Keseluruhan kawasan pentadbiran Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) terletak di dalam Bahagian Pentadbiran Daerah Sibu yang berkeluasan 5,869.35 kilometer persegi dengan jumlah penduduk seramai kira-kira 80,000 orang.
Pada awal penubuhannya, kawasan MDLBS dibahagikan mengikut sistem wad (pembahagian kawasan pentadbiran perbandaran) yang pada asalnya terdapat 22 wad di dalam pentadbiran MDLBS.
Berikutan pembatasan semula selepas wad 16 diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) pada tahun 1981 diikuti wad 1, iaitu kawasan Igan secara rasminya diambil alih oleh Majlis Daerah Matu-Daro pada 1991, kawasan pentadbiran MDLBS pada masa ini ialah sebanyak 20 wad.
Setiausaha MDLBS, Encik Ng Siang Wei menjelaskan, biarpun wad pentadbiran MDLBS telah dikurangkan daripada 25 kepada 20 wad, namun begitu keluasan kawasan pentadbiran pihak majlis ialah 25 kali ganda lebih luas jika dibandingkan dengan kawasan pentadbiran MPS.

Kawasan pentadbiran yang begitu luas sedikit sebanyak memberi cabaran kepada pihak MDLBS dalam merancang dan melaksanakan projek pembangunan yang lebih teratur, terutama dari segi penyediaan infrastruktur awam.
Dalam temu bual bersama RAKAN Sarawak, beliau memperincikan senarai beberapa projek yang dilaksanakan oleh MDLBS untuk tahun 2024.

Projek RMK-12
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk pihak berkuasa tempatan (PBT), sebanyak 10 buah projek fizikal telah siap dilaksanakan oleh MDLBS manakala selebihnya pula masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Jumlah kos perbelanjaan keseluruhan untuk projek-projek tersebut sehingga suku keempat 2024 ialah sebanyak RM1,600,347.80.
Senarai 10 buah projek RMK-12 yang telah siap sepenuhnya adalah seperti berikut:
- Naik Taraf Jalan Kerupok, Rh. Alian, Sungai Bawang, Selangau
- Naik Taraf Jalan Kwong Ming Baharu, Telok Bango, Sibu
- Pembinaan Jalan Rh. Michael ak Pengabang dan Rh. Engir ak Aja, Nanga Tutus, Batang Igan, Sibu
- Naik Taraf Jalan Kampung Seteras Ulu, Selangau
- Baik Pulih Jeti Rh. Simond, Ulu Dijih, Selangau
- Baik Pulih Jeti Rh. Abell ak Mang, Bawang Assan, Sibu
- Baik Pulih Konkrit di Kawasan Perumahan Sibu Jaya
- Pembinaan Pusat Tong Sampah Pukal Termasuk Penyediaan Kontainer Sampah Empat (4) Roda Berkapasiti 660-liter untuk Zon A
- Pembinaan Pusat Tong Sampah Pukal Termasuk Penyediaan Kontainer Sampah Empat (4) Roda Berkapasiti 660-liter untuk Zon B
- Pembinaan Tandas Awam Sibu Jaya
Projek-projek RMK-12 lain yang masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan adalah Naik Taraf Jalan Rh. Dominic Merikan Batu 46 ½ Jalan KJD, Naik Taraf Jalan Rh. Imbap, Ulu Sungai Salim, Naik Taraf Jalan Kampung Selalo dan Jalan Rh Anjat serta Baik Pulih Jeti Rh. Johnathan Budum, Tanjung Penasu.
Selain itu, MDLBS juga sedang melaksanakan projek Pembinaan Pondok Menunggu dan Bumbung Laluan Pejalan Kaki di SJKC Thian Hua dan SK Sibu Jaya di bawah Program Bandar Selamat serta Naik Taraf Taman Permainan Bougenvilla.
Projek Infrastruktur MDLBS
Bagi projek penyediaan infrastruktur untuk tahun 2024 oleh pihak majlis, sebanyak lima (5) buah projek telah siap dilaksanakan.
Projek-projek tersebut adalah:
- Naik Taraf Tandas Awam Sibu Jaya
- Baik Pulih Tandas Awam Stapang MDLBS
- Naik Taraf Tandas Awam Selangau Riverbank dan Tandas Awam Pasar Selangau MDLBS
- Naik Taraf Tempat Letak Kenderaan Market dan Pasar Tamu Sibu Jaya MDLBS
- Baik Pulih Longkang Konkrit di Lorong Kemuyang 5I-B MDLBS
Tiga (3) projek turut akan dilaksanakan, iaitu Projek Pembinaan Gabion Wall di Jalan Rh. Lita, Batu 18 Jalan Sibu-Selangau, Pembinaan Titian di Kampung Kedada, Sungai Assan dan Pembinaan Laluan Konkrit di Rh. Kamat ak Ubong, Sungai Naman.
Encik Ng juga memaklumkan bahawa Projek Baik Pulih Longkang Konkrit Berhampiran Flat Block T, Sibu Jaya MDLBS telah dibatalkan berikutan tapak projek telah termasuk dalam perubahan cadangan pembesaran jalan oleh pihak pemaju swasta, iaitu syarikat Amcorp Sibu Jaya Sdn Bhd.
Projek di Bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP)
Di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Encik Ng memaklumkan sebanyak tujuh 59 buah projek dicadang untuk dilaksanakan sepanjang 2024.
Walau bagaimanapun, tiga (3) projek telah dibatalkan berikutan terdapat perubahan dalam pelaksanaan projek RTP manakala sebanyak tujuh (7) projek pula telah siap sepenuhnya.
Projek-projek RTP bagi tahun 2024 yang telah siap dilaksanakan oleh MDLBS:
- Naik Taraf Jalan Tai Sing, Engkilo, Sibu
- Naik Taraf Jalan Chung Sing, Engkilo, Sibu
- Naik Taraf Prasarana di Rh. Mili Nelson, Bukit Besai, Sibu
- Naik Taraf Jalan Yong Kok, Engkilo, Sibu
- Naik Taraf Jalan Kebun Rh. Emerlly Florence, Batu 36, Tamin
- Merata dan Menyimen Perkarangan Rumah Panjang Rh. Manjah, Bukit Tinggi
- Baik Pulih Bumbung Rumah Panjang Rh. Mary, Pasai Bon 2

Jumlah peruntukan keseluruhan untuk kesemua projek berkenaan ialah sebanyak RM1,555,000 yang melibatkan lima (5) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Bawang Assan, Nangka, Bukit Assek, Tamin dan Kakus termasuklah dua (2) kawasan Parlimen, iaitu Sibu dan Selangau.
Menurut Encik Ng, baki 49 buah projek RTP untuk tempoh tersebut masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan melibatkan projek naik taraf jalan termasuk pembinaan tempat letak kenderaan, naik taraf jambatan kayu, baik pulih dan naik taraf prasarana serta pembinaan tandas awam di kawasan rumah panjang dan naik taraf gelanggang sukan dalam kawasan sekolah.

Beliau juga memaklumkan bahawa pihak MDLBS bakal memiliki bangunan pentadbiran baharu di Sibu Jaya yang dijadual untuk dimulakan pembinaan fasa pertamanya pada Ogos tahun ini.
Terletak di kawasan yang strategik, pejabat baharu tersebut dijangka dapat meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan MDLBS kepada masyarakat serta menjadi pemangkin pembangunan di kawasan sekitar, terutama di kawasan pinggir bandar Sibu.
