- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Mewujudkan Persekitaran Tempat Kerja yang Sihat

Must read

Kesihatan tubuh badan dan minda merupakan impian setiap insan demi kelangsungan hidup yang sihat dan sejahtera.

Tempat kerja yang sihat merangsang pertumbuhan dan perkembangan pekerja dan organisasi secara keseluruhan

Oleh itu, penjagaan kesihatan seperti pemakanan seimbang, melakukan aktiviti kecergasan di samping persekitaran yang sihat merupakan kunci kepada kesihatan yang baik.

Penjagaan kesihatan bukan sahaja boleh diamalkan di rumah, malah juga boleh diamalkan di tempat kerja.

Tempat kerja yang sihat adalah tempat di mana para pekerja dan majikan bekerjasama untuk terus meningkatkan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan semua pekerja agar dapat mengekalkan produktiviti perniagaan (Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 2009).

Pekerja yang sihat, ceria dan menikmati keseronokan bekerja ialah pekerja yang produktif serta cenderung untuk terlibat secara menyeluruh dengan pekerjaan.

Memastikan pekerja sentiasa sihat dan ceria adalah tanggungjawab majikan dan pihak pengurusan untuk mengelak daripada perkara-perkara yang boleh mempengaruhi kualiti kerja dan produktiviti organisasi.

Berikut merupakan kaedah-kaedah bagi majikan untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang sihat:

Mempromosi kesihatan dan kesejahteraan: Majikan dapat mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan pekerja dengan mengadakan program senaman mingguan pada waktu sebelum mula bekerja dan selepas waktu bekerja. Selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat, aktiviti sedemikian juga memberi para pekerja peluang untuk mengenali rakan sekerja dengan lebih baik.

Mengenali personaliti yang berbeza: Setiap tempat kerja mempunyai kombinasi karakter dan apa yang dapat memotivasi pekerja tertentu, tidak semestinya berkesan kepada pekerja yang lain. Kenali pekerja dan kenal pasti kaedah yang boleh membantu mereka dalam hal berkaitan kerja.

Polisi pekerja yang adil: Polisi pekerja yang adil harus diamalkan di semua organisasi tanpa mengira pangkat dan keudukan. Majikan perlu memberikan contoh dan teladan yang baik. Sekiranya perubahan terhadap polisi dilakukan, maka kesemua pekerja mesti dimaklumkan.

Pemakanan sihat: Menjaga waktu makan dan mengambil makanan yang sihat dapat mewujudkan persekitaran tempat kerja yang sihat. Majikan seharusnya menggalakkan pekerja untuk makan pada waktu yang tepat dan tidak menggangu waktu rehat mereka dengan lambakan kerja yang banyak. Jika perlu, sediakan snek ringan yang menyihatkan seperti salad dan buah-buahan di pantri.

Aktiviti kerja berpasukan: Mengadakan aktiviti dalam pasukan kerja bukan hanya dapat menjainkan ikatan di kalangan pekerja, malah dapat memotivasi mereka. Selain itu, aktiviti-aktiviti berpasukan dapat membantu meningkatkan komunikasi dan produktiviti dalaman, meningkatkan semangat dan membantu pekerja mengenali satu sama lain dengan lebih baik.

Waktu rehat: Menggalakkan pekerja berehat sebentar untuk lima minit juga merupakan salah satu kaedah bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja yang sihat. Kerap beristirehat dari meja membantu melegakan otot, mengelakkan daripada masalah kesihatan mata dan mengembalikan kecerdasan. Eyeleo atau PC Work Break adalah sebahagian daripada aplikasi yang boleh dipasang pada desktop sebagai alat peringatan untuk berehat.

Pejabat yang bersih dan selesa: Bekerja dalam suasana pejabat yang bersih dan selesa boleh memberi kesan yang besar terhadap interaksi sesama rakan sekerja. Walaupun sesetengah pejabat tidak mendapat cahaya matahari, majikan boleh mencuba untuk mewujudkan suasana santai dengan perabot yang selesa, peralatan kerja dan tambahkan lampu untuk menjadikan ruang bekerja lebih terang.

Mewujudkan persekitaran tempat kerja yang sihat tidak semestinya sukar atau memerlukan kos yang tinggi. Persekitaran tempat kerja yang sihat dapat meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos yang berkaitan dengan ketidakhadiran pekerja, perolehan, pampasan pekerja, dan tuntutan bil perubatan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article