Kalau diimbas kembali, peranan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) sebagai agensi kerajaan yang berautoriti melaksanakan koridor pembangunan wilayah ketika itu (di kenali sebagai Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE)) telah pun bermula sejak 2008 ketika Rancangan Malaysia Ke-9 (di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi).
Ia melengkapkan lima (5) Koridor Ekonomi dengan di Semenanjung Malaysia terdapat tiga (3) koridor ekonomi, manakala di Sarawak dan Sabah masing-masing satu koridor ekonomi.
Pada tahun 2006, Ordinan RECODA telah diluluskan yang memberi kuasa untuk penubuhan Regional Corridor Development Authority, yang kemudiannya diwujudkan pada tahun 2008.

Sekiranya, kita kaji secara mendalam setiap koridor ekonomi di seluruh dunia menunjukkan, penubuhan koridor ekonomi ini mempunyai satu matlamat jelas iaitu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan keduanya adalah untuk merapatkan jurang di antara kawasan yang lebih membangun dengan kawasan yang kurang membangun.
Disebabkan itu juga, dalam konteks Sarawak di awal penubuhan SCORE ia memberikan fokus kepada kawasan tengah dan di situ dikenal pasti sebagai Kawasan SCORE yang hanya mempunyai keluasan 80,000 km persegi ketika itu.
Sehinggalah Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg mengambil alih sebagai Ketua Menteri ketika itu telah pun mencetuskan satu inisiatif baharu iaitu Penubuhan Agensi Pembangunan Wilayah.
Ia bermula dengan penubuhan agensi yang pertamanya adalah Agensi Pembangunan Ulu Rajang atau Upper Rajang Development Agency (URDA, kemudian disusuli oleh Agensi Pembangunan Tanah Tinggi atau Highland Development Agency (HDA) serentak pada 12 Julai 2017 dan Agensi Pembagunan Wilayah Utara atau Northern Region Development Agency (NRDA) pada 15 Mac 2018.
Sebaik sahaja Kawasan Limbang dan Lawas (di bawah NRDA) ini dimasukkan dalam Kawasan SCORE telah bertambah luas daripada 80,000 km persegi kepada 100,000 km persegi.
Terdapat persoalan mengapa wilayah tengah dipilih sebagai Kawasan utama SCORE, kerana sekiranya di bandingkan dengan wilayah selatan, Kawasan tengah kurang membangun.
Menjawab kepada persoalan tersebut, wilayah tengah dipilih disebabkan Kawasan tersebut mempunyai potensi yang besar. Walaupun Kawasan tersebut kurang membangun pada ketika itu, tetapi dikenal pasti mempunyai potensi pembangunan yang besar, sehinggakan RECODA telah membuat pelan induk sehingga tahun 2020 untuk menerokai Tenaga Yang Boleh diPerbaharui.
Bukan itu sahaja, wilayah tengah juga kaya dengan sumber hidro yang telah pun telah dibangunkan sehinggakan kita dapat menyaksikan kawasan ini dan di sekitarnya begitu pesat membangun.

Bagi merancakkan pembangunan SCORE ketika itu, maka di wujudkan 5 kawasan pertumbuhan utama bertindak sebagai pusat pertumbuhan seperti di Samalaju, Mukah, Tanjung Manis, Tunoh dan Baram.
Tetapi apabila sudah RECODA sudah diberikan autoriti untuk menubuhkan agensi pembangunan wilayah di bawah SCORE, pembangunan kini diperluaskan sehingga ke Limbang dan Lawas.
Agensi Pembangunan Wilayah (HDA, NRDA dan URDA) ini adalah agensi yang terawal di wujudkan di bawah RECODA telah memberikan inspirasi kepada kerajaan Sarawak untuk mewujudkan agensi pembangunan lain selepas itu.
Namun model pembangunan agensi wilayah di bawah RECODA berbeza dengan yang lain kerana terletak di bawah badan berkanun (RECODA) manakala yang lain terletak di bawah model koordinasi dan dikawal selia oleh Pejabat Residen Bahagian.
Berbeza modelnya juga memberikan kelebihan kepada agensi wilayah di bawah RECODA untuk melaksanakan projeknya sendiri di samping tiap-tiap agensi pembangunan ini mempunyai Lembaga pengarah masing-masing.
Kesemua wakil Parlimen dan YB di kawasan tersebut merupakan ahli lembaga pengarah. Mengambil contoh URDA, Pengerusinya adalah YB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia. Begitu juga dengan HDA Pengerusi adalah YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier dan NRDA pula, pengerusinya adalah YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan, Timbalan Premier.
Tujuan Premier Sarawak menubuhkan agensi pembangunan wilayah ini supaya kita lebih fokus kerana Kawasan liputan SCORE terlalu luas iaitu 100,000 km persegi. Walau bagaimanapun, falsafah pembangunan wilayah SCORE dengan model pembangunan wilayah yang lain tetap sama iaitu pendekatan bawah ke atas (bottom-up approach) dan merancakkan pembangunan.
Tapi dengan adanya agensi wilayah ini (URDA, HDA dan NRDA), memberikan lebih fokus kepada RECODA kerana setiap kawasan mempunyai potensi ekonomi yang berlainan, sudah tentu ia memerlukan pendekatan yang berbeza.
Walaupun begitu, ketiga-tiga Kawasan tersebut mempunyai persamaan iaitu masih lagi kekurangan dari segi kemudahan infrastruktur asas di Kawasan luar bandar.
Pendekatan yang dilaksanakan pada masa ini adalah untuk memperhebatkan pembangunan infrastruktur asas supaya mudah untuk menerokai sektor-sektor ekonomi yang lain.
Bila dah lengkap kemudahan jalan, jambatan, bekalan elektrik dan air, mudah untuk Kerajaan Sarawak membawa pelaburan, untuk kita meningkat sektor-sektor ekonomi yang ada di sana seperti sektor pertanian, sektor pelancongan dan pertanian atau industri pertanian.

