Perkongsian maklumat dan pengetahuan dalam sesebuah organisasi dilihat sebagai satu budaya yang sangat baik kerana ia menjadi kunci untuk mengekal dan merebut kelebihan bersaing dalam suatu pasaran produk atau perkhidmatan.
Merujuk pada Chu Keong Lee, 2002, dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura dalam sebuah penulisannya yang bertajuk Factors Impacting Knowledge Sharing, perkongsian pengetahuan adalah teras utama yang harus dijadikan budaya dalam sesebuah organisasi bagi menjamin inisiatif pengurusan pengetahuan berjaya dilaksanakan.
Namun demikian, tidak dinafikan bahawa budaya perkongsian pengetahuan ini bukanlah semudah yang dijangka kerana bukan semua orang mahu berkongsi pengetahuan secara percuma kerana ia dianggap sebagai ‘kuasa’ yang sangat bernilai.
Sesetengah pekerja tidak terdorong untuk berkongsi pengetahuan kerana mereka khuatir bahawa berkongsi pengetahuan yang mereka usahakan akan merosakkan kepakaran mereka atau lebih parah lagi, dianggap akan memberi kredit kepada orang lain.
Selain itu, sebilangan pekerja juga dianggap ‘lokek’ maklumat atau pengetahuan kerana bagi mereka adalah lebih selamat jika mereka memilih untuk tidak berkongsi maklumat atau pengetahuan tatkala ramai yang menghampiri mereka untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Namun setelah dikenal pasti, sebenarnya terdapat beberapa faktor yang boleh menggalakkan atau membantutkan perkongsian maklumat atau pengetahuan kepada orang lain.
Faktor yang pertama ialah berkaitan dengan personaliti yang merujuk kepada sifat dan sikap seseorang yang membentuk perwatakannya atau keperibadiannya.
Misalnya, orang yang peramah (extrovert) biasanya lebih berkeyakinan, merasa selamat dan cenderung untuk berkongsi pengetahuan atau maklumat dengan orang lain berbanding orang yang pendiam (introvert) lebih mementingkan diri sendiri dan merasa tidak selamat untuk berkongsi.
Kedua ialah, orang yang mempunyai pemikiran yang positif biasanya mempunyai kepercayaan kepada orang lain, dan mereka yang bekerja dalam persekitaran yang kondusif untuk berkongsi pengetahuan cenderung untuk berkongsi pengetahuan.
Ketiga ialah peneguhan kerjaya turut dilihat sebagai faktor penting kepada perkongsian pengetahuan dimana pekerja yang keperluan kerjayanya telah dipenuhi biasanya lebih mudah berkongsi pengetahuan berbanding dengan pekerja yang satu atau lebih keperluan kerjayanya tidak dipenuhi.