- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

Faktor Yang Mewujudkan Kesejahteraan di Tempat Kerja

Must read

Terdapat beberapa faktor dikenalpasti dapat mewujudkan kesejahteraan di tempat kerja antaranya persekitaran fizikal yang bersih dan selamat, keperluan asas pekerja disediakan, mempunyai hubungan yang baik antara sesama dan tidak menindas orang bawahan atau rakan sekerja yang lain.

Selain itu, budaya kerja yang progresif dan sihat juga adalah antara faktor yang penting kerana ia boleh memberikan motivasi kepada pekerja sekaligus menjadi suntikan semangat dalam peningkatan kecemerlangan sesebuah organisasi.

Namun begitu, terdapat beberapa budaya negatif atau budaya tidak sihat yang seringkali muncul sehingga menyebabkan hilangnya kesejahteraan di tempat kerja.

Contohnya sikap iri hati, dengki, bergosip, protes, bermusuh, kerenah birokrasi, sikap berat sebelah di kalangan pemimpin dan sebagainya boleh menyebabkan rakan-rakan sekerja tidak gembira dan hilang semangat lantas mengambil keputusan berhenti kerja.

Selain faktor-faktor yang dijelaskan di atas, kemalangan di tempat kerja yang disebabkan tindakan yang tidak selamat atau keadaan kerja yang tidak selamat juga boleh menyebabkan hilangnya kesejahteraan di tempat kerja.

Hubungan baik di antara sesama dapat mewujudkan kesejahteraan di tempat kerja

Oleh sebab itu, majikan harus sentiasa mengenalpasti secara sistematik semua perkara merbahaya di tempat kerja untuk mengelak daripada berlakunya kemalangan di tempat kerja.

Antaranya memastikan pekerja mengikut protokol kerja selamat; mematuhi arahan keselamatan sepanjang masa; menyelenggara mesin dan peralatan secara sistematik; tidak dipengaruhi alkohol atau dadah semasa bekerja; dan menghadiri latihan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Menurut bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahmad Kahiruddin Bin Mohd Ghazi (2017), terdapat 11 faktor kesejahteraan yang mempengaruhi peningkatan prestasi kerja iaitu;

  1. Pekerja mempunyai autonomi terhadap pekerjaan mereka namun, bukan bermakna autonomi diberikan dengan mengabaikan pemantauan tetapi pekerja mempunyai cara berasaskan kebijaksanaan dalam melaksanakan tugasan.
  2. Kepelbagaian jenis tugasan yang diberikan mengikut deskripsi tugas dapat menimbulkan perasaan dipercayai oleh organisasi.
  3. Pekerjaan mereka mempunyai kesan signifikan yang dapat meyumbang kepada masyarakat.
  4. Penyelia jelas apa yang diharapkan oleh pekerja yang dilihat melalui penilaian prestasi.
  5. Kaedah penyeliaan dan rakan sekerja yang positif dan saling memberi sokongan terhadap rakan sekerja.
  6. Interpersonal yang positif dalam berhubung dan berkomunikasi dengan penyelia, rakan sekerja, pelanggan dan masyarakat.
  7. Peluang diberikan kepada pekerja dalam meningkatkan kemahiran mereka dengan memberi latihan dan pengetahuan baru.
  8. Pekerja berasa keselamatan mereka diberi perhatian termasuklah keselamatan semasa bekerja dan perlindungan yang diberikan.
  9. Skop kerja yang jelas mampu memberi kesejahteraan kepada pekerja.
  10. Persepsi tentang keadilan di tempat kerja yang positif atau tentang bagaimana pekerja dilayan yang bermaksud tidak wujud diskriminasi dan mendominasi sama ada daripada penyelia, rakan sekerja atau pelanggan.
  11. Kadar gaji diiktiraf sebagai pendorong motivasi paling kuat namun ia bukan berdasarkan sebanyak mana bayaran yang diberikan tetapi perbandingan bayaran dengan pekerja lain.

Menurut beliau, faktor-faktor ini memberi kesan terhadap kesejahteraan yang mempunyai interaksi yang cukup rapat dengan prestasi kerja.

Kombinasi komunikasi yang efektif dan kepimpinan yang baik membolehkan pekerja mencapai kesejahteraan yang seterusnya memberi kesan positif kepada pekerjaan mereka.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article