RECODA juga perlu menyesuaikan beberapa strategi pembangunan , projek dan program yang sedia ada agar selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID 2030 (PCDS 2030).
Berbalik kepada Tenaga Yang Boleh Diperbaharui, apabila SCORE di bangunkan pada peringkat awalnya dahulu adalah untuk memastikan adanya industri yang boleh menggunakan tenaga hidro dengan industri berintensifkan tenaga.
Ini telah pun berjaya dicapai dengan fokus beralih kepada sektor hiliran ataupun industri yang mempunyai nilai tambah kerana industri berintensifkan tenaga pada masa itu bertindak sebagai pencetus industri.

Pencetus industri bermaksud mempunyai keupayaan untuk menarik lagi industri-industri hiliran untuk datang ke Sarawak. Contohnya apabila kita ada keluli dan ferroalloy, sudah tentulah sektor hiliran berminat untuk datang ke sini.
Begitu juga dengan aluminium, minyak dan gas, petro kimia dan industri kaca, lebih-lebih lagi metallic dan polysilicon.
Bila kita kukuh dalam bidang industri tersebut, seperti yang dilihat sekarang banyak industri-industri solar berminat untuk penghasilan solar panel. Permintaan bermula dari metallic silicon kepada polysilicon, kemudian kepada pengeluaran solar panel.
Tanggungjawab utama RECODA adalah untuk menarik pelabur untuk datang ke kawasan SCORE. Sebagai contoh, diberi tanggungjawab besar untuk membangun infrastruktur industri, contohnya Samalaju Industrial Park.
Dengan adanya, Samalaju Industrial Park sudah tentulah mudah untuk RECODA bersama agensi-agensi lain untuk menarik pelabur untuk datang ke kawasan ini kerana ia menyediakan “pakej lengkap” pelabur sudah ada jaminan tempat untuk melabur, dengan lot-lot perindustrian dilengkapi dengan bekalan elektrik, air, sumber manusia dan sebagainya.

RECODA turut merancang dan melaksanakan projek-projek infrastruktur daripada peruntukan kerajaan persekutuan dan juga kerajaan Sarawak. Berdasarkan rekod, secara kumulatif peruntukan daripada kerajaan persekutuan daripada Rancangan Malaysia Ke-9 sehinggalah Rancangan Malaysia Ke-12, telah menerima RM4.85 bilion.
Kerajaan Sarawak melalui agensi-agensi pembangunan wilayah ini telah meluluskan peruntukan yang begitu besar sebanyak RM1.5 bilion untuk setiap agensi pembangunan ini yang bermakna untuk tiga (3) agensi pembangunan wilayah telah menerima RM4.8 bilion.
Projek-projek tersebut belum termasuk projek mega yang dipertanggungjawabkan kepada RECODA seperti adalah Lebuh Raya Persisir Utara (Northern Coastal Highway), Lapangan Terbang Lawas baharu dan lain-lain.
Artikel ini berdasarkan temu bual RAKAN Sarawak Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), YBhg Datuk Haji Ismawi Bin Haji Ismuni