Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Samsudin Osman dalam satu
kenyataan yang dipetik oleh BERNAMA telah mengarahkan Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
menyegerakan proses temuduga dan pemilihan bagi mengisi 30,000 jawatan
kosong oleh lulusan diploma dan ijazah.
Beliau
berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar
mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan melalui pelaksanaan
pensijilan MS ISO 9001:2000 di peringkat pentadbiran daerah dan tanah
serta pihak berkuasa tempatan di Kuala Lumpur, 13 Julai 2006 yang lalu.
Tan
Sri Samsudin berkata proses pengisian jawatan ini akan dilakukan
sebagai satu "Operasi Isi Penuh" yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan
pada satu masa dahulu.
Bagaimanapun, katanya, keutamaan akan
diberi kepada pengambilan mereka yang berkelulusan diploma dan ijazah
mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan siswazah.
Beliau
menambah, JPA dan SPA telahpun menjalankan proses pengambilan dan
pelantikan bagi mengisi kekosongan jawatan dalam kerajaan secara
berterusan.
Terdahullu pada 11 Julai 2006 lepas, Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mempengerusikan
jawatankuasa khas mengenai siswazah menganggur, mengarahkan JPA dan SPA
mempercepatkan proses pengambilan siswazah bagi mengatasi masalah itu
memandangkan terdapat 74,000 kekosongan dalam kerajaan dengan 30,000
untuk diisi oleh golongan siswazah.
Pada masa ini terdapat 60,000 siswazah yang menganggur.