengkapi ekosistem pembangunan kawasan luar bandar.
Oleh itu, RECODA menekankan usaha memperhebatkan pembangunan infrastruktur asas untuk mempermudah pengembangan sektor ekonomi.
Apabila infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air sudah tersedia, ianya memudahkan kerajaan untuk menarik pelaburan dan meningkatkan kemampuan sektor ekonomi seperti pertanian, pelancongan, dan industri agro.
Demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, YBhg. Datuk Haji Ismawi bin Haji Ismuni ketika ditemu bual RAKAN Sarawak sambil menekankan bahawa peningkatan akses jalan raya merupakan tumpuan utama URDA.

Sehingga kini, sebanyak 43 projek infrastruktur termasuk jalan raya, jambatan, bekalan air, dan penyediaan beberapa pelan induk telah dan sedang dilaksanakan.
Sejak Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMKe-9) hingga RMKe-12, peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan telah mencecah RM4.85 bilion manakala peruntukan sebanyak RM1.5 bilion dari Kerajaan Sarawak untuk URDA.

Setakat ini, di bawah URDA sebanyak 15 projek telah siap, 18 projek dalam pelaksanaan, dan 10 lagi berada di peringkat pra-kontrak.
RECODA juga telah mengadakan makmal pengurusan nilai (Value Assessment Lab) di kawasan URDA di untuk merancang dan mengenal pasti projek-projek yang perlu dilaksanakan.
Dalam makmal tersebut, RECODA mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti wakil-wakil rakyat, agensi-agensi Kerajaan serta ketua-ketua komuniti.
Pendekatan ”Bottom-Up Approach” ini penting agar perancangan pembangunan di kawasan berkenaan dapat diperincikan dengan jelas agar mudah difahami semua pihak terlibat.
Walaupun tumpuan utama adalah kepada pembangunan infrastruktur asas, RECODA melalui URDA tidak mengabaikan aspek komuniti.
Sebaliknya, mereka turut melaksanakan pelbagai program sosio-ekonomi untuk meningkatkan pendapatan isi rumah.
Contohnya, di bawah Pelan Pembangunan Sosio-Ekonomi (SEDP) 2022-2026 terdapat program bersasar yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang bagi membantu usahawan luar bandar mendapat akses kepada pasaran yang lebih luas.

Pembangunan ekonomi yang mampan merupakan impian setiap komuniti justeru, salah satu cara untuk mencapainya adalah dengan memperkasakan usahawan di dalam sektor-sektor penting seperti pertanian, pelancongan dan industri agro.
Berdasarkan matlamat ini, beberapa inisiatif telah berjaya meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup komuniti di kawasan URDA.

Janeh anak Itan, seorang usahawan yang terlibat dalam program keusahawanan karipap sejuk beku, adalah salah satu contoh kejayaan.
Sebelum menyertai program ini, pendapatannya hanya RM450 sebulan, namun selepas mendapat bimbingan dan sokongan daripada RECODA, beliau kini mampu menjana sehingga RM1,107.90 sebulan.
Kejayaan Janeh membuktikan bahawa dengan bimbingan yang tepat, usahawan kecil mampu berkembang dan memberi impak positif kepada ekonomi rumah tangga.
Bagi Radiah anak Koh, industri jahitan dan pakaian telah memberi peluang untuk meningkatkan taraf hidup beliau.
Sebelum menyertai program ini, pendapatannya hanya RM400 sebulan, namun kini beliau berjaya meraih RM1,145 sebulan.
Bantuan peralatan jahitan telah membuka peluang untuk Radiah mengembangkan perniagaannya dan mencipta peluang pekerjaan kepada orang di sekitarnya.
Salah satu inisiatif pertanian yang telah mempertingkatkan pendapatan peserta adalah projek perikanan darat di Song.
Lin Laling, salah seorang peserta projek ini telah menyaksikan peningkatan pendapatan daripada RM1,500 kepada RM1,767.50 sebulan.
Projek perikanan ini bukan sahaja telah meningkatkan pendapatan beliau, tetapi turut menyumbang kepada pengeluaran sumber makanan tempatan yang berkualiti.
Projek pembangunan kemudahan asas juga melibatkan komuniti pembuat parang di Nanga Ngungun, Kanowit, yang telah memberi impak positif.
Dengan fasiliti pembuatan yang lebih baik, para pembuat parang kini dapat menghasilkan produk berkualiti tinggi yang bukan sahaja memenuhi keperluan tempatan, tetapi juga berpotensi untuk menembusi pasaran yang lebih luas.
Melalui usaha-usaha ini, komuniti tempatan telah menunjukkan bahawa pembangunan ekonomi yang berasaskan keusahawanan, pertanian, dan latihan dapat memberi kesan yang signifikan terhadap peningkatan pendapatan serta kesejahteraan mereka.
Inisiatif yang dilaksanakan oleh RECODA di kawasan URDA ini adalah langkah penting ke arah pertumbuhan mampan yang memberi manfaat kepada semua pihak.