- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

Tingkat Sistem Penyampaian Air Luar Bandar Era Digital

Must read

Transformasi digital amat berkesan sekiranya berstrategik dan menangani unsur-unsur teknologi dan manusia dalam pelaksanaannya.

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) memanfaat teknologi hasil Revolusi Perindustrian Keempat seperti analisis data dan kecerdasan buatan kepada pemantauan jarak jauh (remote sensing) bagi menyelesaikan cabaran pengurusan air jangka masa panjang.

Pendigitalan Paip Agihan

Secara amnya setelah proses rawatan air dilaksanakan di loji, air yang dihasilkan akan diagihkan kepada pengguna melalui sesalur air utama seperti sesalur pengepaman, paip agihan dan paip yang lebih kecil (feeder pipes).

Air biasanya dipam ke tangki aras tinggi terlebih dahulu sebelum disalurkan kepada pengguna. Dalam aspek ini, pihak JBALB telah mengenal pasti proses pendigitalan yang boleh dilaksanakan bagi memantau agihan air kepada pengguna.

Ini termasuklah memastikan tekanan air yang sentiasa mencukupi kepada pengguna, jumlah aliran air adalah berpadanan dengan permintaan pengguna di kawasan tersebut serta mengenal pasti sekiranya terdapat kebocoran paip.

Pendigitalan paip agihan dilakukan dengan memasang alat pengesan (sensors) di tangki takungan seperti tangki aras tinggi dan kolam takungan, meter aliran elektromagnetik (electromagnetic flowmeter) dan pengesan tekanan (target pressure point sensors).

Pemasangan IoT iaitu meter aliran air electromagnet yang boleh mengambil bacaan aliran air dan terus dihantar melalui talian internet ke server JBALB. Lokasi pemasangan : Kg Baru Sebuyau, Samarahan

Semua alat pengesan ini adalah dianggap sebagai IoT (internet of things) di mana ia bertindak untuk membuat bacaan dan menghantar data tersebut kepada server JBALB dengan menggunakan komunikasi protokol seperti NB-IOT, 3G/4G atau VSAT.

Bagi memastikan pengiraan kejuruteraan adalah tepat dalam pemantauan ini, pemetaan sesalur air secara komprehensif hendaklah turut dilaksanakan dengan menggunakan aplikasi ArcGIS yang bukan sahaja dapat memetakan sesalur air di dalam peta, malah memasukkan sekali atribut-atribut penting seperti aras paip, material paip, saiz/diameter paip dan sebagainya.

Atribut ini hendaklah selari dengan piawaian NRW yang telah ditetapkan oleh Kementerian Air dan Sumber Asli Malaysia (KASA).

Pendigitalan Penggunaan Air

Kerja-kerja penggantian meter kepada meter pintar (smart meter) sewaktu pelaksanaan POC projek meter pintar di kawasan perumahan di Bau, Sarawak di bawah kawasan pentadbiran JBALB

Pendigitalan penggunaan air adalah bidang yang masih baharu di Malaysia. Ia melibatkan pemasangan meter pintar (smart meter) di mana penggunaan air oleh pengguna dapat dipantau secara masa nyata (real time monitoring).

Pada masa ini, penggunaan air dipantau secara bulanan iaitu melalui bacaan secara manual oleh pembaca meter.

JBALB telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan projek perintis meter pintar di mana meter-meter pengguna akan diganti dengan meter pintar yang dapat mengambil bacaan dan seterusnya dihantar melalui talian internet menggunakan teknologi NB-IOT.   

Sebelum projek ini dilaksanakan, projek percubaan secara “proof of concept (POC)” telah dilaksanakan selama 6 bulan oleh vendor kerajaan negeri iaitu SAINS kepada lebih kurang 200 pengguna air di beberapa taman perumahan di Bau.

Hasil daripada POC ini mendapati, penggunaan meter pintar sangat memudahkan kerja-kerja pembaca meter dan lebih mengujakan ialah pemantauan penggunaan air adalah sangat mudah.

Pemasangan meter pintar memudahkan kerja-kerja pembaca meter di mana mereka tidak perlu lagi membuat pembacaan meter secara manual

Penggunaan meter pintar dapat mengenal pasti pola permintaan penggunaan air bagi sesebuah tempat berdasarkan hari, bulan dan musim. Ia berpotensi untuk dikembangkan lagi untuk ditambahkan dengan modul jangkaan permintaan.  

Perlombongan data juga lebih mudah dengan penggunaan meter pintar di samping penguatkuasaan juga dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Sehingga artikel ini ditulis, projek perintis pemasangan meter pintar masih lagi berjalan dan dijangka siap pada penghujung tahun 2021.

Ia melibatkan pemasangan 15,000-meter pintar di seluruh bahagian Samarahan dan sebahagian kawasan Bau. Pemasangan meter pintar ini merupakan tindakan serampang dua mata JBALB di mana ia dapat mengatasi masalah pemantauan penggunaan air yang kurang cekap, kekurangan pembaca meter serta risiko terdedah kepada kemalangan, serangan binatang dan juga jangkitan penyakit.

RAKAN Sarawak merakam penghargaan terima kasih di atas kerjasama Cawangan Komunikasi Korporat dan Pendigitalan, JBALB Sarawak yang membantu menyalurkan maklumat dan foto dalam penghasilan artikel di atas.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article