telah membangun dengan pesatnya di dalam semua bidang seperti ilmu
pengetahuan, ekonomi, sosial, politik, dan lain-lain lagi, termasuk di
dalam bidang agama dan umatnya yang telah melangkah maju ke depan
dengan jayanya.
Kemerdekaan negara dalam arena politik, masih belum dapat menjamin
kehadiran rakyat yang benar-benar merdeka akal fikiran dan persepsinya.
Mereka masih mewarisi pandangan penjajah bahawa negara sekecil ini mana
mungkin akan dapat berdiri sendiri dan menyelesaikan masalah tanpa
bantuan orang luar, terutamanya dari bekas master sendiri. Atau dalam
ungkapan lain, mereka sanggup melihat negara mundur dan rakyat umumnya
merana, asalkan mereka dapat memasukkan jarum kefanatikan mereka ke
dalam benak rakyat agar rakyat mempercayai taktik dan rancangan
peribadi mereka yang amat cemar.
Kemerdekaan bererti satu titik permulaan untuk
mengangkat martabat negara dan rakyat, memajukan segala-galanya ke
hadapan dan membangunkan diri melalui kekuatan daya ketahanan diri dan
kemampuan tenaga dan pemikiran sendiri.
Namun
bagi mereka yang masih mewarisi pemikiran penjajah, atau bagi mereka
yang mencari-cari peluang untuk melemahkan negara dan mencemarkan
kemurnian pembangunan ini bagi tujuan meraih simpati murahan kepada
diri sendiri, maka mereka akan berusaha mengabui pandangan rakyat
bahawa pembangunan ini adalah pembangunan sia-sia, tidak berguna dan
membazir semata-mata.
Tanpa fakta ilmu falsafah di sebalik pembangunan
ini, serta fungsinya yang melampaui batas-batas tentang pemikiran
dangkal semasa, maka walaupun seluruh dunia mengakui kepentingan
pembangunan ini, tetapi mereka akan tetap melaung-laungkan slogan
mereka yang kosong bahawa pembangunan ini tidak memberi manfaat.
Hal ini juga menunjukkan bagaimana fikiran dan persepsi penjajahan
masih berkabut di dalam otak sebahagian kita. Malah hal ini juga
menunjukkan bahawa semangat patriosme pada sebahagian mereka tidaklah
harus wujud sekiranya semangat itu bererti mengakui pencapaian negara
dan rakyatnya. Keadaan ini membuatkan kita tertanya-tanya apakah
pembangunan dan kemajuan agama dan umatnya di negara kita ini ingin
kita heretkannya kembali ke belakang, ke zaman penjajahan dulu?
Dipetik dan disesuaikan dari artikel Benarkah Kita Telah Merdeka oleh Dato Dr Ismail Haji Ibrahim (IKIM)