- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Meneruskan Usaha Jaya Pemeliharaan Alam

Must read


Penempatan di Kampung Trusan Jaya, Sematan wujud sejak tahun 1970an lagi. Pada ketika itu kampung ini dikenali sebagai Tanjung Blukuk dan hanya pada tahun 1986, barulah nama Trusan Jaya digunakan.

Dari maklumat terkini yang dimaklumkan oleh KK Abdul Rahman Bujang, Kampung Trusan Jaya kini mempunyai 72 buah rumah dengan jumlah penduduk seramai kira-kira 356 orang. Rata-rata penduduk di kampung ini bekerja sendiri menjadi nelayan sungai/pesisir pantai. Terdapat juga segelintir yang terlibat dalam kegiatan pembalakan kayu bakau.

Mungkin ada yang tertanya-tanya apa istimewanya Kampung Trusan Jaya ini? Untuk makluman, di Trusan Jaya, Jabatan Pertanian melalui Pusat Perikanan Sematan telah bekerjasama dengan pihak swasta dan juga JKKK Kampung Trusan Jaya mengusahakan Projek Pengekalan (Pemeliharaan) Ekosistem Biodiversity Paya Bakau Bagi Tujuan Menyediakan Punca Pendapatan Yang Lebih Mapan Untuk Penduduk Setempat – Trusan Jaya, Sematan.

Projek ini telah diusahakan sejak tahun 2003 dan fasa pertama projek ini (berakhir pada Disember 2005) terlaksana dengan jayanya.

Menurut Encik Mohd Ikhwanuddin bin Abdullah, Pegawai Perikanan Menguasa Pusat Perikanan Sematan yang juga bertindak sebagai penasihat teknikal projek ini, antara komponen fasa pertama projek ini, adalah mengusahakan penternakan ketam bakau dalam kandang yang melibatkan 12 orang peserta.

Menurut Mohd Ikhwanuddin lagi, projek ini mendapat bantuan geran daripada UNDP sepanjang tempoh pelaksanaannya.

Mohd Ikhwanuddin juga menjelaskan bahawa projek ini telah mencapai matlamatnya iaitu telah berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah penduduk kampung. Dalam masa yang sama pelaksanaan projek ini telah berjaya mengelakkan daripada kemusnahan (berterusan) ekosistem biodiversiti paya bakau. Ini kerana pelaksanaan program/projek ini sememangnya menggunakan ekosistem dan persekitaran yang sedia ada dengan penggunaan atau pembinaan infrastruktur moden pada kadar yang amat minimum.

Pada masa yang sama, penduduk setempat juga telah mulai faham akan pentingnya memelihara persekitaran paya bakau daripada terus dicemari kerana kini mereka sedar bahawa punca pendapatan utama mereka amat bergantung kepada keseimbangan ekosistem di paya bakau.

Mulai Januari 2006, fasa kedua projek ini dilaksanakan dengan beberapa aktiviti baru antaranya ialah mengiatkan usaha mempromosikan eko-pelancongan di kawasan ini. Untuk itu beberapa keluarga di Kampung Trusan Jaya telah mengikuti kursus pengendalian homestay.

Selain daripada itu turut akan diusahakan ialah penternakan ketam kulit lembut dan memantapkan lagi usaha penghasilan produk hiliran hasil perikanan yang mana golongan sasarannya ialah kaum wanita di kampung ini.

Menurut Mohd Ikhwanuddin, sejak projek ini diusahakan, kejayaan besar yang beliau lihat ialah perubahan minda penduduk kampung yang mana kini mereka lebih prihatin akan pentingnya menjaga keseimbangan alam demi kepentingan dan kelangsungan hidup mereka dan juga generasi baru mereka.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article