- Advertisement -spot_img
4,799
published news
and counting

Tempurung Kelapa Jana Pendapatan Sampingan

Must read

Kira-kira 6,000 penanam kelapa di
Daerah Asajaya dan Sadong Jaya selama ini telah mendapat pendapatan sampingan
melalui penghasilan arang daripada bahan terbuang iaitu tempurung kelapa.

Arang yang dihasilkan melalui proses pembakaran tertutup
(menggunakan tong dram) itu memakan masa kira-kira 12 jam, tidak melibatkan
sebarang kos dan boleh dilakukan di kebun masing-masing.
Kini arang daripada tempurung kelapa semakin digemari kerana proses penggunaannya
yang lebih bersih dan murah berbanding arang kayu. Secara tidak langsung ia
membantu menjaga alam sekitar dan mengurangkan pemusnahan hutan paya bakau.

Projek Kilang Arang Peladang Daya Permai Sdn Bhd.
dilaksanakan menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Samarahan dan PPK
Simunjan dan di bawah penyelarasan Jabatan Pertanian Negeri.
Kilang itu terletak di estet perindustrian Kota Samarahan dibina pada tahun
1996 dan mula beroperasi pada tahun 1997 dengan modal permulaan sebanyak RM200
ribu.

Pengarah Urusannya, Encik Anuar Daan berkata projek kilang
arang itu telah dapat mengatasi masalah tempurung dan sabut kelapa terbiar dan
menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Ketika ini kira-kira 13 ribu hektar tanah di Bahagian
Samarahan ditanam dengan pokok kelapa. Lebih separuh daripadanya terletak di
Daerah Asajaya dan Sadong Jaya.






Para penduduk kampung
(penanam kelapa) menjual bahan itu dengan harga RM280 setiap tan kepada kilang
berkenaan. Mereka turut menjual buah kelapa dengan harga antara 17 sen hingga
20 sen sebiji.

Di kilang, proses
mengisar arang tempurung dilakukan dan ditapis bagi mengasingkannya kepada
beberapa gred berdasarkan saiz butiran.

Gred A dijual dengan
harga setinggi RM500 setiap tan metrik, Gred B dan C dijual dengan harga masing-masing
RM480 dan RM440 setiap tan metrik.

Ketika ini, kilang
itu hanya mampu menghasilkan antara enam hingga tujuh tan metrik arang sehari,
masih rendah berbanding permintaan daripada pembeli tunggalnya, Syarikat Assar
Chemical Trading iaitu antara 180 hingga 200 tan metrik sebulan. Setakat ini,
produk kilang itu dieksport ke India, Taiwan, Korea Selatan, China dan Afrika.

Dari Januari hingga
November 2005, kilang itu telah menghasilkan sebanyak 460 tan metrik arang
tempurung dengan nilai kira-kira RM500 ribu.

Bagi memenuhi
permintaan itu, seluas kira-kira 340 hektar tanah telah ditanam dengan benih
baru pokok kelapa yang memakan masa hanya tiga tahun untuk matang dan mempunyai
tempurung yang lebih tebal.

Usahasama dengan
Assar Chemicals juga telah dirancangkan untuk membuka kira-kira 20,000 hektar
ladang kelapa bagi menyediakan bahan mentah untuk kilang pemprosesan sabut yang
akan dibina tahun ini.

Kilang itu akan
menyediakan bahan asas untuk pembuatan kusyen kenderaan, sofa, tilam serta
kegiatan hortikultur.

Penghasilan produk
baru, iaitu bahan penyala (briket) barbeku daripada habuk arang yang terhasil
daripada proses pengisaran arang tempurung kelapa pula bakal meningkatkan
pendapatan PPK.

Sebelum ini, habuk
yang terhasil mendatangkan masalah pelupusan dan hanya dibekalkan kepada
penternak kecil udang harimau bagi kegunaan di kolam udang.

Selepas ini semua
habuk yang terhasil akan dikumpul dan dicampurkan bersama kanji sagu sebelum
dimampatkan dan dibiarkan kering sama ada menggunakan oven atau panahan cahaya
matahari untuk dijadikan blok.

Pengeluaran briket
barbeku itu akan dimulakan pada tahun ini dan dijangka dijual dengan harga RM2
setiap kilogram di pasaran tempatan. Ia sekaligus menjadikan tempurung kelapa
bahan yang mendatangkan pendapatan sepenuhnya kepada pengusaha dan PPK.

Kejayaan usaha PPK
Samarahan dan PPK Simunjan dalam projek arang tempurung itu harus diberi
pujian. Bagi pengusaha tanaman kelapa ia semestinya khabar yang menggembirakan
kerana semua bahagian yang dihasilkan tanaman kelapa mampu memberikan
pendapatan kepada mereka.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article