- Advertisement -
4,917
published news
and counting

Pelaksanaan Prosiding Garnisi Bantu MBM Tangani Tunggakan Cukai Taksiran

Must read

Sejak Majlis Bandaraya Miri (MBM) melaksanakan Prosiding Garnisi, jumlah kes tunggakan cukai taksiran yang berjaya diselesaikan oleh pihak MBM menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Bermula pada 2018, sebanyak 85%, iaitu 51 kes daripada 60 kes telah diselesaikan dan seterusnya meningkat kepada 95% pada 2019 apabila 248 kes daripada 260 kes diselesaikan.

Peratusan tersebut terus meningkat sebanyak 99% pada 2020 apabila 112 kes daripada 113 kes telah diselesaikan manakala tiada kes dicatatkan pula pada 2021 berikutan polisi yang dilaksanakan oleh MBM sepanjang pandemik COVID-19.

Pasca pandemik, peratusan kes yang berjaya diselesaikan telah meningkat 100% berturut-turut dari tahun 2022 hingga 2024.

Kutipan cukai taksiran di Miri adalah antara yang terbaik apabila MBM berjaya mengutip lebih RM50 juta secara purata atau lebih 90% daripada jumlah anggaran kutipan di bandar raya tersebut.

Pelaksanaan prosiding garnisi adalah cetusan idea Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Sirius Prime dari MBM yang turut melayakkan projek tersebut memenangi Anugerah Kelestarian Inovasi (SCS-NEXT) dalam Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2024.

Pada penganjuran SCSICA 2024, Sirius Prime mempertandingkan projek berkenaan di bawah Kategori Penambahbaikan dengan tajuk ‘Kesukaran Mengutip Tunggakan Cukai Taksiran Tahunan’.

Prosiding garnisi adalah prosedur undang-undang yang diguna pakai untuk melaksanakan sesuatu penghakiman yang berasaskan pembayaran wang atau yang disebut sebagai penghakiman monetari (Monetary Judgement).

Dari sudut bahasa mudah, prosiding garnisi bermaksud membekukan akaun (termasuk amanah saham) seseorang penghutang penghakiman, iaitu individu yang telah diperintahkan di bawah perintah mahkamah untuk membayar kepada pemiutang penghakiman.

Dari segi perundangan, garnisi bermaksud pihak ketiga (lazimnya pihak bank) yang diperintahkan oleh mahkamah (melalui notis undang-undang) untuk menyerahkan wang atau menyelesaikan tuntutan melalui wang simpanan penghutang penghakiman kepada pemiutang penghakiman.

Merujuk hal yang dihadapi MBM, penghutang penghakiman ialah individu pemilik hartanah sama ada pemilik rumah kediaman ataupun premis perniagaan yang mempunyai tunggakan cukai taksiran yang perlu dibayar kepada pemiutang penghakiman, iaitu pihak MBM.

Tunggakan cukai taksiran yang tinggi boleh menjejaskan pendapatan MBM untuk membiayai perkhidmatan-perkhidmatan perbandaran kepada masyarakat (Foto MBM)

Menurut Pegawai Penilaian MBM yang juga Fasilitator kumpulan Sirius Prime, Puan Monica bte Lenya, peningkatan tunggakan cukai taksiran pada tahun-tahun sebelum pelaksanaan prosiding garnisi telah menjejaskan pendapatan hasil cukai taksiran MBM.

Beliau tidak menafikan bahawa masalah tunggakan cukai taksiran ialah satu isu dan cabaran yang paling sukar dihadapi oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Jumlah semasa cukai taksiran yang tertunggak di seluruh Sarawak dicatatkan melebihi RM100 juta.

Cukai taksiran ialah sumber pendapatan utama PBT yang boleh disalurkan untuk tujuan penyediaan perkhidmatan perbandaran kepada masyarakat seperti pembinaan dan penyelenggaraan kemudahan awam, pungutan sampah, pengurusan kesihatan awam dan sebagainya.

Oleh yang demikian, MBM tiada pilihan lain selain melaksanakan prosiding garnisi memandangkan kaedah yang diguna pakai untuk mengutip tunggakan cukai taksiran sebelum ini didapati kurang berkesan.

Tambah beliau, pihak MBM juga telah mengadakan beberapa siri Program Jerayawara Promosi Cukai Taksiran / Cukai Pintu yang berkonsepkan ‘carrot-and-stick’ yang bertujuan untuk memberi kesedaran awam dan merayu pemilik hartanah membayar cukai taksiran atau melangsaikan tunggakan cukai taksiran.

rogram Promosi Jerayawara Promosi Cukai Taksiran / Cukai Pintu ialah salah satu inisiatif MBM menggalakkan pemilik hartanah membayar cukai taksiran (Foto MBM)

Puan Monica menjelaskan, pelaksanaan prosiding garnisi adalah tindakan terakhir yang diambil oleh pihak MBM selepas mendapati tiada maklum balas dibuat oleh penghutang biarpun notis peringatan sudah dikeluarkan beberapa kali sehingga melebihi tempoh dua (2) tahun.

