Model Kesiapsiagaan APM Sarawak Melalui Solusi Komuniti
Bencana bukan sekadar satu kejadian tragis yang membawa kemusnahan fizikal dan kehilangan nyawa, tetapi ia juga merupakan ujian besar terhadap ketahanan mental, kecekapan pengurusan, serta solidariti komuniti dalam menghadapi situasi luar jangka.
Di Sarawak yang memiliki kepelbagaian geografi dan cuaca yang tidak menentu, ancaman bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, dan kebakaran hutan bukanlah sesuatu yang asing.
Oleh itu, kehadiran sebuah agensi yang mampu bertindak pantas, efisien dan menyeluruh amatlah penting dalam memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin.


Dalam konteks ini, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak berperanan sebagai agensi barisan hadapan yang bukan hanya terlibat secara langsung semasa krisis, tetapi turut melaksanakan usaha berterusan dalam mendidik, melatih dan memperkasakan masyarakat untuk menghadapi bencana sebelum ia berlaku.
Pendekatan ini mencerminkan perubahan paradigma daripada reaktif kepada proaktif, di mana pencegahan dan kesiapsiagaan menjadi tunjang utama.
Penulisan ini memberi tumpuan bukan hanya kepada kesan bencana, tetapi lebih penting lagi kepada penyelesaian, strategi serta inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan oleh APM Sarawak demi membina komuniti yang lebih tangkas, peka dan berdaya tahan.
APM Sarawak: Tonggak Kesiapsiagaan Negeri
Ditubuhkan berlandaskan Akta Pertahanan Awam 1951 (Akta 221), APM Sarawak merupakan sebuah agensi keselamatan yang memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek pengurusan bencana, operasi menyelamat, serta perlindungan awam.

Dalam era moden ini, APM tidak lagi hanya dilihat sebagai agensi sokongan semata-mata, malah sebagai peneraju utama dalam memastikan sistem kesiapsiagaan bencana berada pada tahap yang optimum.
Kini, APM memikul sebanyak 21 fungsi utama dalam bidang pertahanan awam, merangkumi pengurusan bencana, khidmat kemanusiaan, latihan kepada agensi kerajaan dan juga masyarakat awam.
Fungsi-fungsi ini dijalankan secara holistik, selari dengan aspirasi kerajaan dalam mewujudkan masyarakat yang lebih bersedia dan bertanggungjawab terhadap keselamatan diri dan persekitaran.

Menurut Pengarah APM Sarawak, PA Mohtar Bin Samat, pendekatan mereka bukan hanya tertumpu kepada latihan teknikal semata-mata, malah turut memberi fokus kepada pembentukan jaringan kerjasama kukuh dengan komuniti setempat melalui pendekatan inklusif dan mesra rakyat.
Kekuatan Infrastruktur dan Sumber Manusia
Sehingga kini, APM Sarawak telah membina kekuatan operasional yang mantap dengan memiliki lebih daripada 2,759 pegawai dan anggota yang terlatih dalam pelbagai bidang penyelamat dan pengurusan bencana.
Sumber manusia ini disokong pula oleh 295 aset darat dan air yang ditempatkan secara strategik di seluruh negeri berdasarkan penilaian risiko dan keperluan kawasan tertentu.

Penempatan aset secara sistematik ini membolehkan APM memberikan respons yang lebih pantas dan berkesan ketika berlaku, terutama di kawasan yang berisiko tinggi.
Walaubagaimanapun, APM tidak hanya bergantung kepada tenaga kerja tetap. Kebergantungan kepada tenaga sukarelawan juga menjadi satu aspek penting dalam menjayakan misi penyelamatan.
Lebih daripada 2,700 sukarelawan telah menyertai APM, terdiri daripada masyarakat setempat, anggota bomba, polis, dan individu yang berminat menyumbang tenaga.
Sebagai contoh, dalam kejadian banjir di Tatau, kecekapan sukarelawan tempatan yang arif tentang geografi kawasan telah membolehkan proses penyelamatan dilaksanakan dengan lebih efisien dan cepat, sekali gus menyelamatkan lebih banyak nyawa dan harta benda.
Cabaran dan Strategi Penyesuaian
Dalam menggalas tanggungjawab besar ini, APM Sarawak turut berdepan dengan pelbagai cabaran yang menuntut strategi penyesuaian yang bijak.
Antara cabaran utama ialah kekangan logistik seperti kekurangan kenderaan berat dan bot penyelamat di sesetengah kawasan pendalaman.
Kawasan sebegini sering sukar diakses, terutama semasa musim tengkujuh atau ketika berlaku gangguan jalan darat.
Bagi mengatasi cabaran ini, APM telah merangka strategi perancangan awal serta menyusun semula penempatan aset secara berkala agar sesuai dengan perubahan corak bencana.
Selain itu, masalah komunikasi turut menjadi kekangan utama apabila berlaku gangguan liputan rangkaian telefon di kawasan tertentu semasa krisis.
Sebagai langkah alternatif, APM menggunakan sistem komunikasi tambahan seperti walkie-talkie, radio kecemasan dan turut mengoptimumkan penggunaan media sosial untuk menyampaikan maklumat pantas kepada orang ramai.
Latihan Berterusan: Tiada Kompromi Dalam Ilmu dan Kemahiran
APM Sarawak tidak berkompromi dalam aspek latihan dan pembangunan kemahiran anggotanya.
Setiap tahun, lebih 12 kursus utama dijalankan melibatkan latihan simulasi bencana, kursus bantuan hidup asas (CPR dan penggunaan AED), penyelamatan air, pendakian gunung, misi di hutan serta pengendalian peralatan canggih seperti dron dan sonar.

