- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Gabungan Usaha Ceriakan Sekolah

Must read

SM Kai Chung sejak penubuhannya pada tahun 1953 telah
menunjukkan prestasi yang membanggakan dari segi pencapaian akademik dan juga
ko-kurikulumnya. SM Kai Chung
sememangnya amat dikenali sebagai ‘kuasa sukan’ terutamanya dalam permainan
bola tampar dan bola keranjang. Ramai
dari kalangan pelajarnya yang telah terpilih masuk ke pasukan negeri dalam
kedua-dua permainan ini.

Menurut pengetuanya, En. Ting Pang Keng, penglibatan aktif semua
pihak sama ada pentadbir sekolah, guru-guru, ibu bapa dan pelajarnya dalam
merancang serta melaksanakan misi sekolah adalah kunci utama kejayaan ini. Semua pihak amat memahami akan kelebihan dan
kekurangan masing-masing dan kedua-dua elemen ini dijadikan panduan untuk
menempa kejayaan.

Pencapaian yang membanggakan
dalam bidang akademik dan ko-kurikulum SM Kai Chung sebenarnya nampak jelas
dizahirkan sebaik mungkin.

Boleh dikatakan sekolah ini
amat proaktif dan responsif di atas segala unsur-unsur baru yang diperkenalkan
untuk penambahbaikan dan kesejahteraan warganya.

Contoh yang paling jelas
ialah kejayaan Kelab PALSnya dalam mengubah wajah dan suasana di persekitaran
sekolah.

Kelab PALS SM Kai Chung telah
ditubuhkan dengan kerjasama Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Sarawak (NREB)
pada tahun 2002.

Objektif penubuhannya adalah
untuk mengindahkan kawasan persekitaran sekolah dengan pelbagai tumbuhan berbunga
dan tidak berbunga di samping menyemai sikap cintakan keindahan dan kehijauan
alam sekitar di kawasan sekolah. Ini seterusnya diharapkan akan dapat menjadi
amalan pelajar sekalipun berada di luar kawasan sekolah.

Untuk itu pelbagai aktiviti
telah dijalankan dan ternyata dari aktiviti-aktiviti berkenaan banyak perubahan
dapat dilihat.

Antara yang paling jelas
ialah mewujudkan kawasan berumput di perkarangan sekolah. Kawasan seluas 0.5km persegi ini pada
asalnya menempatkan dua buah gelanggang bola keranjang. Apabila Kelab PALS ditubuhkan pada 2002,
ahli-ahli kelab ini telah menjalankan usaha pengumpulan data suhu kawasan
sekitar sekolah. Didapati kawasan
gelanggang bola keranjang ini menyebabkan peningkatan suhu yang amat ketara
pada menjelang tengahari dan petang setiap hari

Cadangan telah dikemukakan
untuk mengurangkan kesan ini yang antara lainnya menambah lebih banyak lagi
pokok atau tumbuhan hijau bagi membantu merendahkan suhu kawasan
persekitarannya. Pengerusi Jawatankuasa
Pemandu Kelab PALS yang juga pengetua sekolah ini ketika itu, En. Stephen Tan
telah mengambil keputusan untuk menukarkan gelanggang bola keranjang ini
menjadi kawasan berumput.

Ternyata usaha ini suatu
tindakan yang tepat. Setelah siapnya
penanaman rumput dan pokok-pokok bunga hiasan, suhu di kawasan ini telah
menunjukkan banyak penurunan.
Sungguhpun tindakan ini nampak ‘merugikan’ namun sebenarnya ianya suatu
keuntungan jangka panjang. Apa tidaknya
– bukan sahaja suhu kini lebih rendah malah matapun sejuk kerana kehijauan yang
menyegarkan itu.

Kelab PALS SM Kai Chung turut
mengambil inisiatif membina Taman Pencinta Alam pada tahun 2003 yang
menempatkan tumbuhan-tumbuhan dan binatang yang disumbangkan oleh ahli-ahli
kelab dan warga sekolah.

Dalam masa yang sama usaha menanam
pelbagai pokok bunga di sekitar sekolah terus digiatkan bagi menceriakan
suasana persekitaran sekolah.

Pihak sekolah juga bersetuju
untuk mengecat semula blok-blok pembelajaran dan pejabat sekolah ini dengan
warna hijau sejajar dengan matlamat menjadikan SM Kai Chung sekolah yang mesra
alam.