Pegawai Penilaian MBM mnerangkap Fasilitator Kumpulan Sirius Prime, Puan Monica bte Lenya

Menerangkan kaedah tuntutan tunggakan cukai yang dilaksanakan sebelum ini, menurut beliau, proses tindakan undang-undang yang boleh diambil hanyalah setakat penghakiman sahaja dan hanya berkuat kuasa bagi tunggakan dalam tempoh enam (6) tahun.

Selepas tempoh tersebut, tiada tindakan undang-undang yang boleh diambil lagi kerana MBM tertakluk kepada Akta Had Masa 1953 (Limitation Ordinance Act 1953).

Jika berlaku sedemikian, MBM akan mengalami kekurangan kutipan hasil pendapatan yang diperlukan untuk menampung perbelanjaan bagi menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan perbandaran yang merupakan tanggungjawab dan peranan utama pihak majlis.

Bertitik tolak dari situlah kumpulan Sirius Prime telah menambah baik prosedur sedia ada dengan melaksanakan prosiding garnisi sebagai proses tambahan selepas penghakiman dijalankan.

Prosiding garnisi diperakui sebagai prosedur terpantas dan paling berkesan untuk mendapatkan bayaran cukai taksiran yang tertunggak.

Impak pelaksanaan prosiding garnisi oleh MBM dapat dilihat dari segi penjimatan kos, pengurangan masa, peningkatan produktiviti serta penggunaan sumber tenaga.

Biarpun kos khidmat guaman bagi melaksanakan prosiding garnisi sangat tinggi, namun pihak MBM dapat menjimatkan kos bayaran khidmat guaman untuk memfailkan semula (file afresh) oleh kerana tiada lagi kes tunggakan cukai.

Hal tersebut demikian kerana melalui prosiding garnisi, penghutang terpaksa membuat bayaran penuh tunggakan cukai taksiran berserta bayaran khidmat guaman sebelum pihak MBM boleh meneruskan tindakan pengeluaran awal (uplift) sejumlah amaun daripada akaun bank penghutang.

Puan Monica memaklumkan, prosiding garnisi mampu mengurangkan tempoh proses kerja kepada tiga (3) bulan dua (2) minggu berbanding dengan proses kerja pengendalian kes tunggakan cukai taksiran sebelum ini yang mengambil masa selama sembilan (9) bulan empat (4) minggu.

Dari segi produktiviti, pelaksanaan prosiding garnisi terbukti sebagai kaedah paling cekap dan berkesan dalam mengutip tunggakan cukai taksiran apabila menunjukkan peningkatan sebanyak 96%.

Begitu juga halnya dari segi penjimatan sumber tenaga apabila hanya tiga (3) orang kakitangan diperlukan untuk melaksanakan prosiding garnisi yang mana sebelum ini seramai enam (6) orang kakitangan diperlukan untuk ditempatkan di Unit Kutipan Tunggakan Cukai.

Beliau turut memaklumkan, MBM telah mengadakan beberapa perjumpaan bersama dengan PBT yang lain bagi membincangkan mengenai penyeragaman kaedah prosiding garnisi di seluruh Sarawak.

- Advertisement -

Perjumpaan bermula dengan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Penilaian Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak pada 23 Januari 2024 untuk pihak MBM membentangkan kaedah prosiding garnisi.

Seterusnya, MBM diminta untuk menyampaikan taklimat terperinci tentang tatacara kerja mengguna pakai prosedur dan kaedah prosiding garnisi pada 2 Julai 2024.

Pada 23 Ogos 2024, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) telah mengeluarkan arahan supaya prosedur dan kaedah prosiding garnisi diguna pakai oleh semua PBT di Sarawak sebagai alternatif untuk mengutip tunggakan cukai taksiran.

Susulan itu, antara PBT yang telah melaksanakan prosiding garnisi setakat ini ialah Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Sibu (SMC). Kejayaan MBM mengatasi isu tunggakan cukai taksiran melalui keberkesanan prosiding garnisi yang diilhamkan oleh kumpulan Sirius Prime menjadi penanda aras dalam aspek kelestarian sumber pendapatan yang boleh diperluaskan ke semua PBT di Sarawak

Ahli-ahli kumpulan Sirius Prime telah menerima pelbagai peringkat anugerah hasil cetusan idea dan inovasi dalam penambahbaikan proses kerja
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article