- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Tujuh Strategi Transformasi JBALB

Must read

Proses transformasi JBALB untuk menjadi sebuah organisasi unggul, disegani serta setanding dengan agensi yang lain menerusi barisan kepimpinan dan pengurusan yang bertanggungjawab, dinamik dan berpandangan jauh yang diketuai oleh Ir Chang Kuet Shian, Pengarah JBALB Sarawak pada tahun ini diteruskan dengan beberapa strategi iaitu:

1- Melaksanakan Strategi Sistem Grid Bekalan Air Fasa 2 (2021-2025)

Sistem Grid Bekalan Air Sarawak merupakan perancangan jangka panjang kerajaan yang bakal mengubah landskap sistem bekalan air yang lebih holistik dan menyeluruh.

Strategi yang digariskan oleh pihak Kementerian Utiliti Sarawak di bawah teraju YB Dato Sri Dr.Stephen Rundi Utom melalui pelaksanaan Sistem Grid Bekalan Air Sarawak diharap mampu untuk mencapai sasaran 100% liputan air bersih dan terawat di seluruh Negeri Sarawak.

Sistem Grid Bekalan Air Sarawak – sistem bekalan air yang menyeluruh

Secara dasarnya, pelaksanaan sistem ini juga adalah untuk menampung permintaan penggunaan bekalan air yang semakin meningkat sehingga Tahun 2040.

2- Mewujudkan Dokumen MS ISO 9000 untuk bahagian Operasi

Aspek pengoperasian yang sistematik, mantap, teratur dan berkesan adalah antara fokus utama pihak JBALB pada tahun ini. Bahagian Operasi merupakan jantung kepada perkhidmatan JBALB kepada masyarakat.

Justeru itu, keperluan untuk mewujudkan Dokumen MS ISO 9000 adalah amat relevan bagi memastikan pengoperasian perkhidmatan bekalan air JBALB akan lebih terurus, berstruktur serta mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Utiliti Sarawak.

Pendokumentasian MS ISO 9000 Bahagian Operasi ini membuktikan kesungguhan JBALB dalam menghasilkan mutu kerja yang berkualiti dan memenuhi standard piawaian antarabangsa.

3- Penubuhan ‘front-end Engineering Unit’

Perancangan yang rapi berdasarkan fakta, maklumat dan penyelidikan yang mendalam amat diperlukan oleh JBALB dalam menghasilkan suatu keputusan yang tepat dan meyakinkan.

Ini amat penting apatah lagi sekiranya keputusan yang diambil melibatkan projek-projek berimpak tinggi dengan sejumlah peruntukan kewangan yang besar.

Ini sudah tentu memerlukan suatu keputusan yang rasional dan terbaik bagi mengelakkan sebarang pertikaian berkenaan tanah, peningkatan kos yang mendadak dan yang paling dikhuatiri ialah projek-projek yang sudah siap dilaksanakan menjadi ‘Projek Gajah Putih’.

Justeru itu, menyedari kepentingan dan keperluan yang signifikan, JBALB akan menubuhkan ‘front-end Engineering Unit’ di mana ia berperanan sebagai sebuah unit penyelidikan sebelum suatu keputusan diambil oleh pihak pengurusan JBALB.

Bidang kuasa tugas dan fungsi unit ini adalah sangat besar dan penting melibatkan rumusan pilihan pembangunan yang berdaya maju melalui pendekatan ‘value management approach’, menghasilkan anggaran kos yang munasabah melalui alat GIS, menghasilkan reka bentuk konsep yang boleh dilaksanakan secara teknikal dan mengambil kira faktor kewangan, serta, mengenal pasti dan mencari aset-aset utiliti menggunakan alat pemetaan.

Ia merangkumi elemen infrastruktur, saluran paip, Loji Rawatan Air, Tangki Aras Tinggi, Stesen Pam Penggalak, serta elemen digitalisasi sistem bekalan air.

4- Memperbanyak serta mempelbagaikan Program Khidmat Masyarakat dan Jalinan Komuniti

Salah satu elemen penting yang selalu menjadi keutamaan pihak JBALB adalah untuk memastikan hubungan dengan masyarakat sentiasa di tahap yang baik.

