Tidak dinafikan Perkhidmatan Awam memerlukan penjawat awam yang terbaik yakni berfikiran kritis, boleh merancang dan mentadbir sesebuah organisasi dengan lebih cekap dan berkesan kerana rakyat sentiasa menghendaki sistem penyampaian yang terbaik daripada kakitangan perkhidmatan awam.
Oleh itu, gaya dan sifat kepimpinan dalam diri seseorang kakitangan perkhidmatan awam amat penting bagi memastikan organisasi yang dipimpinnya berjaya dalam semua aspek.
Untuk memberi kesan yang positif dalam perkhidmatan awam, seorang pemimpin harus mempunyai sifat dan gaya kepimpinan yang berkesan kerana tanpa sifat dan gaya kepimpinan yang berkesan ini, mustahil untuk sesebuah organisasi dalam perkhidmatan awam dapat ditadbir dengan baik.
Pada dasarnya, sifat kepimpinan ini membawa maksud perwatakan yang mampu untuk mempengaruhi orang lain melakukan sesuatu tugas dengan rela hati, namun pada hakikatnya, bukan semua individu yang dilahirkan mempunyai sifat kepimpinan yang unggul.
Namun begitu, jika seseorang mampu menunjukkan sifat-sifat peribadi yang berkaliber dalam memberikan idea yang bernas dan dinamik, maka tidak mustahil individu tersebut mampu menjadi ketua dan pemimpin yang berjaya dalam sesebuah organisasi.
Hal ini kerana, gaya dan sifat kepimpinan yang berjaya dalam perkhidmatan awam adalah keupayaan seseorang individu dalam mempengaruhi subordinat-subordinatnya dalam melakukan tugas yang diberikan kepada mereka.
Untuk mempertingkatkan kemahiran dan membentuk pemimpin yang dapat membawa perubahan kepada masyarakat dan negara, latihan dan program perlu dilaksanakan dengan memberi tumpuan terhadap pengurusan kewangan, pengurusan projek, pengurusan aduan dan pengurusan pelanggan.
Selain itu, kakitangan perkhidmatan awam perlu didedahkan kepada aspek perancangan yang meliputi perancangan mikro dan perancangan ekonomi, kualiti dan kemahiran kerana ia adalah kemahiran yang perlu ada pada setiap ketua jabatan.
Seorang pemimpin yang sudah mencapai tahap ketua jabatan ialah individu yang digelar pegawai yang betul-betul berkeupayaan dan memiliki pengetahuan yang mendalam dalam pelbagai perkara.
Tidak dinafikan bahawa setiap pemimpin mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Oleh itu, sifat yang khusus untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya sukar untuk ditakrifkan.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa sifat yang telah dikenal pasti ada dalam diri pemimpin yang berjaya antaranya seseorang yang berorientasikan misi dan visi, mempunyai daya keyakinan yang tinggi, berani melakukan perkara yang luar biasa, mencipta dan membawa perubahan, berintegriti, bermoral dan lebih realistik.