Keperluan pendidikan
prasekolah telah membawa kepada perancangan oleh Kementerian Pelajaran bagi
mewujudkan kelas pra-sekolah di semua sekolah rendah di seluruh negara
menjelang tahun 2010.
Di Sarawak, terdapat
kira-kira 433 buah kelas pra-sekolah dengan kira-kira 10,825 orang pelajar di
bawah Kementerian itu pada tahun 2005.
Selain itu, terdapat juga pra-sekolah
(Kelas Tabika) kelolaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang berjumlah 692
kelas dengan sejumlah kira-kira 16,192 pelajar, SeDidik kelolaan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dengan 73
kelas (2,938 pelajar) dan Jabatan Perpaduan Negara dengan 114 kelas (3,637
pelajar).
Usaha menyediakan prasarana pendidikan
pra-sekolah secara berterusan diperlukan untuk menurunkan perangkaan iaitu
kira-kira 60 peratus daripada 100,000 pelajar yang memasuki darjah satu di
negeri ini tidak menghadiri kelas pra-sekolah setiap tahun.
Sungguhpun demikian, kuantiti kelas itu
sendiri akan diimbangi dengan kualiti proses pembelajaran dan pengajaran bagi
menghasilkan generasi sumber manusia yang berkualiti dan berkaliber pada masa
hadapan.
Langkah untuk meningkatkan kualiti
warga pendidik telah diusahakan oleh Kementerian dengan mengambil keputusan untuk mewajibkan semua guru
pra-sekolah di bawahnya untuk mempunyai sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan
Pra-Sekolah mulai tahun 2007.
KEMAS dengan kerjasama Kementerian Pelajaran juga telah mengambil
langkah sama dengan menawarkan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat
Diploma Pendidikan kepada kira-kira 8,215 guru Tabika di seluruh negara secara
berperingkat-peringkat mulai tahun ini.
Peningkatan bilangan kelas pra-sekolah
dan warga pendidik terlatih itu sudah tentu mampu meningkatkan peluang kepada
kanak-kanak memperoleh ilmu yang berkualiti seawal mungkin.