Proses mengecat sekolah ini
mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan kerana kos mengecat ini
adalah sebenarnya daripada sumbangan yang dikumpul dari semua warga sekolah SM
Kai Chung – tiada satu sen pun wang dari perbelanjaan pengurusan sekolah yang
digunakan bagi tujuan ini. Begitu juga
dengan projek mengubah gelanggang bola keranjang menjadi kawasan berumput,
pembinaan kolam ikan serta Taman Pencinta Alam – tidak langsung melibatkan
penggunaan dana pengurusan sekolah sebaliknya adalah sumbangan daripada
pelajar, guru serta ibu bapa.

Kejayaan yang dicapai oleh
Kelab PALS ini membuktikan usaha yang penuh komitmen akan dapat mengatasi
halangan yang ada. Maka kerana itu,
Kelab PALS sekolah ini merancang untuk membantu pihak sekolah meningkatkan lagi
keceriaan dan keselamatan kawasan sekolah.

Kini pihak Koperasi SM Kai
Chung Berhad juga terlibat aktif membantu pihak sekolah amnya dan Kelab PALS
khasnya dalam menceriakan persekitaran sekolah.

Pengindahan dan pengurusan
kawasan kolam ikan di kawasan sekolah ini yang dikendalikan oleh Kelab PALS
kini mendapat bantuan Koperasi SM Kai Chung Berhad. Pihak koperasi telah menjadikan kawasan kolam ini sebagai projek
angkat mereka yang mana segala perbelanjaan pengurusannya dibantu oleh pihak koperasi seperti bantuan
pembelian benih ikan dan makanan ikan.

Koperasi SM Kai Chung Berhad
telah ditubuhkan pada tahun 1978. Kini
sehingga 31 Mac 2006 koperasi ini mempunyai keahlian seramai 1,155 orang dengan
modal syer sebanyak RM2,274.00

Koperasi ini pernah muncul
Johan Anugerah Kualiti Koperasi Sekolah Peringkat Negeri Sarawak tiga tahun
berturut-turut pada 1997-1999 (1997 – Kategori Sekolah Menengah Harian, Gred B;
1998 & 1999 – Kategori Sekolah Menengah harian, Gred A).

Pada tahun 1998, koperasi
sekolah ini turut dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Anugerah Kualiti
Koperasi Sekolah Negeri Sarawak dan Cik Rasia Lutung pada tahun yang sama telah
dipilih sebagai Tokoh Guru Koperasi Negeri Sarawak.

Selain menjalankan aktiviti
jualan alat tulis dan keperluan-keperluan lain, koperasi sekolah ini turut
menjalankan beberapa aktiviti lain yang bertujuan berkongsi ilmu dengan
ahli-ahlinya serta menambah punca kewangan koperasi.

Antara aktiviti yang
dijalankan ialah seperti ceramah pendidikan kepada ahli koperasi, menganjurkan
Bulan Koperasi yang mana pada bulan berkenaan dilaksanakan Pesta Ria, Kuiz,
Sukaneka, Pertandingan Petanq dan
Pameran Buku.

Selain itu, koperasi sekolah
juga menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan membantu seberapa yang boleh
dengan memberikan sumbangan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan
(bantuan dalam bentuk keperluan dan peralatan sekolah seperti buku latihan dan
sebagainya).

Usahasama koperasi dan Kelab
PALS dalam menguruskan Kolam Ikan di kawasan sekolah ini ternyata suatu jalinan
yang mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua pihak dan menguntungkan warga
sekolah ini.

Maka kerana itu, pihak
koperasi sekolah bercadang untuk meluaskan lagi usahasama ini dengan mengambil
lebih banyak lagi kawasan di persekitaran sekolah di bawah Projek Keceriaan
Sekolah Kelab PALS sebagai projek angkat mereka.

Seharusnya usaha yang
dijalankan oleh kedua-dua Koperasi dan Kelab PALS SM Kai Chung ini boleh
dijadikan teladan kepada sekolah-sekolah lain dan juga organisasi-organisasi
lain. Bak kata pepatah : Bulat Air
Kerana Pembetung, Bulat Manusia Kerana Muafakat. Yang berat jika dijinjing bersama tidak akan terasa beratnya.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article