Dalam dunia tanpa sempadan kini, segala maklumat dan informasi adalah amat mudah untuk disebarkan melalui ledakan teknologi yang canggih dan maju walaupun ada kalanya informasi itu tidak betul dan tidak berfakta.

Kewujudan sosial media juga banyak membantu pihak JBALB dalam proses untuk menyebarkan maklumat dan informasi yang sahih, betul dan cepat. Namun demikian, program turun padang dan kemasyarakatan tetap juga dititikberatkan oleh pihak JBALB bagi memastikan segala perancangan yang diatur serta perkembangan projek-projek bekalan air dapat disampaikan secara berkesan kepada kumpulan sasar.

Menyedari hakikat bahawa kawasan-kawasan yang dikendalikan oleh pihak JBALB adalah di luar bandar, program turun padang dan bersemuka bersama penduduk tempatan masih lagi menjadi keutamaan.

5- Penerusan agenda pendigitalan JBALB

Sejajar dengan arus transformasi digitalisasi negeri yang telah digariskan oleh YAB Ketua Menteri Sarawak dalam ‘Digital Economy Strategy 2018-2022’, JBALB telah melaksanakan pelbagai inisiatif pendigitalan bagi memenuhi hasrat pihak berkepentingan dan juga bagi menaik taraf serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan JBALB kepada pengguna.

Sistem kerangka pendigitalan JBALB adalah berdasarkan kepada iltizam pihak JBALB bagi melaksanakan pendigitalan sepenuhnya kepada perkhidmatan bekalan air di JBALB. Ia harus merangkumi segenap aspek pengurusan bekalan air bukan sahaja daripada aspek teknikal tetapi juga dari sudut komunikasi korporat, khidmat pelanggan dan pendigitalan di JBALB secara lebih berpusat dan holistik.

Dalam fasa 2 pendigitalan bekalan air JBALB, JBALB akan memperluaskan lagi liputan pendigitalan kemudahan bekalan air, pendigitalan sistem agihan, penggunaan air, khidmat pelanggan dan pelbagai lagi aspek bekalan air.

6- Meningkatkan Kompetensi Kakitangan JBALB

Kecekapan dan kemahiran tinggi kakitangan JBALB adalah antara aset penting dalam meneruskan kesinambungan transformasi jabatan menuju ke arah organisasi berprestasi unggul. Oleh yang demikian, latihan serta kursus berkaitan dengan peningkatan kemahiran dan kompetensi di kalangan kakitangan JBALB akan dipertingkatkan serta diperluas ke seluruh JBALB Bahagian.

Ini amat penting bagi memastikan setiap kakitangan JBALB memahami dengan lebih mendalam bidang tugas masing-masing, dan seterusnya melaksanakan tugasan dan kerja tersebut dengan penuh bertanggungjawab, berhemah dan penuh dengan elemen empati.  

Kekurangan sumber manusia bukan menjadi penghalang untuk JBALB terus komited melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan segala kepakaran yang ada. Kebertanggungjawaban bersama menerusi kemahiran-kemahiran yang ada menjadikan kakitangan JBALB lebih berdaya saing, kompeten serta berintegriti di dalam melunaskan tugasan dan kerja yang diberikan.

7- Pengurangan NRW kepada 25%

Salah satu kayu ukur kejayaan JBALB adalah melalui statistik pengurangan kadar ketidakberhasilan air (NRW) di mana sasaran JBALB menjelang tahun 2025 ini adalah pengurangan NRW kepada 25%.

Ini merupakan cabaran tinggi bagi JBALB memandangkan keluasan bidang kuasa kawasan di bawah kendalian JBALB adalah amat besar. Namun demikian, itu bukan alasan bagi JBALB untuk meneruskan pengurangan NRW kerana saban tahun statistik NRW JBALB menunjukkan trend penurunan.

Ini satu perkembangan yang positif bagi JBALB dalam terus memberi perhatian serius kepada isu NRW.

RAKAN Sarawak merakam penghargaan terima kasih atas kerjasama Cawangan Komunikasi Korporat dan Pendigitalan, JBALB Sarawak yang membantu menyalurkan maklumat dan foto dalam penghasilan artikel di atas.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article