Sarawak bukan sahaja kaya daripada segi alam semula jadi, tapi juga dari sudut sejarah dan warisan budaya.
Warisan budaya/kebudayaan tidak hanya terhad kepada monumen dan koleksi objek (warisan ketara), tetapi juga (warisan tak ketara) merangkumi tradisi atau ungkapan orang hidup yang diwarisi daripada nenek moyang yang diperturunkan kepada sesuatu keturunan, seperti tradisi lisan, seni persembahan, amalan sosial, ritual, peristiwa perayaan, ilmu dan amalan mengenai alam dan alam semesta atau ilmu dan kemahiran untuk menghasilkan kraf tradisi.
Memandangkan sesebuah warisan budaya ketara mempunyai nilai harta budaya yang tinggi, maka sewajarnya ia perlu dipulihara.
Kepentingan warisan budaya/kebudayaan tidak semata-mata merujuk terhadap pernyataan budaya itu sendiri tetapi lebih kepada kekayaan ilmu dan kemahiran yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi berikutnya.
Nilai sosial dan ekonomi yang terdapat pada penurunan ilmu ini adalah relevan bagi kelompok minoriti dan kelompok sosial arus perdana dalam sesebuah negara (UNESCO, n.d.).
Oleh itu, memelihara warisan budaya/kebudayaan negeri ini adalah suatu yang perlu diberikan perhatian dan diambil tindakan yang serius.
Usaha untuk memulihara warisan budaya, perlu dilaksanakan dengan mengambil kira faktor seperti nilai sejarah, fungsi, seni bina, usia dan bahan binaan serta sokongan daripada pelbagai pihak yang berkaitan dengannya.
Kesedaran mengenai kepentingan terhadap usaha pemuliharaan warisan merupakan satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap individu dalam masyarakat dan peranan yang dimainkan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam melaksanakan harus diberikan sokongan dan dibantu agar generasi yang akan datang berpeluang untuk melihat dan menikmatinya pada masa hadapan.
Usaha ke arah itu terkait dengan peranan yang sering kita lihat dilaksanakan oleh Jabatan Muzium.
Bagi kita di Sarawak, penubuhan Muzium Sarawak telah menjadikan pengurusan warisan budaya Sarawak yang merangkumi aspek memelihara, konservasi dan melindungi warisan budaya Sarawak dilakukan lebih sistematik.
Tekad Jabatan Muzium Sarawak untuk mengumpul, memulihara, memelihara dan mempamerkan warisan sejarah budaya Sarawak sebagai sumber maklumat dan pendidikan amat bersesuaian dengan tujuan untuk menyatupadukan masyarakat pelbagai etnik di Sarawak supaya boleh hidup dalam keadaan harmoni dalam menghadapi cabaran pembangunan sekarang dan pada masa akan datang.
Sejak 1947, usaha ini dilakukan dengan giat khususnya ke atas tapak warisan yang mengalami kerosakan semasa Perang Dunia Kedua.
Jabatan Muzium Sarawak walaupun telah diletakkan di bawah kawal selia pelbagai kementerian namun keadaan itu tidak menjejaskan fungsi muzium sebagai induk pengurusan warisan budaya khususnya arkeologi Sarawak.
Dengan wujudnya Ordinan Warisan Sarawak 2019, usaha menjaga, memelihara dan memulihara aset warisan negeri ini dapat dilakukan dengan lebih baik, menyeluruh dan efisien.
Pengurusan serta pemeliharaan warisan diperincikan dengan lebih jelas menerusi ordinan ini.
Jabatan Muzium Sarawak akan dapat membuat pertimbangan yang lebih wajar berhubung cara bagaimana menangani perkara-perkara yang berkaitan dengan pemuliharaan warisan dalam kerangka kerja ordinan baharu ini.
Dalam pada masa yang sama, kegiatan pengurusan warisan yang mengguna pakai sistem yang terkini dan baik bukan sahaja bagi tujuan perlindungan tapi juga bagi mewujudkan kesedaran dan menyemai rasa sayang terhadap warisan negeri ini.
Ini seterusnya timbul hasrat dalam kalangan masyarakat negeri ini untuk mempelajari menjaga dan memartabatkan kesenian dan kebudayaan masyarakat/kaum kerana ia akan dapat menyatukan dan meningkatkan maruah masyarakat/kaum di negeri ini.