- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Bahasa Kebangsaan Harus Jadi Pemangkin Bina Negara Bangsa

Must read

Salah satu elemen yang selalu digunakan untuk mengkategorikan sesebuah negara dan bangsa adalah ‘Bahasa’ kerana ia bukan sahaja merupakan identiti kepada sesebuah negara malah lambang jati diri sesuatu bangsa sehingga menjadi ‘senjata’ untuk menyatupadukan rakyat dalam negara.

Di negara kita, Bahasa Melayu telah dijadikan sebagai Bahasa Kebangsaan dengan satu matlamat iaitu untuk menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Perkara ini juga termaktub dalam Laporan Pendidikan Razak pada tahun 1956 yang diangkat menjadi dasar pada Ordinans Pendidikan 1957 kemudiannya menjadi Akta Pendidikan 1961 dan 1996.

Dalam Akta Pendidikan 1996, pada Bahagian 17, melalui judul “Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Pengantar Utama telah menegaskan bahawa “Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan”.

Dengan itu, kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seharusnya tidak lagi dipertikaikan namun, usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai suatu wadah untuk menyatupadukan rakyat Malaysia masih belum mencapai matlamatnya.

Salah satu faktor yang menyebabkan kegagalan usaha ini ialah kerana sesetengah masyarakat di negara ini kurang fasih untuk bertutur dalam Bahasa Melayu.

Selain itu, segelintir masyarakat di negara ini menolak penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kerana enggan mengidentifikasikan diri mereka dengan bahasa Melayu,

Sikap seperti inilah yang sering menggagalkan usaha kerajaan membina negara bangsa kerana masih wujud masyarakat yang tidak bersatu padu, tidak seia dan sekata atau tidak sehati sejiwa dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Bahasa Kebangsaan harus dititikberatkan agar dapat membina bangsa Malaysia yang harmoni dan bersatu padu

Dengan perkataan lain, tiada sokongan padu oleh sekelompok rakyat untuk menerima, apatah lagi menjayakan kepentingan negara dan aspirasi nasional ini, iaitu bahasa Melayu selaku bahasa negara dan bahasa selaku alat perpaduan.

Mentaliti yang melihat Bahasa Melayu hanya milik orang Melayu itu harus diubah dan harus diterima dan dimiliki sebagai bahasa etnik-etnik dan komuniti-komuniti lain selain daripada bahasa ibunda mereka sendiri.

Dalam erti kata lain, untuk membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu, untuk mewujudkan suatu identiti rakyat Malaysia yang kekal mendepani zaman, bahasa Melayu haruslah menjadi bahasa rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article