Bantu Kurangkan Kesesakan di Farmasi Pesakit Luar
Perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu (FPL) ditawarkan bagi mengatasi masalah yang dihadapi pesakit untuk mendapatkan bekalan ubat susulan mereka seperti sukar mendapat ruang parkir kenderaan, kesesakan di kaunter farmasi serta masa menunggu di farmasi yang lama.
FPL yang ditawarkan ini menyediakan kemudahan alternatif untuk pesakit mendapatkan bekalan ubat susulan mereka di luar kawasan farmasi. Melalui cara ini, pesakit yang berdaftar hanya perlu memaklumkan pihak farmasi melalui kad temu janji, telefon atau SMS tentang tarikh untuk datang bagi mendapatkan bekalan ubat susulan mereka.
Bekalan ubat pesakit akan disediakan terlebih dahulu sebelum tarikh temu janji. Oleh yang demikian para pesakit tidak perlu menunggu lama dan juga tidak perlu bersusah payah mencari ruang parkir.
Pada 8 Disember 2020 yang lalu, sebuah lagi kemudahan ini disediakan di Hospital Miri. Sebelum ini FPL telah disediakan di Hospital Sibu dan Hospital Umum Sarawak.
Projek FPL Hospital Miri ini dicadangkan oleh Pengarah Hospital bagi mengurangkan kesesakan pesakit di farmasi pesakit luar dan mengurangkan pesakit menunggu bagi mengamalkan penjarakan sosial semasa COVID-19.
FPL Hospital Miri beroperasi dari jam 8.30am ke 4.30pm.
FPL memberi perkhidmatan bekalan susulan kepada pesakit. Polisi pembekalan ubat adalah hanya memberi bekalan selama sebulan sahaja maka bekalan susulan perlu diambil setiap bulan sehingga temu janji dengan doktor yang seterusnya.
Bekalan pertama perlu diambil di kaunter farmasi pesakit luar di mana kaunseling ubat diberikan. Bekalan susulan yang sama seterusnya pada bulan berikutnya boleh diambil di farmasi pandu lalu mengikut tarikh yang dicadangkan.
Pembinaan FPL Hospital Miri ini bermula pada 23 November 2020 dan kos pembinaan diserap keseluruhannya oleh Rotary Club Miri dan penyerahan kunci telah dilakukan pada 7 Disember 2020.
Hospital Miri melayan sekitar 400-500 orang pesakit yang ada temu janji dengan doktor setiap hari dan sekitar jumlah yang sama (400-500 orang pesakit) juga mengambil bekalan susulan setiap hari menjadikan purata pesakit yang mengambil ubat di kaunter farmasi sekitar 800 orang pesakit sehari.
Perlaksanaan ini boleh mengurangkan kesesakan di farmasi pesakit luar, manakala pesakit boleh mendapat bekalan susulan ubat dengan cepat tanpa menunggu lama dan menggunakan parkir.