Sektor perhutanan dan perkayuan merupakan penjana pendapatan dan penyumbang utama kepada ekonomi Sarawak sejak sekian lama.
Oleh yang demikian, pengurusan hutan yang berlandaskan integriti perlu dititikberatkan bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan supaya tidak menjejaskan pendapatan ekonomi negeri serta dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Sepanjang lima tahun yang lepas (2016-2020), hasil kutipan cukai kayu balak di Sarawak adalah berjumlah RM1.561 bilion.
Kutipan tersebut bukan sahaja menunjukkan kepentingan sektor perhutanan sebagai penyumbang ekonomi, malah turut memberi peluang pekerjaan kepada rakyat dengan anggaran seramai 100,000 orang terlibat dalam sektor pembalakan dan industri perkayuan di negeri ini.
Pengurusan hutan yang mampan melalui Persijilan Hutan seperti yang dilaksanakan oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) ialah salah satu usaha untuk memastikan pengeluaran hasil hutan Sarawak dapat dikekalkan secara berterusan.
Jika hutan di negeri ini tidak diurus dengan baik dan berintegriti, pelbagai kesan buruk terhadap alam sekitar seperti pencemaran, hakisan dan banjir kilat akan berlaku.
Demikian ditekankan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), YB Datuk Haji Talib bin Zulpilip ketika merasmikan Pra Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Jabatan Hutan Sarawak sempena Hari Integriti jabatan berkenaan pada 17 Mac 2021.
Integriti menurut beliau berkait rapat dengan soal hati dan perasaan, iaitu jika seseorang individu berkelakuan baik, maka apa yang diamanahkan kepada individu tersebut akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
Individu yang berintegriti lazimnya ikhlas dan jujur serta patuh kepada peraturan dan undang-undang dan sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik, jelas beliau.
Begitu juga halnya dengan pengurusan hutan yang dipelopori oleh JHS selama ini yang memerlukan tadbir urus dan nilai integriti yang tinggi di kalangan pegawai dan kakitangannya.
Oleh itu, pelancaran OACP JHS adalah bertujuan untuk meningkatkan tadbir urus jabatan tersebut untuk memastikan tiada ketirisan berlaku dalam pengurusan hutan di negeri ini.
Pelancaran OACP merupakan langkah ke hadapan JHS untuk memerangi rasuah dalam sektor perhutanan yang boleh menjejaskan pendapatan dan sumber ekonomi negeri.
Menurut Pengarah JHS, YBhg Datu Hamden bin Mohammad, isu integriti yang mencemarkan imej penjawat awam tidak harus dipandang ringan kerana ia memberi kesan yang buruk kepada ekonomi, sosial dan politik sesebuah negara mahupun negeri, khususnya negeri Sarawak yang kini pesat membangun.
Atas kesedaran ini, JHS telah pun melaksanakan pelbagai pendekatan seperti menganjurkan bengkel dan program kesedaran berkenaan gejala rasuah dan salah laku.
Selain itu, JHS telah mengisytiharkan perang terhadap penjenayah rasuah terutama yang berlaku dalam sektor pembalakan dan industri perkayuan.
Dalam usaha membudayakan ingtegriti di kalangan warga kerja, JHS turut mengambil pendekatan melalui penggunaan teknologi terkini secara optimum dan membina kapasiti sumber manusia yang berkualiti dan berintegriti tinggi.
Jelas YBhg Datu Hamden, penggunaan teknologi yang bijak diyakini dapat melaksanakan pelbagai fungsi dan aktiviti serta sedikit sebanyak dapat menutup ruang dan peluang salah laku yang menyebabkan ketirisan dalam penyampaian perkhidmatan awam.
JHS turut menggalakkan para pelesen balak menggunakan Licencing Portal dan E-Pass secara atas talian apabila mereka berurusan dengan jabatan berkenaan.
Pendekatan tersebut mampu mengurangkan komunikasi secara langsung dengan pegawai atau kakitangan yang boleh menimbulkan salah laku dan keraguan.
Untuk rekod, JHS merupakan agensi Kerajaan Negeri pertama yang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), iaitu pada Disember 2014 yang dilaksanakan serentak dengan agensi-agensi perhutanan, para pelesen dan kontraktor pembalakan.
Selaras dengan pelancaran OACP berkenaan, JHS kini juga mempunyai beberapa orang Pegawai Integriti (CeIO) yang bertauliah.