Kesemua latihan ini dijalankan di Pusat Latihan APM yang terletak di Demak, Kuching yang menjadi pusat utama pemantapan ilmu sebelum anggota dikerahkan ke lapangan.
Sukarelawan juga diwajibkan menghadiri latihan asas seperti Basic Life Support (BLS) dan Basic Trauma Life Support (BTLS) sebelum terlibat dalam sebarang operasi lapangan.
“Setiap anggota perlu bersedia secara fizikal dan mental. Latihan yang diberikan bukan sahaja untuk menyelamatkan nyawa orang lain, tetapi juga untuk memastikan keselamatan diri sendiri semasa bertugas,” tegas PA Mohtar.
Melibatkan Komuniti: Kunci Ketahanan Masyarakat
Antara pendekatan paling efektif APM Sarawak dalam meningkatkan kesiapsiagaan ialah dengan melibatkan komuniti secara langsung.

Program seperti penubuhan Community Emergency Response Team (CDERT) di kampung-kampung dan taman-taman perumahan, program Sukarelawan Pertahanan Awam (SISPA) serta Latihan Simulasi Komuniti (CBDRM) merupakan inisiatif penting ke arah membentuk komuniti berpengetahuan dan bersedia.
Program-program ini membolehkan masyarakat memahami peranan mereka dalam tempoh kritikal awal bencana serta memperkukuh jaringan tindak balas tempatan. APM juga bekerjasama erat dengan ketua masyarakat dalam merangka pelan evakuasi komuniti serta mengadakan latihan secara berkala agar semua pihak bersedia bila-bila masa.
“Jika komuniti tahu apa yang perlu dilakukan dalam 10 minit pertama bencana berlaku, kita sudah menang separuh pertempuran,” ujar PA Mohtar dengan yakin.
Solusi Jangka Panjang: Pendidikan Awal dan Literasi Bencana
Selain aspek operasi, APM Sarawak turut memberi perhatian kepada aspek pendidikan dan literasi bencana dalam kalangan rakyat.
Menerusi kerjasama dengan institusi pendidikan, APM melaksanakan program SISPA di sekolah menegah untuk menyemai budaya kesiapsiagaan dari peringkat awal lagi.

Pelajar diberi pendedahan tentang asas penyelamatan, teknik bantuan kecemasan serta kepentingan berdisiplin dan bertindak pantas semasa bencana. Matlamat jangka panjang APM adalah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat dari usia muda hingga dewasa mempunyai kesedaran tinggi dan mampu bertindak secara kolektif semasa krisis.
Dari Reaktif ke Proaktif
Hakikatnya, bencana tidak dapat dielakkan, tetapi impaknya boleh dikurangkan melalui perancangan rapi, pendidikan berterusan dan penglibatan aktif komuniti.
APM Sarawak telah menunjukkan contoh terbaik bagaimana pendekatan menyeluruh merangkumi latihan teknikal, pembangunan kapasiti sukarelawan, pendidikan awam dan komunikasi yang efektif boleh membentuk sistem keselamatan yang mantap dan holistik.
Dengan iltizam yang tinggi dan pendekatan berpaksikan masyarakat, APM Sarawak bukan sekadar menjadi penyelamat ketika krisis, tetapi turut berperanan sebagai pendidik, perancang dan peneraju solusi untuk masa depan yang lebih selamat dan berdaya tahan.
