- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

SKM Perkenal Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi

Must read

Kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi bagi memastikan momentum perniagaan koperasi kembali stabil dalam masa setahun selain membantu sektor tersebut kekal menjana pendapatan.

Inisiatif lain termasuklah memudahkan permohonan pembiayaan tanpa cagaran menerusi Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMP-SKM).

Sehingga 16 November 2020, TMP-SKM membiayai sebanyak RM5.11 juta bagi 104 buah koperasi.

Masyarakat seharusnya mengambil peluang menjana ekonomi dalam pelbagai bidang perniagaan melalui gerakan koperasi

Bantuan tersebut secara tidak langsung dapat membantu memulihkan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19.

Sumbangan ekonomi melalui gerakan koperasi dijana oleh enam bidang keberhasilan utama merangkumi perkhidmatan kewangan, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan, pertanian industri asas tani, perladangan dan pembangunan hartanah.

Pelancongan merupakan salah satu daripada enam aktiviti pembangunan koperasi di bawah bidang keberhasilan utama ekonomi

Di Sarawak, aktiviti kredit dalam sektor perkhidmatan kewangan merupakan penyumbang utama pendapatan koperasi, iaitu pada 2018, 41 peratus atau RM101.8 juta daripada RM248.3 juta keseluruhan perolehan dicapai membabitkan 24 koperasi daripada 1,054 koperasi yang berdaftar di seluruh negeri.

Menurut Pengarah SKM Sarawak, Encik Basuini bin Ali, prestasi gerakan koperasi di peringkat negeri mencatatkan modal syer atau yuran koperasi berjumlah RM205.97 juta pada 2020 berbanding RM196.41 pada 2019.

Sejak 2011 hingga 2020, modal syer koperasi di Sarawak mengalami pertumbuhan 3.73 peratus.

Dari segi aset, sebanyak RM636.14 juta aset koperasi dicatatkan pada 2020 berbanding dengan RM617.04 juta pada 2019 dan mengalami pertumbuhan 4.51 peratus sejak 2011.

Pengarah SKM Sarawak, Encik Basuini bin Ali

Manakala dari segi perolehan pula, sebanyak RM240.52 juta dicatatkan berbanding dengan RM274.42 juta pada 2019, iaitu menurun -12.36 peratus disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Jelas Encik Basuini, SKM menyasarkan kutipan perolehan RM100 bilion dengan menyarankan koperasi di Sarawak mengubah modus operandi perniagaan daripada secara kecil-kecilan kepada secara besar-besaran.

SKM juga menyarankan koperasi sedia ada yang berjaya di Sarawak supaya mempelbagaikan perniagaan dalam bidang keberhasilan utama yang digariskan SKM.

Saranan tersebut juga selaras dengan salah satu misi SKM, iaitu meningkatkan penglibatan koperasi dalam pelbagai sektor bagi menjana ekonomi masyarakat khususnya dan negara amnya.

Pengurusan ladang dan input pertanian merupakan antara aktiviti-aktiviti di bawah bidang keberhasilan perladangan dalam gerakan koperasi

Info Tambahan

Gerakan koperasi telah bermula di Malaysia sejak 1922 dan semakin berkembang pesat hingga mencatatkan bilangan koperasi berdaftar terkini sebanyak 14,625 buah dengan seramai 6.1 juta keanggotaan di seluruh negara.

Manakala di Sarawak pula, terdapat 1,077 buah koperasi berdaftar dengan keanggotaan seramai 264,155 orang.

Kini, setelah wujud hampir 100 tahun, gerakan koperasi juga tidak kurang penting dalam menjana ekonomi negara dengan model perniagaan tersendiri.

Pada 2019, gerakan koperasi menjana pendapatan berjumlah RM45.7 bilion dengan purata pertumbuhan pendapatan setiap tahun meningkat sebanyak 3.97 peratus dari 2014 hingga 2019.

Dasar Koperasi Negara (DKN) 2011-2020 menyasarkan peningkatan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai 10 peratus menjelang 2020.

Namun demikian, sumbangan koperasi kepada KDNK pada masa kini hanya antara tiga peratus hingga empat peratus sahaja.

Sumbangan tersebut masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara jiran seperti Thailand dan Vietnam.

Walau bagaimanapun, gerakan koperasi diyakini masih memiliki ruang yang signifikan untuk berkembang dari segi nilai.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article